Friday, July 15, 2011

MAHAR SEBUAH SYURGA


Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Kita mesti belajar ‘mengorbankan’ sesuatu yang berharga untuk mendapat sesuatu yang lain, yang lebih berharga. Begitu ditakdirkan oleh Allah. Oleh hukum sunnatullah. Di persimpangan ini kita mohon hidayah, biarlah suluhan hati kita dan pertimbangan akal ini dipandu oleh Allah. Jangan sampai kita tersalah pilih. “Pilihlah pilihan yang tidak memaksa kita untuk memilih”. Bukankah begitu kata orang bijak pandai? Fikir dan Zikirkan…

Untuk sahabat dan saudara/i pengunjung blog Mindasunnah… marilah sama-sama kita mengambil peringatan daripada tulisan ini:

MAHAR SEBUAH SYURGA.

Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi “sunnatullah”, kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka kita lakukan.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada “zon selesa” menuju “zon mencabar” kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu “awkward”– yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:

“Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan.  Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Untuk melakukan perkara yang “perlu” dibuat walaupun kita tidak “suka” membuatnya, menagih ketabahan, keberanian dan istiqamah (konsisten). Ini semua seolah-olah “menyeksa” diri sendiri. No pain, no gain – tidak ada “kesakitan”, tidak ada ganjaran. Berakit-rakit ke hulu, berenang-berang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Begitu yang dipesan sejak dulu. Justeru, untuk berjaya “mujahadah” itu adalah wajib.

Mujahadah ertinya “berperang” dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan. Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”.

Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit, tak boleh. Hendaknya… banyak rehat. Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.

Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk “menanam”. Di sana (akhirat) nanti barulah kita menuai. Musim bertanam memanglah payah – mencangkul, membaja, menjaga dari serangga dan bermacam-macam-macam lagi kesusahan.  Bila menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.

Dunia diumpamakan  tempat “membayar”. Di akhirat nanti tempat “bermain”. Pay now, play later. Bayar di sini, “berseronoklah” di sana. Apa sahaja di dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu, atau membayar kemudian. Tetapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan di kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.

Orang mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya, terlalu sibuk dengan ibadah. Berpindah dari ibadah khusus kepada ibadah umum, berpindah lagi kepada ibadah sunat. Begitulah sehari semalam, sentiasa berpindah dari satu ibadah ke satu ibadah.

Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk menempah syurga selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala Neraka dipagari oleh keseronokan.”

Sebaliknya, bagi mereka yang lalai berpegang kepada konsep: Play now, pay later. Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga.

Justeru marilah sama-sama kita berpesan agar rela menerima “kepahitan” yang sedikit dan sementara demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Oh, alangkah jahilnya kita sekiranya rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.

Sebaliknya, kita bijak kalau terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehinggalah tiba ketikanya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita suka melakukannya. Di mana? Bila? Jawabnya, InsyaALLAH, di Syurga. Dan Mujahadah Itu Mahar Sebuah Syurga!

3 comments:

  1. PAY NOW...PLAY LATER..(like n thumbs up)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas peringatannya. Semoga Allah merahmati kamu. Teruskan memperjuangkan Islam! ALLAHUAKBAR!!!

    ReplyDelete
  3. "Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya..." QS(23:62)

    Yup, mmg payah if nak berubah. Tapi cabaran 'perubahan' yg payah tue sebnarnya merupakan satu latihan untuk mempersediakan diri dengan cabaran yg lebih besar pada masa hadapan. Dan Allah tak pernah berlaku zalim, dan tidak juga menganiaya hamba2nya. Ada hikmah di sebalik segala yg trjadi. Memang amat pahit untuk bermujahadah, tapi alangkah indah dan manisnya jika diri sentiasa diredhai Allah. -good posting- ^^

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...