"Kita adalah sepertimana solat kita" |
Soalan:
Akhi, bolehkah perempuan solat Jumaat?
Farah Hanum, California
Ukhti, semoga ALLAH merahmati kita semua. Jazakallahu Khairan Kastira’ atas soalan yang ukhti kehadapankan ini. Ia bukan saja memberi peluang untuk pembaca lainnya memahami dengan lebih baik berkenaan perkara ini tetapi ia juga memberi ruang kepada saya untuk lebih teliti dalam berdalil untuk beramal. Saya jawab persoalan ukhti ini dengan beberapa perkara berkaitan. Moga kita semua diberi kefahaman dan keyakinan dalam beramal.
Apakah hukum solat Jumaat bagi muslimat?
Solat Jumaat merupakan kewajipan yang telah diputuskan oleh ALLAH dan Rasul-NYA keatas semua Muslim yang mukallaf dan pengabaian terhadapnya dengan sengaja adalah berdosa besar. Namun, terdapat beberapa golongan yang diberi pengecualian terhadapanya berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:
Sabda Nabi SAW;
الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة: عبد مملوك، أو امرأة، أو صبي، أو مريض
Maksudnya;“Jumaat adalah hak yang wajib atas setiap muslim dengan jamaah melainkan empat, iaitu hamba yang dimiliki, atau perempuan, atau kanak-kanak, atau orang sakit” (Maksud hadith dari Thariq bin Syihab radiallahu-anha, Sunan Abu Daud - no: 1026 dan disahihkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi dan asy-Shaukani,Nail-ul-Authar, 3/527.)
Sabda Nabi SAW lagi;
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فعليه الجمعة إلا امرأة ومسافراً وعبداً ومريضاً
Maksudnya;“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan solat jumaat melainkan perempuan, orang bermusafir, hamba dan orang yang sakit” (Riwayat di atas ditakhrij oleh Imam ad-Daruquthni dan al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu, dinyatakan kelemahannya oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 3/527-528 hingga jatuh kepada taraf Dhaif).
Berdasarkan hadith di atas, Al-Imam Ibnu Munzir dalam kitabnya “Al-Ijm’a” menyatakan bahawa tiada khilaf dan telah bersepakat para ulama’ bahawa tidak wajib bagi seorang muslimat.
Bolehkah Muslimat menunaikan solat Jumaat?
Sekalipun lengkap kukuh dalil dan ijm’a yang menyatakan bahawa tidak wajib bagi seorang muslimat itu menunaikan solat Jumaat, namun masih ada ruang kebenaran untuk mereka menunaikannya jika begitu mahunya.
Sabda Nabi SAW;
لاتمنعوا نساءكم المساجد وبيوتهن خير لهن
Maksudnya: Jangan kamu tegah isteri dan anak perempuan kamu untuk solat di masjid; Solat di rumah lebih baik bagi mereka. (HR Abu Daud)
Sabda Nabi SAW lagi;
لا تمنعوا إماء الله المساجد ولكن ليخرجن تفلات
Maksudnya: Janganlah kamu tegah wanita-wanita di bawah tanggunganmu ke masjid; tetapi hendak mereka keluar dengan tidak memakai wangian. (HR Bukhari dan Muslim)
Ibnu Umar berkata, "Istri Umar menghadiri shalat subuh dan isya dengan berjamaah di masjid. Kemudian kepada istri Umar itu ditanyakan, 'Mengapa Anda keluar, sedangkan Anda mengetahui bahwa Umar tidak menyukai hal itu dan suka cemburu.' Istri Umar menjawab, 'Kalau begitu, apakah yang menghalanginya untuk mencegahku?' Orang itu berkata, 'Yang menghalangi Umar ialah sabda Rasulullah, 'Janganlah kamu semua mencegah hamba-hamba wanita Allah untuk mendatangi masjid-masjid Allah."' (HR Bukhari)
Sekalipun begitu, kebenaran ini masih juga terikat dengan khilaf perbincangan para fuqaha’ yang membahaskannya atas beberapa kemashlatan, keadaan, dan keutamaan.
“Dalam membahaskan hadith-hadith diatas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarah Shahih Muslim 4:382-383).”
Menurut Al-Fadhil Dr As-Syaikh ‘Atiyyah Saqqar didalam kitab “Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-Fatawa wa Al-Ahkam”. Beliau menyatakan, ulama membahaskan perkara ini seperti berikut;
- Ahnaf (Mazhab Hanafi): Yang paling afdhal bagi perempuan menunaikan solat zohor di rumahnya, samada perempuan itu tua atau muda.
