Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Innocence of Muslim adalah sebuah karya keji yang sangat menjijikkan.
Ini diakui oleh banyak pengkritik filem di Barat sekalipun. The New York Daily
News menyebutnya sebagai “an obscenely inept vanity project” that is “far
beneath any reasonable standard of movie-making”.
Saya tidak bersetuju apabila seorang tokoh ahli politik menyatakan
demonstrasi aman bantahan terhadap filem ‘Innocence of Muslims’ hanya
membuang masa umat Islam. Kenyataannya itu tidaklah begitu jauh dari ‘fatwa’
sebahagaian ugamawan sebuah parti politik yang mengharamkan semua jenis demonstrasi aman
sekalipun untuk melahir bantahan penghinaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Pandangan mereka juga telah saya tidak setuju sejak dahulu.
Saya tidak pasti apakah tujuan tokoh tersebut membuat kenyataan itu sedangkan partinya sebelum ini berkempen
untuk rakyat turun ke jalan menyatakan bantahan mereka dalam pelbagai perkara.
Tidak pula tokoh berkenaan menyatakan rakyat telah membuang masa dengannya dan
sepatutnya mencari pendekatan yang lain.
Namun apabila tiba kepada perkara yang sensitif bagi umat Islam, maka timbul
pandangan bahawa itu membuang masa. Sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi sebagai
ahli politik, beliau sekalipun bukan muslim sangat perlu tahu bahawa insan yang
bernama Muhammad bin ‘Abdullah itu lebih lebih berharga dari segalanya dalam
kehidupan muslim.
HARAM, HARAM, HARAM
Saya juga tidak setuju dengan sekumpulan agamawan sebuah parti politik yang
sibuk untuk mengharamkan demonstrasi aman membantah filem yang menghina Nabi
s.a.w kerana kononnya itu tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan bukan
amalan para salafussoleh. Malangnya, mereka tidak bising apabila kerajaan saban
tahun membuat sambutan maulid yang mengandungi perhimpunan, perarakan, kibaran
slogan dan bendera dan pelbagai.
Gambar Hiasan
Itu semua hakikatnya adalah demonstrasi ataupun tunjuk perasaan. Samada sayang
ataupun marah, kesemuanya perasaan. Apa yang dibuat saban tahun itu bukan dari
petunjuk Nabi s.a.w. Bahkan tiada alasan yang kukuh untuk ia dibuat demikian
rupa dan saban tahun pula. Pun begitu, ia tidak ‘sakan’ dibantah.
Namun apabila tiba isu menunjukkan rasa sayangkan Nabi s.a.w serta marahkan
penghinaan kepada baginda, dan alasan untuk itu juga kukuh, tiba-tiba fatwa
haram dikeluarkan lagi. Alasannya, Nabi s.a.w dan sahabat tidak pernah buat.
Menariknya, fatwa itu disiarkan dalam blog, facebook dan twitter yang
kesemua media itu juga tidak pernah digunakan pada zaman Nabi s.a.w. dan
sahabat r.a.
Apapun saya suka dengan Pemuda UMNO dan PAS yang berhasrat untuk menyatakan
bantahan aman mereka. Saya juga bercakap dengan Saudara Khairy Jamaludin untuk
menganjurkan bersama ‘malam seni cintakan Nabi s.a.w’. Beliau turut
bercadang mengajak pihak PAS juga. Penggiat seni Puan Erma Fatima mencadangkan
kepada saya untuk diajak semua pihak terutama penggiat filem bersama. Ini isu
kita bersama. Saya suka suasana ini. Muslim itu, siapa pun dia, Nabi Muhammad
s.a.w tetap agung di lubuk jantung hatinya.
DEMO ZAMAN KINI
Saya akur demonstrasi aman bukan satu-satunya jalan dalam menyatakan
perasaan. Demonstrasi juga bukan semestinya penyelesaian. Masih terdapat
pelbagai cara untuk menzahirkan cinta dan mempertahankan baginda s.a.w. Pada
hari ini, kita boleh menulis di media, di facebook, menghasilkan
video, berseni dan pelbagai lagi.
Namun, bukan semua orang mampu untuk melakukan pendekatan itu, sedangkan
Nabi s.a.w itu dicinta oleh setiap muslim dari pelbagai latar belakang. Bukan
sahaja yang pandai menulis dan membaca, juga yang buta huruf dan tidak
bersekolah tinggi. Bukan sahaja orang muda yang aktif di media maya, juga orang
tua yang uzur dan yang hanya mampu menulis di kertas sahaja. Demonstrasi aman
dapat menghimpunkan semua mereka, untuk berkongsi rasa dan menzahirkannya. Maka
demonstasi aman memberi ruang kepada banyak pihak.
Dunia Barat sekalipun hampir berjaya menghapuskan illiteracy dan
penggunaan media maya begitu luas dan bebas, namun demonstrasi aman masih satu
pendekatan yang terus digunapakai oleh mereka. Bagaimana dunia akan tahu hasrat
rakyat Catalonia hari ini untuk bebas dari Spain jika tidak lebih juta rakyat
yang keluar ke jalan menyatakan hasrat mereka. Siapa yang akan tahu tentang
pencemaran alam sekitar, penindasan golongan minoriti dan seumpamanya jika
tidak suara demonstrasi para pejuangnya. Demonstrasi aman adalah saluran yang
membolehkan perubahan dibuat di serata dunia. Demikianlah demonstrasi aman itu
berfungsi dalam kehidupan politik manusia pada hari ini.
