Ikut Fakta, Bukan Taqlid Buta


"Ikut Fakta, Buang Taqlid Buta"

Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah, selawat dan salam buat rasulnya Muhammad Salallahualaihiwasalam. Sesungguhnya menjadi satu kewajipan bagi setiap yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul supaya mengikuti pertunjuk As-Sunnah dan meningalkan setiap yang bertentangan dengannya.

Sesungguhnya Perintah Menjauhi Taqlid amat jelas disebut oleh Allah swt dalam Al-Quran

"وَلاَ تَقْفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِ عِلْمُ إِنَّ السَّمْعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسئُولاً" (لأسرا: 36)


"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Gejala taqlid amat berleluasa di kalangan masyarakat Melayu Malaysia sehingga ramai yang bertaqlid dan beramal dengan Islam hanya berdasarkan ikutan dan kepercayaan yang didengarnya tanpa mengetahui sebarang dalil mahupun hujah. Ramai orang hanya mendengar agama dari para ustaz dan golongan agama dan menerima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa mempertimbangkan terlebih dahulu isinya adakah bertepatan dengan pertunjuk dari Allah mahupun rasul atau sebaliknya.

Masyarakat Awam sanggup mengenepikan hukum hakam yang diistinbat dari Al-Quran mahu pun dari As-Sunnah sahihah semata-mata untuk menuruti mazhab, taqlid mereka pada imam,ulama', tok guru mahu pun ustaz atau individu tertentu yang tidaklah maksum . Sedang hal ini ditentang dan dikhabarkan dalam Al-Quran :


(2)

" اِتَّبِعُوا مَا أُنزِلَ إِلَيكُمْ مِن رَّبِكُم وَلاَ تَتَّبِعُوا مِن دُونِهِ أَولِياَءَ قَلِيلاً مَا تَذْكُرُونَ " (الأعراف: 3)


" Dan ikutlah apa yang diturunkan oleh tuhan kamu (Allah) dan janganlah kamu mengikuti pemimpin (panduan/ imam / mazhab) selain dari-Nya kerana sedikitlah manfaat yang kamu perolehi.." (Surah Al-A'raf : 3).

Lebih malang para ustaz dan golongan agama yang menjadi sumber taqlid masyarakat awam mereka sendiri juga tidak terlepas dari taqlid bahkan merekalah punca taqlid dengan mengikuti guru-guru mereka tanpa selidik dan bertaqlid pada sesetengah kitab tanpa meneliti dan mentahqiq, disamping menjadi agen kepada penyebar dusta, bohong dan kepercayaan karut yang dianggap benar dan dianggap sebagai ilmu oleh masyarakat lantaran kejahilan dan kerana dusta itu diucapkan dari mulut seorang tokoh agama yang dihormati dan terkenal.

Sungguh perbuatan ini amatlah tercela dan bertentangan dengan agama Islam yang suci. Mereka para ustaz dan golongan agama sungguh telah melakukan jenayah besar terhadap Islam sehingga menjadikan Islam agama yang penuh penipuan, pendustaan dan ibadah yang didirikan penuh dengan bid'ah dan penyelewengan dari kitab dan as-sunnah.

Jelaslah perbuatan mereka menyerupai perbuatan rahib-rahib yahudi yang mengada-adakan pelbagai hukum berdasarkan akal mereka kemudian mendakwa ianya dari ayat Allah swt dan perbuatan masyarakat awam Melayu benar-benar seperti golongan awam nasrani dan yahudi yang mengambil paderi-paderi dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain dari Allah swt seperti yang difirmankan dalam Al-Quran :

" اِتَّخِذُوْا أَحْبَارَهُم وَرُهْبَا نَهُم أَرْبَابًا مِن دُونِ اللََّهِ " (التوبة: 31)

" Mereka menjadikan para ulama' dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain dari Allah " (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam kebetulan Adi' bin Hatim ra (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah Salallahualaihiwasalam dengan

(3)

mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul Salallahualaihiwasalam :

إنهم إذا أحلوا لهم شيئا استحلوا وإذا حرموا عليهم شيئا حرموا فذلك عبادتهم


" Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib).[1]

Sungguh perbuatan taqlid dan menuruti seseorang tanpa ilmu amatlah dicela dan dikeji oleh agama Islam yang mulia.

