Tuesday, November 30, 2010

“ Kenapa kau susah payah untuk ke sini hanya kerana penjenayah seperti aku?”

 “ Sesungguhnya ALLAH S.W.T. itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita semua perlu sedar akan kebesaran ALLAH S.W.T. Jika kita perhatikan keindahan alam ini, kita tadabbur penciptaannya, maka kita akan mendapat satu jawapan, yakni mesti ada sesuatu yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengatur yang menciptakannya”

Abdullah menarik nafas. Selepas itu dia mengambil air yang disediakan oleh jemaah masjid untuk dirinya. Diteguknya air itu untuk membasahkan tekak.

“ Maaf” Dia merujuk kepada tindakannya meminum air. Beberapa orang jemaah hanya tersenyum sahaja. Mereka faham yang Abdullah sudah bercakap agak panjang, dan pasti memerlukan air untuk membasahkan tekak yang kering.

“ Jika kita perhatikan, bintang-bintang berjuta-juta di langit, matahari yang teramat panas, bumi yang berputar dengan kelajuan yang pantas, mekanisma-mekanisma mikro yang wujud, planet-planet yang berputar di atas orbit masing-masing dan berbagai lagi fenomena ala mini, pasti akan membuatkan kita yakin bahawa, semua benda ini mesti ada yang menciptanya. Tidak mungkin benda-benda ini, yang cukup teratur pergerakannya, yang kemas penciptaannya, tidak mempunyai pencipta sekaligus pengatur kepada diri mereka”

Abdullah berhenti lagi. Kali ini dia cuba membaca reaksi wajah para jemaah yang mendengar. Dia dapat melihat betapa tekunnya para jemaah mendengar bicaranya. Malah ada sampai berkerut-kerut, mungkin kerana kagum, mungkin juga kerana tidak faham, mungkin juga kerana sukar untuk menafsirkan kata-katanya. Namun jelas pada wajah mereka, mereka memberikan perhatian yang tinggi kepada bicaranya. Abdullah tersenyum. Dalam hati, dia mendoakan agar mereka yang berada di hadapannya kini dirahmati ALLAH.

“ Maka di dalam keindahan penciptaan alam ini, terselit kebesaran dan kekuasaan ALLAH S.W.T.” Selepas bicaranya itu, Abdullah memohon maaf kepada hadirin akan salah silapnya sepanjang menyampaikan ceramah, seterusnya menutup majlis dengan membaca tasbih kifarah dan surah Al-‘Asr.
Para jemaah ramai-ramai bangun dan mendapatkannya untuk bersalaman sebelum pulang.
Selepas selesai bersalaman dengan para jemaah, Abdullah segera mengemas barangnya untuk pulang.

