Saturday, September 25, 2010

Nota Hati Seorang Mu'min

Hayatilah perinsip ini:

Ujian hidup ialah satu didikan langsung daripada ALLAH, insya-ALLAH, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Percayalah, ALLAH mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.

Apabila bertemu kesusahan, ALLAH mendidik kita tentang kesabaran.Apabila kesenangan bertamu, ALLAH mengajar kita erti kesyukuran.Apabila si miskin datang, itu peluang mengamalkan sifat pemurah.Tetapi apabila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan apa yang dikurniakan. Ingat, ALLAH mendidik kita pada setiap masa, peristiwa, dan manusia.

Hakikatnya ialah hidup ini adalah sebuah madrasah yang mana orang, situasi, dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tesirat dan hikmah yang perlu kita pelajari dari semua itu. Hadapilah ujian dengan mencari maksud disebalik takdir-takdir ALLAH itu. Dengarlah suara tarbiah(didikan) dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji.Kebaikan dan keburukannya hanya ada pada penilaian insan tetapi di sisi ALLAH, apa yang ditakdirkan-NYA pasti tersirat seribu satu kebaikan. Carilah kebaikan itu dengan hati yang merindui sinar cinta ALLAH.

Jangan mengeluh apabila kita tidak bejaya seperti insan lain. Jika kita terus mengeluh, kaki kita akan terus melekat pada anak tangga ujian itu. Kita tidak akan meningkat lebih tinggi. Terimalah dengan pasrah tetapi jangan sesekali mengalah. Hati tunduk akur bertemankan sabar namun akal ligat bermujahadah(berikhtiar) mencari jalan keluar.

Jangan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa, justeru kita tidak akan dapat mengubah realiti. Bukankah tkdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Tunduk dan akurlah pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir(pengurusan).

Sebaik-baik jalan, terimalah seadanya. Ya,itu telah berlaku,ya itulah keadaanya...Tidak kira bagaimana keadaanya sekalipun kita tetap seorang hamba ALLAH.Jangan cuba "jadi Tuhan" walaupun ada pada kehidupan kita sendiri.

Jadilah mukmin yang menjadikan akidah sebagai jati diri, syariat sebagai kompas hidup, dan akhlak sebagai senjata diri. Inilah yang cuba digarap dan diterapkan oleh Rasulullah dan para sahabatnya dalam mentafsirkan gelanggang kehidupannya sebagai anak, suami, ayah, dan dai'(pendidik).

Sahabatku,ku seru semampu mungkin,"carilah kebaikan, milikilah kebaikan, dan warisilah kebaikan". Kebaikan itu bukan hanya ada pada jarum yang indah, tetapi juga pada yang busuk dan hodoh. Najis boleh ditukar menjadi baja,penawar bisa ular datang daripada racunnya.

Tidak cukup hanya kita yang menjadi baik tetapi berilah kebaikan. Tangan yang menghulur bunga mawar akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang pada kita. Walaupun kebaikan itu tidak mampu untuk mengubah orang yang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan tiu sebenarnya telah menenangkan dan menggembirakan hati kita sendiri. Itulah hakikatnya...

Tarbiahlah diri kita agar kita menghapuskan dendam, iri hati, dan marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan akan membuahkan kebaikan. Kejahatan akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan.

Ada hikmah ALLAH menjadikan manusia wujud secara bersama(coexistence) di atas dunia ini. Seolah-olah ALLAH telah berpesan,belajarlah sesama insan nescaya kita akan terasa kesan didikkan-NYA.

Ingatlah Teman Syurgaku:
Sesungguhnya manusia itu merancang dengan cita-cita, namun ketahuilah ALLAH merancang dengan CINTA..

Ba'da Tasbih wa Tahmid,Salam Ukhuwah Fillah untuk semua sahabat-sahabat seperjuangan yang ku cintai...Kullu ‘Am Wa Antum Bil Khair

Wassalam...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...