Taqlid dari sudut bahasa bermaksud : Meletakkan sesuatu ikatan di tengkuk (Rujuk Al-Misbahul Munir (704 / 2), Air yang bertakung sama ada dalam perigi atau bekas . [2]

Dari sudut takrifan fuqaha, Taqlid bermaksud : Menerima perkataan atau pendapat seseorang tanpa berdasarkan hujah. [3] Manakala mengikut atau menuruti Al-Quran dan Hadith maka ia tidaklah dinamakan taqlid kerana Al-Quran dan Sunnah itu sendiri ialah hujah dan jika menurut pendapat imam, ulama' dengan mengetahui hujah apa yang digunakan oleh para imam dan ulama' tersebut maka ia tidaklah menjadi taqlid sebaliknya menjadi Ittiba' (Mengikut berdasar dalil, yakni menerima dan mengikuti sesuatu pendapat, ijtihad seseorang ulama' setelah kita mengetahui dalil-dalil yang digunakannya ).[4]


(4)


Ittiba tidaklah dicela bahkan diperintahkan pada golongan awam yang jahil dan tidak mempunyai kemampuan berijtihad lantaran kelemahan dari sudut ilmu, kemampuan akal atau memiliki kekurangan tertentu. Sebagaimana yang terdapat pada firman Allah swt dalam al-quran yang mengunakan istilah " Ittiba' :

" اِتَّبِعُوْا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُم مِن َّربِكُم " (الأعراف: 3)


" Dan ikutlah apa yang diturunkan oleh tuhan kamu (Allah)"(Surah Al-A'raf:3)

Kemudiannya diperintahkan pula bagi mereka yang jahil dan tidak mengetahui supaya berittiba' kepada golongan yang alim dan mengambil pelajaran dari mereka.


" فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُم لاَ تَعلَمُونَ" (النحل: 43)


" Bertanyalah kamu kepada orang yang mengerti jika kamu tidak mengetahui" (Surah An-Nahl : 43). (Untuk pemahaman lebih mendalam boleh merujuk Tafsir Ibn Katsir bagi ayat ini).
Para Ulama' telah bersepakat mengatakan hukum taqlid ialah haram, melainkan menurut pendapat imam atau mazhab dengan mengetahui hujah dan dalil yang dinamakan Ittiba' . Sedang taqlid tanpa dalil sekadar taqlid buta ialah haram dan kedudukannya terbahagi kepada beberapa keadaan.
1) Taqlid pada perkara aqidah maka hukumnya haram dan ditegah oleh para ulama'.
2) Taqlid pada perkara feqah dan ibadah :
-Taqlid pada mazhab atau imam dan apa yang ditaqlidnya itu benar

-Taqlid pada mazhab dan imam dan apa yang ditaqlidnya itu salah
Para ulama' mengatakan baik benar apa yang ditaqlid mahupun salah maka dia tetap berdosa dan jika apa yang ditaqlidnya itu salah maka dosanya lebih besar.
Membicarakan soal taqlid pasti mencetuskan kemarahan golongan tua yang sudah berkarat pemikiran mereka tentang hal taqlid dan enggan menerima perubahan. Mereka kerap menuduh golongan ulama' yang ingin membawa ummah kepada tajdid dan pembaharuan dari kejahilan kepada keilmuan sebagai satu usaha merbahaya dan sebagai satu usaha mengancam tradisi yang sekian lama dipegang oleh mereka.
Mereka (golongan tua) yang terdiri dari tok-tok guru pondok, para ustaz pencen dan ahli agama yang sealiran dengannya kerap menuduh para pelajar hadith, para

