Sunday, November 14, 2010

Qada' Solat dalam syari'at Islam

Sebenarnya dalam islam ada erti qada solat atau tidak ya dan jika seseorang itu pernah meninggalkan solatnya  dengan tidak sengaja adakah berdosa dan perlu diulangi? 

Diana, California..

Ukhti Diana yang dihormati, semoga Allah merahmati ukhti. Sikap prihatin ukhti terhadap agama dan ibadah adalah tanda ukhti seorang yang sayangkan Islam. Saya jawab soalan ukhti berdasarkan beberapa perkara:

1. Dalam menerangkan bab ini, Rasulullah saw tidak menjelaskan istilah qada’ secara langsung namun  suruhan terhadap maksudnya (Dan bagi Solat Qada' maknanya ialah Solat fardu seseorang yang tidak mampu dia bersolat pada masa yang ditentukan untuknya) dituntut oleh baginda berdasarkan  sabda Rasulullah saw:

مَن نسي صلاةً أو نام عنها فكفارتها أن يصليها إذا ذكرها

"Barang siapa yang terlupa solat atau tidur dan terlepasnya, kafarahnya ialah bersolatlah sebaik sahaja dia ingat" - [Hadith riwayat Muslim #684].

Ini bermakna istilah qada’ ini tetap mempunyai erti dalam syari’at Islam.

2. Didalam Islam, terdapat perkara-perkara yang dima'afkan oleh Allah swt yang disebabkan perkara diluar kawalan, seperti lupa atau tertidur, lantas menyebabkan seseorang itu tertinggal melakukan kewajipannya. Sabda Rasulullah saw :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
"Sesungguhnya Allah mengampunkan Umatku mengenai kesalahan dan kelupaan, dan apa yang mereka dipaksa melakukannya" - [Hadith riwayat Ibn Majah #2043, disahihkan oleh al-Albani didalam Sahih Ibn Majah #1662].

Begitu juga halnya dengan ibadat Solat dimana solat yang tertinggal disebabkan tidur atau pun terlupa hendaklah dilakukan sebaik sahaja bangun atau teringat tanpa sebarang kifarat yang lain. Hadith dari Anas ibn Malik ra berkata : Nabi saw bersabda :-
Dari Abu Qatadah ra berkata: Nabi saw bersada:-

“Sesungguhnya bukanlah tertidur itu mangabaikan , hanya dikatakan mengabaikan  ialah orang yang tidak mengerjakan solat sehingga tiba waktu solat yang lain. Barangsiapa yang ketiduran , hendaklah dia solat  sebaik sahaja dia bangkit, lain kali hendaklah dia solat pada waktunya yang tepat  (Agar tiap-tiap orang berhati-hati jangan sampai ketiduran  hingga terlepas waktu solat).” – [ Hadith riwayat Muslim #426]

Scenario ini juga merujuk kepada waktu solat bagi seseorang yang tidur atau terlupa jatuh telah berlalu, lalu dia segera menunaikannya, maka solat tadi dikategorikan oleh sepakat ulama' sebagai Solat Qada'. Menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily, definasi Qada' ialah "melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya". Dr Al-Syarabaasi pula mendefinasi Solat Qada' sebagai :

وأما فضاء الصلاة فمعناه أن يصلي الإنسان الفرض الذي لم يستطع أن يصليه في موعده المحدد له؛

"Dan bagi Solat Qada' maknanya ialah Solat fardu seseorang yang tidak mampu dia bersolat pada masa yang ditentukan untuknya" "-[Yaaluunak 1/46]

Maka Niat Solat pada masa itu dianggap sebagai Qada' dan bukan Tunai. Cuma menurut ulama' tersebut Qada' solat orang yang tertidur dan lupa tidak dianggap sebagai dosa. Menurut bekas Mufti Mesir, Dr Nasr Farid Wassel :-

اتَّفقَ العلماء على أن قضاء الصلاة الفائِتة واجب على الناسي والنائم عنها لقول الرسول صلى الله عليه وسلم: "إذا نسِيَ أحدٌ صلاةً أو نام عنها فلْيَقضِها إذا ذكَرها " لأنه يكون آثِمًا بترْك الصلاة والقضاء عليه واجب ، وهذا هو مذهب جمهور العلماء، ويَجب عليه كذلك الاستغفار والتوبة وكثْرة صلاة التطوُّع.