“ Maaf tuan imam” Satu suara singgah di cuping telinganya.
Abdullah menoleh. Kelihatan seorang pemuda sedang berdiri menghadapnya. Abdullah mengukir senyuman. “ Aziz, apa khabar?”
Aziz mengukir senyum. “ Khabar baik, tuan imam nampak bersemangat hari ini?”
“ Hari lain tak bersemangat ke?” Abdullah mengangkat keningnya dua kali. Aziz tertawa kecil.
“ Takdelah, saya sahaja main-main je. Tuan Imam memang sentiasa bersemangat”
“ Alhamdulillah, itu semua adalah rezeki daripada ALLAH. Kita semua patut bersyukur”
Aziz terangguk-angguk.
“ Kenapa kamu tunggu saya? Ada hal yang hendak dibincangkan?” Abdullah siap mengemas barang-barangnya. Dia sudah memasukkan segala kertas rujukan tazkirahnya tadi di dalam fail selepas menyusunnya.
“ Ah, saya ada satu hal hendak bagitahu kepada Tuan Imam”
“ Hal apa?”
“ Tuan Imam ingat lagi tak sahabat Tuan Imam yang bernama Irfan Hakimi?”
“ Ingat, masakan boleh lupa. Itu adalah sahabat karib saya”
Aziz terangguk-angguk. “ Jadi betul la apa yang saya dengar”
Abdullah rasa pelik. “ Apa yang kamu dengar?”
“ Sahabat Tuan Imam tu kini seorang penjenayah”
Wajah Abdullah beriak terkejut. Di dalam hatinya dia beristighfar.
“ Mana kamu dapat cerita ini Aziz?”
“ Saya pergi ke Bandar Timur minggu lepas, di situ terdapat berita tentang penjenayah yang dikehendaki oleh polis atas kesalahan melakukan rompakan-rompakan bank dan pembunuhan. Perompak itu bernama Irfan Hakimi. Saya teringat yang Tuan Imam ada menceritakan kepada kami tentang sahabat Tuan Imam bernama Irfan Hakimi. Tambahan, penjenayah yang bernama Irfan Hakimi itu berasal dari kampong Tuan Imam, Kampung Barat”
Abdullah senyap. Di dalam hatinya, dia beristighfar panjang.
. . .
“ Nampaknya penjenayah tu tak mahu turun”
“ Kita punya skuad penembak tepat dah bersedia belum?”
Pegawai itu menganggukkan kepala apabila mendengar pertanyaan Ketua Polis.
“ Jadi bersedia untuk menembak”
Pegawai itu mengangguk.
Ketua Polis mendongak memandang ke atas. Seorang penjenayah sedang berada di atas bangunan itu. Perompak bank dan pembunuh bersiri yang baru sahaja menjadi terkenal kerana kehebatannya, Irfan Hakimi. Semalam pihak polis dapat mengesan tempat persembunyiannya, iaitu di Hotel Horray di Bandar Timur. Justeru seluruh bangunan itu dikepung oleh pihak polis dan tentera.
Namun Irfan Hakimi sudah menyediakan rancangannya untuk melepaskan diri apabila dia terlebih dahulu sudah meletakkan bom-bom berkuasa tinggi di setiap tingkat hotel. Apabila dia menyedari dirinya dikesani polis, dia terus keluar dari biliknya dan berlari ke tingkat atas. Beberapa orang polis yang mengekorinya sudah terbunuh dengan ketangkasannya. Kini dia berada di tingkat paling atas, menyuruh semua polis keluar dan menjauhi bangunan hotel ini, atau dia akan meletupkan bangunan ini bersama-sama manusia di dalamnya. Orang yang ada di dalam hotel itu juga diugut agar tidak keluar. Jika ada seorang yang keluar, maka dia akan meletupkan juga bangunan itu.
Berhadapan dengan situasi ini, polis terperangkap dengan rundingan. Irfan Hakimi hendak dirinya dilepaskan dan tidak dikejar. Dia langsung tidak bersetuju melepaskan diri. Akhirnya Ketua Polis membuat keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat Irfan Hakimi. Justeru skuad penembak tepat dipanggil.
“ encik, encik tak boleh mendekati kawasan ini”
“ Izinkan saya berjumpa dengan ketua polis”
Ketua polis menangkap bunyi kekecohan di belakangnya. Pantas dia menoleh. Kelihatan seorang lelaki berjubah seperti orang pakistan, namun dia adalah orang melayu.
“ Kenapa?” Ketua polis bertanya.
“ Tuan, orang ini ingin bertemu tuan. Dia tidak mahu pergi walaupun saya katakan yang kita sedang menjalankan operasi” Salah seorang polis memberitahu.
Ketua polis memandang wajah lelaki yang hendak berjumpa dengannya. Wajah itu bersih dan menyenangkan.
“ Biarkan dia”
“ baik tuan”
Abdullah bergerak mendekati Ketua Polis. Dengan seukir senyuman, dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Huluran salamnya bersambut.
“ Kamu hendak apa?”
“ Saya adalah sahabat Irfan Hakimi”
“ Oh, jadi?”
“ Izinkan saya naik bertemu dengannya”
Terangkat kedua kening ketua polis. “Kamu gila? Dia itu penjenayah, kamu akan dibunuh”
Abdullah menggelengkan kepala. “ Tidak, malah saya insyaALLAH akan dapat meyakinkan dia”
Ketua Polis senyap.
“ Tuan, lagipun tuan perlukan dia hidup bukan?”
Ketua Polis terangguk-angguk. Kerajaan hendakkan Irfan Hakimi ini hidup-hidup memandangkan Irfan Hakimi adalah seorang genius komputer yang memegang segala kod pertahanan negara.
Ketua polis memandang Abdullah.
“ Pergi”
Ketua Polis segera memberikan isyarat agar skuad penembak tepat jangan bertindak terlebih dahulu. Abdullah tersenyum. Segera dia bergerak.
Ketua Polis berdoa di dalam hati agar lelaki yang datang ini dapat membantunya.
Irfan Hakimi hakikatnya seorang genius komputer yang bekerja dengan pertahanan negara. Dia memegang segala kod sekuriti pertahanan negara memandangkan dia adalah orang yang merekanya. Sekuriti rekaannya nyata amat ampuh sehinggakan maklumat pertahanan negara tidak mampu ditembus masuk, atau dicuri maklumatnya oleh penggodam-penggodam komputer yang bekerja dengan ejen risikan negara lain. Namun entah mengapa, Irfan Hakimi menjadi penjenayah besar apabila dia pada suatu hari merompak bank dan membunuh semua orang di dalamnya. Dari siasatan kes, nyata Irfan Hakimi tidak mengejar wang, tetapi lebih kepada melepaskan tekanan. Namun keadaan itu tidak berhenti begitu sahaja, Irfan Hakimi meneruskan rompakannya ke bank-bank yang lain dan membunuh lebih ramai orang.
Polis terpaksa masuk campur. Namun Kerajaan memberikan arahan agar hanya menangkap, bukan membunuh. Hal ini kerana, jika Irfan Hakimi dibunuh, maka segala maklumat pertahanan negara tidak akan dapat digunakan kerana terkunci rapi oleh sekuriti yang direka oleh Irfan Hakimi. Tetapi Pihak Polis bertegas dengan menyatakan bahawa, jika Irfan Hakimi membantah untuk dibawa pulang secara aman, maka mereka akan bertindak untuk menamatkan riwayatnya, tambahan, rekod jenayahnya bukanlah rekod jenayah biasa.
Ketua Polis mendongak ke atas bangunan Hotel Horray. Harapnya, lelaki yang datang tadi akan dapat meyakinkan Irfan Hakimi.