(5)

ulama' yang benar-benar alim dan gigih mempertahankan sunnah Nabi Salalallahualaihiwasalam sebagai "Wahabbi" atau " Kaum Muda" dan pelbagai lagi tuduhan yang tidak berasas dan langsung tiada nilai dari sudut ilmiah dan hujah di sisi Allah swt. Mereka hanya tahu menyesatkan golongan ini tanpa mampu menampilkan hujah dan dalil walau sepatah pun dengan kaedah ilmiah.
Mereka menuduh para ulama' dan golongan hadith yang cuba membersihkan Aqidah masyarakat yang penuh dengan kesesatan dan penyelewengan dari manhaj Ahlul Sunnah Wal-Jamaah sebagai zindiq (Sepertimana mereka (aliran pondok Melayu di Malaysia) menuduh para ulama' seperti Imam Ibn taimiyyah , Ibn Qayyim dan lain-lain sebagai Zindiq).
Mereka juga menuduh para golongan ulama' hadith yang cuba membersihkan ibadah masyarakat dari bid'ah dan dibina atas dasar jahil, taqlid kepada ilmu (Sepertimana mereka (pelajar-pelajar Al-Azhar ) menuduh Syeikh Alamah Albani ra, Syeikh Ibn Baz, Syeikh Soleh Utsaimin dll ) sebagai sesat dan Wahabbi .
Apakah itu Wahabbi ? Apakah itu Zindiq ? Apakah punca mereka dituduh sedemikian ? Demi Allah sehingga kalam ini ditulis tidaklah seorang pun pelajar Al-Azhar As-Syarif atau ulama' pondok , atau ustaz kampung atau mana-mana tokoh aliran taqlid dan jahil itu dapat menjawabnya !!!
Manakala golongan awam yang mengambil pemikiran golongan ini pun tanpa memikir panjang terus menerus membuat mungkar pada agama ini dengan menyebarkan dusta bohong serta penghinaan pada para ulama' yang banyak jasanya pada umat Islam.
Sedang para ulama' tersebut andainya mereka tersilap sekalipun kesilapan mereka bukanlah disengajakan bahkan mereka beroleh pahala atas ijtihad yang dilakukan dengan keilmuan mereka dan jauh dari sikap taqlid sebagaimana sabda Rasulullah Salallahulaihiwasalam :


إذا حكم الحاكم فاجتهدا ثم أصاب فله أجران وإذا حكم فاجتهد ثم اخطأ فله اجر


" Jika seorang qadhi itu berhukum lalu berijtihad maka jika ijtihadnya itu benar maka baginya dua pahala dan jika salah maka baginya satu pahala.[5]

(6)

Ada pun golongan jahil yang memburukkan para ulama' ini apalah yang mereka perolehi ? Tidak lain hanyalah semata dosa dan murka Allah swt..
Malahan jika menurut riwayat, Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad Bin Hasan sendiri berfatwa dan berijtihad menyalahi pendapat Imam Abu Hanifah lebih dari 1/3 dari seluruh isi mazhab Abu Hanifah walaupun mereka merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah. Sesungguhnya tujuan tajuk ini ditulis bukanlah bertujuan memburukkan sesiapa pun sebaliknya memberikan peringatan kepada masyarakat supaya kembali kepada Allah dan sunnah rasulnya dan memahami Islam dengan kaedah dan cara yang benar.


" وَذَكِّرْ فَاِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ المُؤْمِنِينَ " (الذريات :55)


" Dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat pada orang-orang yang beriman" (Surah Adz-Zariyat : 55).

Sangatlah disedihkan kepada golongan awam yang menjadi mangsa kejahilan, kedunguan para ustaz, golongan agama yang masih tetap dengan taqlid dan ajaran lama serta kitab kuning mereka. Golongan awam ini akhirnya terzalim dan mereka secara tidak langsung turut terlibat dalam kejahilan lantaran kecuaian orang-orang agama yang sepatutnya menjadi pelita dan menerangi ummat dari kegelapan yang akhirnya menjadi sebahagian dari kegelapan itu sendiri.