- Malikiyyah (Mazhab Maliki) : Sekiranya perempuan itu bersangatan tua yang tidak menarik perhatian lelaki, maka harus bagi perempuan itu menunaikan solat jumaat. Adapun sekiranya perempuan itu boleh menarik perhatian kaum lelaki yang tidak membawa fitnah, maka hukum menghadiri solat jumaat adalah makruh. Adapun boleh mendatangkan fitnah, maka hukumnya adalah haram.
- Hanabilah (Mazhab Hanbali) : Diharuskan perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya tidak berhias. Adapun berhias, maka hukumnya adalah makruh.
- Syafiiyyah (Mazhab Syafi’i) : Makruh perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya ianya boleh disyahwati, walaupun ianya dengan memakai pakaian tebal sekalipun. Begitujuga, makruh perempuan menghadiri solat jumaat, sekiranya ianya tidak disyahwati, tetapi dia berwangi-wangian atau berhias.
“Pun begitu, ulama-ulama menyatakan haram kehadiran perempuan kepada solat jumaat yang boleh menimbulkan fitnah”. (Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-fatawa wa Al-Ahkam : 1/627-628)
“Dalam hal ini, menurut Prof. Abdul Karim Zaidan, para wanita diperbolehkan dan dianjurkan untuk solat jumaat dengan syarat telah mendapatkan izin suami atau walinya, tidak menimbulkan fitnah, tidak memakai wangian, dan tidak berhias. Kalau mereka mampu memenuhi kelima syarat tersebut, mereka dianjurkan untuk ke masjid karana Solat Jumaat dikerjakan satu kali dalam seminggu di mana di dalamnya ada khutbah yang sangat berguna bagi mereka selain juga menjadi satu wadah untuk berkenalan dengan para wanita muslimah lainnya.”
Perlukah solat Dhuhur selepas menunaikan solat Jumaat?
Bagi para muslimat yang sudah menunaikan solat Jumaat, ianya telah menjadi satu rukhsah ibadah yang telah menggugurkan kefardhuan Dhuhur keatas mereka.
Imam Ibnul Mundzir dalam kitabnya Al-Ijma' (m/s 44) menyatakan bahwa para ulama telah bersepakat dalam hal ini bahawa wanita yang telah mengerjakan solat jumaat tidak perlu lagi mengerjakan solat dhuhur.
Antara Solat Dhuhur di rumah atau Solat Jumaat berjemaah di masjid, manakah lebih utama dan afdhal?
Solat berjemaah di masjid atau musolla sangat digalakkan dalam Islam. Hadis-hadis Rasulullah SAW juga cukup banyak dalam memberi memberi motivasi bahawa kebaikan orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian. Juga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah.
Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid.
Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik muslimin mahupun muslimat.
Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.
Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi muslimat. Hal itu sesuai dengan ijm’a ulama. Adapun dibolehkan mereka untuk turut serta dalam solat berjemaah bukan bererti ia merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi msulimat maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama.” (Al Muhalla 4: 196)
Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid.
Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud:
“Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu.” (riwayat Ibn Khuzaimah)
Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka." (riwayat Ibnu Khuzaimah)
Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz: “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka, maksudnya adalah, solat mereka (muslimat) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid.”
“Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya.” (Al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).
Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.
Sahkah Solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang kurang dari 40 orang?
Adakalanya apabila kita menghadiri solat Jumaat di masjid-masjid atau surau-surau di negara-negara di mana umat Islamnya wujud sebagai kaum minoriti, kita akan dapati solat Jumaat mereka dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang. Maka dalam suasana ini bagaimanakah hukum solat Jumaat tersebut mengingatkan kepada pendapat masyhur tempatan yang mengatakan bahawa bilangan minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang ?
Dalam hal ini tidak akan dibicarakan hukum solat Jumaat yang dihadiri kurang daripada 40 orang tetapi sebaliknya akan mengupas dasar rujukan bilangan 40 itu sendiri. Pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum jemaah solat Jumaat adalah 40 orang adalah berdasarkan kepada hadith berikut ini:
“Abdurrahman bin Ka'ab menceritakan bahawa apabila ayahnya mendengar seruan azan hari Jumaat, dia mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku: Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ? Jawab ayahku: Kerana dialah yang pertama kali melakukan solat Jumaat bersama kami di Hazm Annabit, terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi'ul Khadhamat. Aku bertanya: Berapa orang (yang hadir) ketika itu ? Jawab ayahku: 40 orang. “(Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 1028 , dinilai hasan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Nail-ul-Authar, 3/535.)