Jika manusia lain sanggup berhimpun untuk membantah pencemaran alam, mengapa
tidak kita keluar membantah pencemaran imej Nabi s.a.w yang membawa rahmat
untuk sekelian alam. Jika orang sanggup membuat demonstrasi membantah perkara
yang lekeh, mengapa tidak kita keluar membantah penghinaan perkara yang asas
dalam kehidupan kita. Nabi s.a.w ketika mengulas pertanyaan sahabah yang
mendapat upah berjampi menggunakan ayat al-Quran, baginda menyebut:
“Ambillah, demi sesungguhnya orang makan dari jampi yang batil, engkau makan
dari jampi yang sebenar” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih).
Jika dikias, kalau orang berdemonstrasi dalam perkara yang salah, kita
berdemonstrasi dalam perkara yang betul!
GANAS
Namun kita menentang demonstrasi ganas yang merosakkan harta awam, ataupun
yang gagal mengawal diri dan memelihara akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad
s.a.w itu sendiri. Jangan tuduh pihak yang tidak terlibat. Jika itu berlaku
maka itu ‘defeating the purpose’. Apa yang berlaku di Benghazi, Libya
adalah memalukan dan merosakkan nama Islam itu sendiri. Ia seakan membenarkan
dakwaan dusta bahawa Islam itu ganas. Perbuatan membunuh duta dilarang oleh
Nabi s.a.w. Ketika wakil Musailamah al-Khazzab yang mengaku nabi dan mereka itu
telah mengkhianati baginda datang, baginda bersabda:
“Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku (arahkan)
bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah
bahawa para perwakilan tidak boleh dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad,
al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H): Sanad-sanad mereka adalah
hasan.) Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadis ini dalil yang menunjukkan
haramnya membunuh para perwakilan”( `Aun al-Ma’bud, 7/314. Beirut : Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Namun, itu tidak bererti demonstrasi aman yang tidak ganas diharamkan. Jika
ada pemandu yang tidak dapat mengawal diri dan berlaku kemalangan, tidak
mungkin untuk diharamkan semua kereta berada di jalanraya. Haramkan keganasan,
tetapi ruang tetap ada untuk cara yang baik dan aman.
CINTA
Seorang muslim yang sebenar cintakan Nabi s.a.w. Cintanya kepada Nabi s.a.w
itu tetap subur walaupun kadang-kala dirinya sendiri tidak begitu baik. Nabi
s.a.w sendiri mengakui hakikat ini.
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah
menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya
(menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia
ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum
lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah
kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua
melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”.
(Riwayat al-Bukhari).
Apatahlagi para pejuang yang ingin menyampaikan mesej baginda kepada dunia
ini. Cinta mereka membara. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah
apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. pada
zaman itu lalu dibawa untuk dibunuh. Ketua Quraish Abu Sufyan –ketika itu belum
menganut Islam- bertanya kepadanya:
“Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka
Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau
berada di samping keluargamu”. Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di
tempat dia berada sekarang terkena duri sedangkan aku pula berada di samping
keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi
seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn
Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Lihatlah sahabat teragung Nabi s.a.w Abu Bakar al-Siddiq. Dalam riwayat Abu
Ya’la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah
daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu
bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat.
Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam.
Menariknya, apabila Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk
menganut Islam, Abu Bakar menangis. Nabi s.a.w bertanya:
“Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Jawabnya:
“Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang,
lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari
bapaku sendiri menganut Islam”.
Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu
tenggelam apabila mengenang Nabi s.a.w tidak memperolehi kegembiraan yang sama
disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam.
Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat
bapanya ketika itu.
Demikian hati budi seorang muslim. Semua itu adalah manifestasi dari apa
yang Nabi s.a.w sabdakan:
“Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang
kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat
al-Bukhari).
Mereka yang tidak merasai kemanisan nikmat iman mungkin tidak faham hakikat
ini. Mereka kehairanan kenapa muslim sedih dan emosi apabila Nabi mereka
disakiti. Sesiapa yang besungguh hendak menjadi ahli politik atau perwakilan
dalam masyarakat muslim, kena memahami latar pegangan dan nilai dalaman
mereka!!! Maafkan segala kekasaran… Wallahu Waliyyut Taufiq
Karya asal oleh Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin / Di kongsikan oleh Abdullah Ibnu Ismail
Dikesempatan ini saya ingin menjemput semua pembaca untuk bersama-sama turut serta dalam sebuah program yang dianjurkan oleh sebua kelab remaja; Rapat Seni Kerahmatan Rasulullah. Tujuan pengajurannya adalah untuk menyampaikan risalah2 berkenaan baginda Nabi s.a.w sebagai "counter" kepada fakta dusta yg dibangkitkan dalam video keji tersebut dengan pendekatan yang unik dan menarik; FLASHMOB! JOM!!!
No comments:
Post a Comment