Ketika risalah ini ditulis, penulis mendapat berita ajaran sufi (satu puak yang jauh menyimpang dari ajaran Ahlul Sunnah Wal-Jamaah-InsyaAllah akan menyusul tajuk mengupas kebathilan mereka ini pada Kitab Aqidah) sedang merebak di Malaysia dengan pesat.

Kemasukan sufi di tanahair Malaysia bermakna akan menyebarlah ajaran sesat, tariqah bathil yang mendakwa membawa manusia kepada Allah dengan jalan yang langsung tidak pernah dilalui oleh para Salaf soleh (Sahabat ra, tabi'ien, tabi' tabi'ien).Malah ajaran ini sudah cukup menyebar di Al-Azhar sehingga para pelajarnya pun siang malam belajar zikir-zikir yang pelik dan berangan-angan menjadi wali-wali dan menuruti jalan sufi. Pernah penulis terbaca sendiri laman web mereka yang menulis dan mengajak orang ramai menuruti jalan para ahlul sufi

(7)

seperti Rabiatul Adawiyah , Abdul Qadir Al-Jilani dll.

Sungguh sangat jauh mereka ini dari nikmat sunnah rasul dan nikmat pedoman para salaf soleh yang terlebih dahulu mengenal Islam dan diberi hidayah oleh Allah swt.
Apakah mereka sudah lupa betapa Allah swt memerintahkan supaya setiap perkara harus dirujuk kepada dalil dan pertunjuk dari-Nya ?

"قُلْ إِن كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُوْرٌ رَّحِيمٌ"


" Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih " (Ali Imran -31).
Sangatlah memelikkan bagaimana mereka boleh meninggalkan para imam, para ulama' dan menuruti sufi bodoh yang langsung entah benar dan entah betul serta tidak maksum dan jahil agama. Bahkan pernah sampai kepada kita satu riwayat dari Imam Ahmad seperti dalam riwayat Imam Abi Faraz Abd Rahman ibn Jauzi Al-Bagdadi (sama seperti riwayat sebelumnya cuma wujud perbezaan pada peribadi) mengenai seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad ra bahawa Ibrahim ibn Adam (seorang Sufi ) telah berkata sekian dan sekian, maka dijawab oleh Imam Ahmad " Tetaplah kamu pada dalil" dan Tinggalkanlah kalam orang bodoh !!!.
Bala yang dibawa oleh sufi dan ajaran karut dari cabang ilmunya ialah kisah-kisah wali dongeng, kisah palsu berkait sirah nabi dan para sahabat (yang kesemuanya dusta tanpa ada yang benar kecuali dusta !!!), disamping zikir-zikir dan ibadah karut yang tanpa sabit dari nas dalil dan juga bala perekaan hadith-hadith Maudhu' (palsu) yang bercambah dalam masyarakat.
Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda :

اتقوا الحديث عنّي إلا ما علمتم

" Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)".[6]
Sedikit kurang bahaya dari sufi (yang melibatkan soal aqidah) ialah perihal taqlid dalam masalah ibadah. Iaitu masalah peribadatan masyarakat Islam Malaysia dalam feqah yang semuanya mengaku bermazhab Syafie tapi langsung tiada dalil dan

