Bismillah
Dalam bulan Ramadan ataupun ketika berbuka puasa, soalan ‘solat dulu ataupun makan dulu’ sering kedengaran. Ini terutama dalam keluarga yang ada ramai ahli terutama anak-anak
yang masih kecil yang dilatih berpuasa. Juga soalan ini kedengaran
apabila kita dijemput berbuka puasa di rumah orang lain yang ingin
melayan kita.
Makan Dulu
Ada orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang
terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang
apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun
meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan
oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun,
jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w kita akan dapati
penegasan yang sebaliknya. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.:
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila
dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka
beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan,
walaupun beliau mendengar bacaan imam.
Hikmah daripada arahan Nabi s.a.w agar mendahulukan makan ialah agar
pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan
yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi.
Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama
menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata.
Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata
al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas
hadis-hadis berkaitan:
“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.
Dalam Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya:
“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
Salah Faham
Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita
makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat. Hal yang
sama apabila kita dilarang bersolat dalam keadaan terasa ingin membuang
air besar ataupun air kecil. Nabi bersabda:
“Tiada solat (jangan dirikan solat) dalam keadaan makanan terhidang dan dalam keadaan menahan air besar atau air kecil” (Riwayat Muslim).
Ini bukanlah bererti kita menganggap buang air besar dan kecil itu
lebih utama dari solat, sebaliknya mendahului kedua perkara itu demi
menjaga kepentingan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru
bersolat adalah sunnah Nabi s.a.w. Maka apabila makanan terhidang,
ibubapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika
berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.
Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah
dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu
gagal bersolat dengan sempurna.
Tidak Makruh
Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan
menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata
terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai
bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau
makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat
kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.
Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah
terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah)
larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu
kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah
pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah terhidang. Semoga ALLAH merahmati setiap yang mengambil ibrah daripada nukilan ini. Ramadhan Mubarakah 'Alaikum. Assalam
Karya asal oleh Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin / Di kongsikan oleh Abdullah Ibnu Ismail
No comments:
Post a Comment