Hadith di atas dijadikan sumber rujukan oleh pihak yang berpendapat bahawa jumlah minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang. Walaubagaimanapun pengkajian mendalam oleh ahli-ahli hadith serta fiqh mendapati bahawa hadith di atas tidak boleh dijadikan sumber patukan hukum 40 orang sebagai bilangan minimum kerana hadith tersebut hanya menyatakan jumlah jemaah yang hadir dan tidak pula membatasi jumlah tersebut. Justeru itu hadith di atas tidak boleh dijadikan hujah bagi menghadkan bilangan minimum jemaah bagi satu-satu solat Jumaat yang dilaksanakan.
“Imam asy-Shaukani menulis: Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadith di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum.” (Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/536 )
“Selain itu pihak yang menghadkan jumlah minimum 40 orang juga merujuk kepada atsar sahabat berikut ini, di mana Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhu telah diriwayatkan berkata: Kami solat Jumaat bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Ibnu Mas'ud) adalah orang terakhir yang datang sedang jumlah kami adalah 40 orang laki-laki. “(Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Baihaqi dari Nail-ul-Authar, 3/537 , dikemukakan oleh Imam asy-Shaukani tanpa membicarakan status kekuatannya. Sebagai analisa, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili ada mengemukakan sebuah atsar berlainan yang juga berasal dari Abdullah ibnu Mas'ud yang menerangkan bahawa jumlah minima jemaah solat Jumaat adalah 40 orang dan tidak sah jikalau jumlah ini dikurangi. Walaubagaimanapun atsar ini yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi tidak dikemukakan sumber rujukannya dan ia juga tidak dijadikan dalil pegangan oleh Dr. Wahbah Zuhaili sendiri. Lihat kitab beliau - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/295)
Atsar ini juga tidak boleh dijadikan rujukan tepat kerana ia hanya menceritakan secara kebetulan bahawa jumlah jemaah adalah 40 orang dan bukannya pula mensyaratkan jumlah minimum 40 orang.
“Apa yang benar dalam hal ini adalah - tidak ada jumlah minimum bilangan jemaah yang disyaratkan oleh syari'at bagi mensahkan sesuatu solat Jumaat itu. Dalam beberapa riwayat-riwayat lain jelas tertera bahawa solat Jumaat pernah didirikan di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dengan jumlah yang kurang dari 40 orang.” (Kajian lanjut terhadap riwayat-riwayat ini, sila lihat buku Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 113-124 oleh A. Chodri Romli, terbitan Al-Hidayah, M'sia, 1994.)
“Pernah sekali suatu rombongan perdagangan dari Syam tiba di kala Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sedang memberi khutbah solat Jumaat lalu para jemaah terus keluar dan menuju kepada rombongan tersebut sehingga yang tertinggal di masjid hanya 12 orang sahaja. Solat Jumaat itu diteruskan dengan jemaah yang 12 tersebut tanpa apa-apa halangan atau pembatalan dan tidak pula diulangkan. “(Maksud pengajaran hadith dari Sunan Tirmizi - no: 3365, dikemukakan sebagai hujah oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/294dan A. Chodri Romli - Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 27-28.)
“Yang sahih adalah - apabila sahaja sesuatu solat Jumaat itu menepati syarat-syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum, maka itu adalah mencukupi sebagai syarat sah solat tersebut. Imam asy-Shaukani menganalisa: Ketahuilah, tidak ada landasan dalil untuk mensyaratkan jumlah 80, 30, 10, 9 mahupun 7 orang, begitu pula sahnya Jumaat hanya dengan satu orang sahaja. Pihak-pihak yang menganggap sahnya Jumaat hanya dengan 2 orang sahaja beralasan bahawa jumlah ini adalah berdasarkan hadith dan ijma'. Mereka berpendapat tidak ada dalil yang mengsyaratkan jumlah tertentu padahal jemaah dalam solat apajua sudah sah hanya dengan 2 orang, tidak ada perbezaan antara solat Jumaat dan solat jemaah. Dan tidak ada nas dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bahawa solat Jumaat tidak sah kecuali dengan jumlah sekian-sekian orang. Pendapat inilah yang paling kuat dan rajih menurut saya.” ( Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/538.)