"Sepakat ulama' bersetuju mengenai hukum Qada' Solat wajib keatas LUPA dan TIDOR sebagaimana hadith Nabi saw : (Apabila terlupa seseorang didalam solat atau tidur, maka lakukan solat segera apabila ingatnya) kerana sesungguhnya adalah berdosa meninggalkan solat dalam Qada' keatasnya wajib, Ini adalah mazhab jumhur ulama', dan wajib keatasnya memohon keampunan dari Allah dan bertaubat dan memperbanyakkan solat sunat"

3. Ulama' melihat alasan tidur dan lupa merupakan alasan yang syarie dan bukanlah alasan-alasan lain seperti sibuk, malas, tidak sampai seru, tidak ada masa dan sebagainya.
Namun bagi mereka yang meninggalkannya dengan sengaja, maka perbuatan mereka itu  dikira berdosa  dan hendaklah mereka bertaubat dengan taubat nasuha. Dalam menetapkan hukum bagi permasalahan ini, wujudnya khilaf (perbezaan) pada pendapat di kalangan para ulama’ dan fuqaha’.
Menurut sebahagian ulama' seperti Ibn Taimiyah rh. tidak boleh dilakukan qada' keatasnya melainkan bertaubat dan melakukan banyak solat sunnat:


Menurut fatwa bernombor 4476 yang dikeluarkan oleh al-Lajnah al-Daa’imah bahawa :
"Barangsiapa yang meninggalkan satu atau banyak solat tanpa sebarang keuzuran hendaklah BERTAUBAT kepada Allah swt dengan secara ikhlas dan tidaklah mengqada'nya dan tidak ada kafaarah keatasnya, kerana sesungguhnya meninggalkan solat fardu secara sengaja adalah kufur yang besar, sebagaimana sabda Nabi saw : 'Batas perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barangsiapa meninggalkannya telah kufur ia'. Dikeluarkan oleh Ahmad (22428), Tirmudzi (2621), Al-Nassaai (462) dan bersabda Nabi saw lagi : 'Antara seorang lelaki yang syirik dan kufur, adalah meninggalkan solat' - diriwayatkan oleh Imam Muslim (242), dan tidak ada KAFAARAH keatasnya melainkan BERTAUBAT" - (Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 6/50)

 Pendapat Jumhur fuqaha' (empat madzhab besar) pula menetapkan adanya hukum qadha bagi solat yg luput dgn sengaja. Cara menetapkan hukum qadha ini dgn QIAS. Jika solat yg luput dgn sebab tertidur dan lupa diwajihkan qadha, maka apatah lagi jika ditinggalkan dgn sengaja bertambahlah wajibnya. Manakah pendapat yg lebih kuat atau rajih?

4. Qada’ solat yang tertinggal boleh dilakukan pada bila-bila masa sekalipun pada waktu haram.
Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat yang mempunyai sebab terkemudian, adapun solat fardu tidak ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261). 

Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144). 

Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar. Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur, terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah hutang solatnya tertanggung atas bahunya. 

Pendapat yang disenaraikan di atas merupakan pendapar-pendapat yang diambil oleh para ulama’ dan fuqaha’ yang alim dalim bidang ini. Namun sebagai manusia mereka masih tidak terlepas dari membuat kesilapan yang mana pendapat-pendapat mereka  boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Kita sebagai golongan yang berkehendak sebagai Ulul Albab, pilihlah pendapat dengan dalil yang jelas dan mampu kita yakini (kerna  yakin itu syarat sah) dan tolaklah dengan berhikmah pendapat yang kurang kita yakini. Dalam nas-nas al-Quran dan Sunnah, juga suri teladan yang ditunjukkan oleh golongan salafussaleh, kita semua disuruh menghormati para ulama dan golongan yang soleh dalam kalangan umat ini. Mereka yang kita kasihi itu ialah insan-insan yang berjasa dalam mempertahankan Islam dan menyebarkan dakwahnya.

Wallahu Ta’ala ‘Alam




2 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Tuan,

    Saya pohon maaf kerana dah copy "Qada' Solat dalam syari'at Islam" ini... selanjutnya saya berharap Tuan benarkan risalah ini diedarkan kepada ahli keluarga & kawan2 saya...

    ab alim zakariah-kelana jaya.

    ReplyDelete
  2. Istilah qada itu hanyalah kata kata ulamak, pesanan pada nabi ialah, lakukan waktu teringat kerana solatlah untuk mengingati Allah

    contoh nabi terbangun lewat untuk subuh, bilal beritahu muhammad saw, nabi saw kata kita teruskan perjalanan, kemudian langsung melakukan solat subuh tunai,bukan qada, solat bukan main main sehinggakan terlalai dari mendirikannya, semua itu atas keizinan Allah kepada diri masing masing

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...