(8)

hujah bahkan jauh menyimpang dari panduan para imam mazhab dan juga para ulama' salaf soleh.
Para golongan agama, ustaz-ustaz taqlid dan tok-tok guru pondok apabila kita mengajak mereka supaya menggunakan dalil dan kembali kepada feqah berdasar sunnah dan dalil maka mereka menuduh kita sebagai " Tidak bermazhab" dan sebagai sesat dan kononnya kita ini membenci imam-imam dan menuduh kononnya kita ini terkeluar dari mazhab yang empat sekaligus terkeluar dari Ahlul Sunnah Wal-Jamaah sedangkan perbuatan merekalah yang Demi Allah terkeluar dari manhaj Ahlul Sunnah Wal- Jamaah dan terkeluar dari sunnah nabi Salallahualaihiwasalam.
Sedangkan jelas para imam mazhab sendiri menjelaskan dalam kenyataan mereka akan bencinya mereka pada taqlid dan tidak mengiktiraf wujudnya mazhab dan tidak mengiktiraf perlunya mazhab tertentu dan terikatnya seseorang pada mazhab.
Imam Abu Hanifah ra sendiri pernah menyebut :

إذا صح الحديث فهو مذهبي

"Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)" [7]

لا يحل لأ حد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه

" Tidak halal bagi siapapun untuk memegang pendapat kami tanpa mengetahui dari mana dalil yang kami ambil" [8]

Begitu juga Imam Malik ra menyebut :

ليس أحد بعد النبي صلي الله عليه وسلم إلا و يؤخذ من قوله ويترك إلا النبي صلي الله عليه وسلم

"Tidak ada sesiapa pun selepas Nabi salallahualaihiwasalam melainkan kita boleh ambil dan boleh pula tinggalkan pendapatnya melainkan Nabi salallahualaihiwasalam" [9]


Imam Ahmad Ibn Hanbal ra juga turut menyebut :

لا تقلدني , ولا تقلد مالكًا, ولا الشافعي , ولا الأوزاعي , ولا الثوري, وخذ من حيث أخذوا.

" Janganlah kamu bertaqlid kepada aku, janganlah bertaqlid kepada Imam Malik, janganlah kamu bertaqlid kepada Imam Syafi'ie dan jangan kepada

(9)

Imam Al-Auza'ie dan jangan juga kepada Imam As-Sau'ri, tetapi ambillah hujah dari mana sumber yang mereka ambil…". [10]


Begitu jugalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Syafi'ie ra :
Dan Imam Syafi'ie ra juga meyebut :

إذا صح الحديث فهو مذهبي

"Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)" [11]

أنتم أعلم بالحديث و الرجال مني, فإذا الحديث الصحيح فأعلموني به

" Kamu lebih alim tentang hadith dan ilmu rijal dari aku (katanya kepada Imam Ahmad ibn Hanbal) maka jika sesuatu hadith itu sahih maka beritahulah aku tentangnya…".[12]

كل حديث عن النبي صلي الله عليه فهو قولي , و إن لم تسمعوه مني

" Setiap Hadith dari Nabi Salallahulaihiwasalam itulah sebenarnya pendapat aku cuma sahaja mungkin kamu tidak mendengarkannya dari aku."

من قلد معينا في تحريم شيء أو تحليله وقد ثبت الحديث علي خلافه ومنعه التقليد عن العمل بالسنّة فقد اتخذ من قلّده ربّا من دون الله تعالي

"Barangsiapa yang bertaqlid pada mengharamkan sesuatu atau menghalalkan sesuatu dan jelas taqlidnya itu berlawanan dengan hadith dan kerana taqlidnya itu menyebabkan dia dilarang atau menyekatnya dari beramal dengan sunnah maka sesungguhnya dia telah mengambil orang yang ditaqlidnya itu sebagai tuhan selain dari Allah swt ." [13]

فحديث نبي أولى فلا تقلدوني

" Dan sesungguhnya hadith nabi itu lebih utama, dan janganlah bertaqlid padaku." [14]


Demikianlah para ulama' Ahlul Sunnah menyebut secara jelas dalam kalam mereka pada kitab-kitab mereka bagi melepaskan diri mereka dari dakwaan golongan yang

(10)

mengaku bertaqlid pada mereka dan menjadikan mereka sebagai kambing hitam bagi menempelkan kesalahan kejahilan dan setiap perbuatan bid'ah mereka pada imam-imam mazhab.