“Prof. Dr. Wahbah Zuhaili juga telah menulis: Jelas kepada pengarang bahawa sembahyang Jumaat perlu kepada perhimpunan jemaah. Apabila tercapai jemaah yang ramai mengikut kebiasaan maka diwajibkan sembahyang Jumaat dan hukumnya adalah sah. Dan tidak terdapat nas yang jelas yang mensyaratkan bilangan tertentu tetapi jemaah adalah syarat yang disepakati semua ulama' bagi sembahyang Jumaat kerana sudah maklum di dalam syara' bahawa jemaah itu terdapat ketika sembahyang.” (Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/296.)
Kesimpulan dalam perbicaraan ini adalah bahawa tidak ada jumlah minimum jemaah yang perlu untuk dijadikan syarat sah solat Jumaat. Asal sahaja dalam sesuatu perhimpunan itu menepati syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum maka itu adalah memadai. Sudah tentu semakin ramai jemaah semakin afdal solat tersebut tetapi ini adalah sekadar keutamaan dan bukan syarat ketetapan. Oleh itu seseorang yang menyertai solat Jumaat yang dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang, samada di seberang mahupun di tanah air, maka solatnya itu beserta solat para jemaah lainnya adalah tetap sah dan insyaALLAH diterima.
Adakah penganjuran solat sunnah qabliah dan b’adiah Jumaat?
Adakah penganjuran solat sunnah qabliah dan b’adiah Jumaat?
Para ulama sepakat bahwa shalat sunnat yang di lakukan setelah solat jumaat adalah sunnah dan termasuk rawatib ba’diyah Jum’at. seperti yang di riwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari:
Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. ia berkata: Rasulullah saw bersabda:
”Jika salah seorang di antara kalian solat jumaat hendaklah solat empat raka’at setelahnya”. (HR. Bukhari dan Muslim).
Sedangkan shalat sunnah sebelum shalat Jum’at terdapat dua kemungkinan.
- Pertama, solat sunnah mutlak, hukumnya sunnah. Waktu pelaksanannya berakhir pada saat imam memulai khutbah.
- Kedua, shalat sunnah qabliyyah Jum’at. Para ulama berbeda pendapat tentang solat sunnah qabliyyah Juma’at. Pertama, solat qabliyyah Jum’ah dianjurkan untuk dilaksanakan (sunnah). Pendapat ini di kemukakan oleh Imam Abu Hanifah, Syafi’iyyah (menurut pendapat yang dalilnya lebih tegas) dan pendapat Hanabilah dalam riwayat yang tidak masyhur. Kedua, solat qabliyyah Jum’at tidak disunnahkan menurut pendapat Imam Malik, sebagian Hanabilah dalam riwayat yang masyhur
Adapun dalil yang menyatakan dianjurkannya solat sunnah qabliyah Jum’at:
Rasulullah SAW bersabda;
“Semua shalat fardlu itu pasti diikuti oleh solat sunnah qabliyah dua rakaat”. (HR.Ibnu Hibban yang telah dianggap shohih dari hadist Abdullah Bin Zubair).
Hadist ini secara umum menerangkan adanya solat sunnah qabliyah tanpa terkecuali shalat Jum’at.
Rasulullah SAW bersabda lagi;
“Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. berkata: Sulayk al Ghathafani datang (ke masjid), sedangkan Rasulullah saw sedang berkhuthbah. Lalu Nabi SAW bertanya: Apakah kamu sudah solat sebelum datang ke sini? Sulayk menjawab: Belum. Nabi SAW bersabda: Solatlah dua raka’at dan ringankan saja (jangan membaca surat panjang-panjang)” (Sunan Ibn Majah: 1104).
Berdasar dalil-dalil tersebut, Imam al Nawawi menegaskan dalam kitab al Majmu’ Syarh al Muhadzdzab:
“Menerangkan tentang sunnah shalat Jum’at sebelumnya dan sesudahnya. Disunnahkan solat sunnah sebelum dan sesudah solat jumaat. Paling sedikit dua raka’at sebelum dan sesudah solat jumaat. Namun yang paling sempurna adalah shalat sunnah empat raka’at sebelum dan sesudah solat jumaat”. (Al Majmu’, Juz 4: 9)
Adapun Dalil yang menerangkan tidak dianjurkannya solat sunnat qabliyah Jum’at adalah:
Dari Saib Bin Yazid: “Pada awalnya, adzan jum’at dilakukan pada saat imam berada di atas mimbar yaitu pada masa Nabi SAW, Abu bakar dan Umar, tetapi setelah zaman Ustman dan manusia semakin banyak maka Sahabat Ustman menambah adzan menjadi tiga kali (memasukkan iqamat), menurut riwayat Imam Bukhori menambah adzan menjadi dua kali (tanpa memasukkan iqamat). (H.R. riwayat Jama’ah kecuali Imam Muslim).
