Bismilllah
Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa.
Ini khususnya apabila kita beribadah kepada Allah. Juga apabila kita
bertemu manusia lain. Islam memerintahkan kita menjaga hubungan baik
dengan Allah, demikian juga kita menjaga hubungan baik sesama manusia.
Kebersihan, wangian dan penampilan yang baik sesuatu yang menunjukkan
penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak yang ingin kita bertemu
dengannya. Ini adalah tabiat manusia.
Justeru itu, semasa soat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan
menutup aurat, juga disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa
dengan manusia. Pakaian yang sesuai dan memakai wangian adalah sunnah
dalam bermasyarakat. Mereka yang mempunyai bau busuk dilarang datang ke
tempat perhimpunan awam khususnya solat berjemaah. Sebab itu tidak
dibenarkan sesiapa yang memakan bawang putih ataupun makanan yang lain
yang mengeluarkan bau busuk dari pemakannya menghadiri solat berjemaah.
Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan
menimbulkan kebencian sesama manusia.
Galakan Gosok Gigi
Islam menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau
busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat
ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti
sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang
sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau
tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari
keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk
membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti
orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat
awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika
terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang
tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun
boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa
berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun
neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun
realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah
dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang
berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat.
Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan
oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh
menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri.
Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum
merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
Bukan Hujah
Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:
“Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).
Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan
dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi
sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi
s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan
menyebut:
“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam
perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama
masyarakat. Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan
orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah! Semoga ALLAH merahmati setiap yang mengambil ibrah dari nukilan ini. Ramadhan Muabarakah 'Alaikum. Assalam
Karya asal oleh Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin / Di kongsikan oleh Abdullah Ibnu Ismail
good article..btw, ade pndapat said yg bersugi may prevent nyanyuk. so, banyak hikmah bersugi.
ReplyDelete