Sungguh Allah menjadi saksi bahawa para imam mazhab jauh dan bebas dari dakwaan golongan agama, tok-tok guru pondok, para ustaz, para pelajar Al-Azhar yang mengaku bertaqlid pada imam dan mazhab Syafi'ie. Sungguh malang mereka kerana ternyata mereka masih enggan menerima kebenaran walau sudah sampai ilmu dan nasihat kepada mereka..
Mereka masih tetap angkuh dan mendakwa mereka benar dan tetap berfatwa yang bukan-bukan terhadap ayat Allah tanpa ilmu dan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Sungguh mereka benar-benar tidak takut pada celaan Allah swt :


" أَمْ تَقُوْلُوْنَ عَلَى اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ ؟ " (البقرة: 80)

" Apakah kamu mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu ?" (Surah Al-Baqarah : 80).

Sangatlah buruk perbuatan mereka dan sebahagian besar masyarakat yang masih berpegang kepada sangkaan dan keyakinan mereka bahawa mereka benar tanpa penyelidikan, penelitian dan pengkajian bagi mensabitkan apakah selama ini mereka berada dalam kebenaran atau selama ini mereka berada dalam penipuan, kesesatan dan kesilapan. Sesungguhnya sangka-sangka mereka sangatlah tidak bermanfaat dan tidak menyelamatkan mereka sedikitpun.

Benarlah kalam Allah swt :

"إِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الحَّقِِ شَيئًا (يونس :36)"

" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).
(11)

Bahkan tidak cukup sekadar itu baginda Salallahualaihiwasalam sendiri memperingatkan umatnya supaya tidak hanya bersangka-sangka dan terus bertaqlid sebaliknya menekankan soal ketelitian dan kebenaran.

إياكم والظن فأن الظن أكذب الحديث

" Berhati-hatilah kamu pada bersangka-sangka sesungguhnya bersangka-sangka itu sebesar-besar pembohongan." [15]

" اِتَّبِعُوْا أَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِكُمْ" (الزمر:55)

"Dan ikutlah apa yang terbaik yang telah diturunkan oleh tuhan kamu." (Surah Az-Zumar :55).

Sesungguhnya Sunnah Rasulullah Salallahualaihiwasalam merupakan khazanah berharga dan yang terbaik buat manusia maka itulah sebaik-baik pertunjuk dan sebaik-baik jalan yang telah dilalui oleh golongan sebelum kita. Semoga Allah menyelamatkan kita dari menjadi golongan yang merugi di dunia dan akhirat.


و الله اعلم بصواب


[1] Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.3095 & Baihaqi.
[2] Lihat Lisanul Arab m/s 469 cet. Darul Hadith Kaherah.
[3] Sila lihat Imam Syi'razi dalam Syarah Al-Luma' m/s 1005 Jilid 2 & Abu Khutob dalam Tahmid m/s 395 Jilid 4,
[4] Lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 43 Jilid 1.
[5] Hadith Sahih disepakati Bukhari no.7352 & Muslim no. 4462.

(12)

[6] Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad.
[7] Sila rujuk Hasyiyah Ibn A'bidin m/s 63 Jilid 1.
[8] Sila rujuk Ibn Abd Barr dalam Al-Intiqa fi Fadlul Salasa A'immah Fuqahah, m/s 145 dan Ibn Qayyim dalam I'lamul Muaqi'in, m/s 29.
[9] Sila rujuk Ibn Abd Barr, Al-Jami' m/s 91 Jilid 2, dan Ibn Hazm dalam Usul Ahkam, m/s 179 Jilid 2.
[10] Sila rujuk Ibn Qayyim dalam kitabnya "Al-I'lam" m/s 302 Jilid 2.
[11] Sila rujuk Imam An-Nawawi dalam kitabnya "Al-Majmuk", m/s 63 Jilid 2.
[12] Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya "Adabul Syafi'ie", m/s 94.
[13] Hidayahtul Sulton.
[14] Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93.
[15] Muttafaqun alaih,Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 5144 & Muslim no. 1563.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...