Dengan hadith di atas Ibnu al-Qayyim berpendapat, “Ketika Nabi keluar dari rumahnya langsung naik mimbar kemudian Bilal mengumandangkan adzan. Setelah adzan selesai Nabi SAW langsung berkhutbah tanpa adanya pemisah antara adzan dan khutbah, jadi bila Nabi SAW dan jama’ah itu melaksanakan solat sunnah qabliyah Jumaat?
Dari dua pendapat dan dalilnya diatas jelas bahwa pendapat kedua adalah interpretasi dari tidak solatnya Nabi SAW sebelum naik ke mimbar untuk membaca khutbah. Sedangkan pendapat pertama berlandaskan dalil yang sudah sharih (argumen tegas dan jelas). Maka pendapat pertama yang mensunnahkan shalat qabliyyah jumaat tentu lebih kuat dan lebih unggul (rajih).
Kesimpulan Secara Keseluruhan
- Solat fardhu Jumaat tidak diwajibkan keatas muslimat namun dibenarkan mereka untuk menunaikannya dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
- Sekalipun solat fardhu Jumaat secara berjemaah dibenarkan bagi muslimat untuk menunaikannya, kedudukan solat dirumah itu lebih afdhal dan utama bagi mereka.
- Solat fardhu Jumaat sah untuk ditunaikan sekalipun jumlah jemaah yang menyertainya kurang daripada 40 orang. Cukup sekadar mempunyai imam dan makmum atau lebih tepat lagi sekadar mempunyai jemaah.
- Solat sunnah qabliah dan b’adiah Jumaah itu adalah satu sunnah yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah SAW.
Kesemua permasalahan di atas adalah khilafiyah furu’iyyah iaini perbedaan dalam cabang hukum agama, maka tidak sepatutnya di sempit penerimaannya di antara dua pendapat di atas. Dalam kaidah fiqh mengatakan “la yunkaru al-mukhtalaf fih wa innama yunkaru al- mujma’ alaih” (Seseorang boleh mengikuti salah satu pendapat yang diperselisihkan ulama dan tidak boleh mencegahnya untuk melakukan hal itu, kecuali permasalahan yang telah disepakati). Setiap di antara mereka yang bertungkus lumus mengusahakan dalil dan pendapat di atas adalah para ulama’, pewaris nabi yang kita cintai. Teladan para salafus soleh menganjurkan kita untuk menghormati pendapat daripada mereka. Jika diterima, maka janganlah dihalang untuk yang selainnya dan jika ditolah, maka tolaklah dengan penuh berhikmah tanpa perlu menimbulkan fitnah yang merosakkan kesucian agama Islam yang mulia ini. Semoga ALLAH merahmati kita semua sebagai pencari cintaNYA. Wallahu Ta’ala ‘Alam.
SALAM'ALAIKA AKHI, ABU MUHAMMAD..
ReplyDeleteMOGE USAHA KAMU INI DIRAHMATI DAN DIBERKATI OLEH ALLAH HENDAKNYA..AMEEN YA ALLAH..
cuma nak tambah kesimpulan..^^..
''bahawa wanita yang telah mengerjakan solat jumaat tidak perlu lagi mengerjakan solat dhuhur.''
jazakallah wa barakallahufiq ya mujahid..
mustahil perkara harus itu memansuhkan perkara wajib (dzohor).perintah Allah taala didalm suraj al jumuah ayat 9.wajib bagi org yang beriman (sedang yg beriman itu bukan lelaki tetapi ada juga dr golongan wanita) selamat beramal.
ReplyDeleteBetul apa yang diperkatakan oleh saudara azlee itu. Saya belajar dgn syeikh Ismail (masih hidup umur 89), solat jumaat wajib keatas perempuan. Hadis itu memberitahu bahawa gugur jemaah, bukan gugur jumaat. Wajib keatas muslim dgn jemaah, kecuali empat (yg gugur jemaah). Lgpun tiada dalil ganti solat zohor
ReplyDeleteSalaam. Saya ada pertanyaan. Saya dapat tawaran utk berkerja di satu kawasan yg sangat jauh dari masjid. Saya tidak ingin meninggalkan solat jumaat saya. Soalannya Bolehkah kita solat jumaat bersendirian?
ReplyDeleteapa perlu kita buat jika kita tidak menghadiri solat jumaat 3 kali berturut turut?
ReplyDelete