Saturday, September 25, 2010

"Belajarlah Dari Universiti Kehidupan"...

Assalamualaikum Wa Barakallah Hu Fih...

Aliran ilmu umpama aliran air.Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang lebih rendah. Lebih rendah suatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang yang bertakung di situ. Justeru lembah, lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitulah ilmu, perlu "ditakung" dengan hati yang ,merendah diri. Semakin tawadhuk seseorang itu, semakin banyaklah ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.

Ya, begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan iini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir daripada semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman al-Hakim ketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya."

Luqman menjadikan si jahil sebagai "guru" yang mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Kita bagaimana? Jangan dilupakan petua dalam pembelajaran; Apabila murid bersedia, guru akan tiba. Maksudnya, apabila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul "guru-guru" yang mahu mengajar kita.

Pada penulisan-penulisan yang saya kirimkan ini , insyaALLAH ada pengajaran yang tersurat dan tersirat. Prinsip yang terkandung di dalamnya mudah sahaja- Halawatul Iman iaitu kemanisan iman. Hayati sebaik mungkin di mana nilai didikan dan tarbiah di dalamnya. Padan segalanya dengan kisah-kisah hidup sahabat-sahabat sendiri. Berguraulah dengan pengalaman hidup sendiri. sesetengah ilmu perlu dirasai baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.

Pesan ringkas saya sebagai seorang sahabat, jangan kesal jika kita tersalah pada masa lampau. Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah bukti yang kita masih manusia. Oleh itu, sebaik mendapat pengajaran dan kesedaran daripadanya, lupakan dan tumpukan ke masa hadapan. He who does not look ahead, remains behind- Sesiapa yang tidak memandang ke hadapan akan sentiasa tertinggal di belakang. Kita tidak boleh "menggergaji habuk kayu". Ertinya, masa lalu akan terus berlalu. Apa yang penting, gunakan pengajaran masa lampau untuk "mengemas kini" masa kini dan merancang masa depan. Yesterday ended last night!

Jangan pula berbangga jika kita dalam kebenaran. Justeru, kita tidak ada jaminan bahwa kita akan terus-menerus benar sepanjang hayat. Sering diperingatkan, kejayaan hari ini boleh menjadi musuh kepada kejayaan hari esok. Jagalah kebenaran yang dikurniakan kepada kita dengan sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada ALLAH. Ingat sentiasa apa yang dipesankan oleh para ulama' yang mempunyai mata hati. Kata mereka, "Dosa yang menyebabkan engkau MENANGIS kerana ALLAH lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa TAKBUR."

Jadilah wira yang tidak didendangkan. Wira yang berbakti tanpa ingin disanjung dan dipuji. Belajarlah menikmati keikhlasan dengan rasa ingin membuat kebaikan tanpa dilihat orang lain sepertimana yang cuba digarap oleh para sahabat rasulullah. Kisah mereka ditulis tanpa mereka sendiri tahu tentang itu. Mereka menulis menerusi amalan. Ya, orang yang mencipta sejarah, jarang-jarang mampu menulis sejarah. Para sahabat Rasulullah yang terkenal paparan cerita tentang mereka hari ini hanya manusia biasa tetapi menjadi luar biasa kerana budi dan nilai akhlak yang tinggi. Mereka punyai hati emas yang tidak boleh direbut oleh sesiapa. Kekadang gelanggangnya hanya sekangkang kera, namun peranannya luas maya pada. Adakalanya pangkat mereka hanya kuli biasa, namun jasanya mengatasi hartawan, bangsawan, dan sarjana.

Jangan dipinggirkan peranan kita dalam menjalani kehidupan berkeluarga. Seorang mukmin yang sejati itu dinilai menerusi peranan sebagai seorang anak, suami/isteri, ayah/ibu, sahabat. Marilah kita sama-sama menyedari bahawa langkah pertama dan utama untuk menyelamatkan diri kita daripada malapetaka yang paling hebat dan dahsyat (neraka) ialah dengan menyelamatkan diri dan keluaraga.

"Selamatkanlah diri dan keluargamu daripada api neraka." (surah al-Tahrim:6)

Sebagai anak, ingatlah bahawa redha ALLAH terletak pada redha keduanya. Sebagai suami sedarlah, sebaik-baik lelaki ialah mereka yang terbaik dalam pergaulan dengan isterinya dan begitu jualah bagi seorang isteri. Sebagai seorang ayah dan ibu,hubaya-hubaya atas sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Seorang anak dilahirkan putih bersih terpulang kepada ibu ayahnya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani, atau Majusi.. (Riwayat al-Bukhari)

Sekadar mengutip butiran hikmah yang pernah diluahkan oleh Mother Teresa ketika ditanya bagaimana hendak mewujudkan dunia yang lebih aman, beliau berkata, "Pulanglah dan kasihilah keluarga masing-masing. Nescaya dunia ini akan menjadi lebih aman.

Menerusi penulisan ini juga ada sorotan "sisi gelap" yang saya selitkan sedikit daripada pengalaman kehidupan. Bukan untuk mencela, jauh sekali untuk menghina. Namun, apabila ada gelap, barulah terserlah gemerlapan cahaya. Al-Quran sendiri memaparkan kisah-kisah manusia durjana sebagai "gandingan" dan "bandingan" manusia-manusia yang mulia. Begitu Al-Quran mendidik, begitu jua kita cuba mencontohinya. Segala-galanya daripada perspektif seorang Da'i- yakni melihat sesuatu dalam kerangka seruan dan pendidikan agar manusia lebih dekat dengan ALLAH dan agama-NYA. Bertanyalah, dimana ALLAH dalam kehidupan kita sebagai seorang anak, suami/isteri, ayah/ibu, dan sahabat?

Marilah kita belajar di "Universiti Kehidupan" dengan gugusan kisah dan rencah peristiwa dalam hidup kita sebagai teks kuliah yang tidak bernoktah. Kita amati nasihat daripada "guru pengalaman" yang bersyarah tanpa suara dan kata. Penulisan ini adalah suara hati sahabat-sahabat sendiri yang saya cuba ungkapkan semampu mungkin bagi pihak sahabat-sahabat semua. Yakni, suara "hati kecil" yang lebih murni, tulus, dan insaf tetapi sering ditenggelamkan oleh gelombang nafsu dan "hati besar" kita yang ego, bangga, dan alpa.

Hayatilah dengan nama ALLAH. Rendahkan hati dan diri sahabat-sahabat semua. Pedulikan sama ada saya yang menulis ini baik atau jahat, jahil atau ilmuwan kerana jika sahabat-sahabat tawadhuk, sahabat-sahabat bukan sahaja mampu belajar daripada orang yang baik dan berilmu tetapi juga daripada orang yang jahat dan dungu..

Ba'da Tasbih Wa Tahmid..Salam Ukhuwah Fillah buat semua sahabat-sahabat yang tercinta..
Wassalam

"Berjalan, melihat, mentafsir sepanjang permusafiran Kasih Ilahi...Hidup biar bermakna..."

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...