Laras pistol teracu menuju ke arah Abdullah.
Terkejut Irfan Hakimi. Mujur dia tidak menarik picu.
“ Abdullah?”
Abdullah mengukir senyum. “ ya, aku sahabat kamu”
“ Aku dengar kau tertekan bekerja di bahagian pertahanan negara?” Abdullah bergerak selangkah demi selangkah mendekati Irfan Hakimi.
Dia dapat melihat yang sahabatnya itu memegang selaras pistol, dan satu alat penekan. Mungkin sahaja alat penekan itu adalah alat kawalan jarak jauh untuk meletupkan segala bom yang berada di bangunan ini.
Irfan Hakimi masih memandangnya dengan pandangan curiga.
“ Adakah kau ini polis yang menyamar menjadi Abdullah”
“ Polis yang menyamar tidak akan tahu yang kau suka makan sayur lemak cili api” Abdullah menjawab bersahaja. Tinggal lagi beberapa langkah sahaja hendak mendekati Irfan Hakimi.
Wajah Irfan Hakimi berkerut-kerut.
“ Rasanya polis pun takkan tahu yang komputer Abdullah adalah bahan uji kaji pertama Irfan Hakimi yang genius tu”
Irfan Hakimi menurunkan pistolnya. “ Abdullah...” Matanya bergenang.
Dia masih ingat yang dia menjadikan komputer Abdullah sebagai bahan uji kajinya untuk belajar memasang semula komputer. Namun akibat kekurangan ilmunya ketika itu, komputer Abdullah telah rosak. Itu semua perkara yang telah terjadi tiga puluh tahun yang lalu. Hanya dia dan Abdullah sahaja yang tahu. Itu adalah kenangan manis kepada mereka berdua.
Abdullah sudah berada di hadapan Irfan Hakimi. Betul-betul berada di hadapan Irfan Hakimi.
“ Menyerah la”
Irfan Hakimi tunduk.
“ Mereka gunakan aku, mereka kurung aku!” Irfan Hakimi menjerit.
Abdullah senyap.
“ Mereka tak bagi aku cuti, mereka tak bagi aku keluar”
“ Kau yang pilih jalan hidup begitu” Abdullah bersuara. Irfan Hakimi berhenti berkata-kata. Dia memandang sahabatnya itu.
“ Kau memegang pertahanan negara, pastinya mereka tidak akan melepaskan kau begitu sahaja”
Irfan Hakimi tunduk. Dia tertekan sebenarnya. Oleh kerana tekanan itulah yang dia bertindak di luar sedar.
“ Irfan, jangan kau sia-siakan umur kau. Tangan kau dah dilumuri darah manusia. Bertaubatlah, menyerahlah. Kalau kau mati hari ini, maka bagaimana kau hendak menghadap ALLAH?”
Irfan terkedu.
“ Aku tak datang ke sini sebab polis, apabila aku mendengar sahaja kau terperangkap di dalam kancah keburukan ini, maka aku sebagai sahabat hadir hendak mengeluarkan kau dari kabut ini”
Abdullah memaut bahu Irfan. Irfan tersentak. Namun dia tidak melawan. Malah Irfan rasa hatinya lapang. Entah mengapa.
“ Sahabat, mari pulang kepada ALLAH. Menyerahlah. Mereka tidak akan menamatkan nyawamu hari ini. Kalau kau tak melawan, mereka tidak akan mengapa-apakanmu. Kau masih punya banyak ruang untuk bertaubat jika umurmu masih ada. Aku faham tekananmu. Maka selepas ini aku tidak akan meninggalkanmu”
Irfan memandang Abdullah. Wajah Abdullah yang jernih menusuk kalbunya. Matanya yang sedari tadi bergenang menumpahkan air mata. Dia memeluk Abdullah.
“ Abdullah....”
Abdullah membalas pelukan Irfan.
“ Kita pulang ya? Kau menyerah ya?”
Irfan Hakimi mengangguk-angguk.
“ Kenapa kau susah payah untuk ke sini hanya kerana penjenayah seperti aku?”
“ Kau bukan penjenayah, kau adalah sahabat aku. Kalau sahabat aku terjun ke neraka, maka aku akan terjun sekali untuk mengambilnya semula, dan kita akan beriringan ke syurga bersama-sama.”
Abdullah senyap sebentar. Dia mengusap-usap belakang tubuh sahabatnya itu.
“ Aku sayang kau”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...