Wednesday, October 13, 2010

Perempuan Berkalung Sorban Dan 'Kritik Sosial'

Saya agak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan dunia perfileman. Ya, maksud saya filem-filem yang mempunyai ‘islamic genre’ serta pengaruh kepada kehidupan masyarakat kita. Kebanyakan filem yang menjadi perbincangan atau isu hanya saya sedar kewujudannya apabila saya ditanya oleh orang ramai. Jika ada pun, saya selalu tertarik dengan filem-filem Iran yang saya anggap mereka telah berjaya ke suatu tahap yang patut dibanggakan.

Filem ‘Ayat-Ayat Cinta’ yang kononnya hebat dan dikatakan mempunyai mesej islaminya yang tersendiri juga saya tidak sempat menontonnya. Saya hanya akan sempat menonton jika vcdnya diberikan kepada saya dan saya akan menontonnya di rumah.

Filem Indonesia

vcdsangmurabbi.jpg

Dalam cuti semester kali ini, muallim saya Ustaz Pahrol Muhamad Juoi secara tidak langsung  mencadangkan saya menonton filem Indonesia ‘Sang Murabbi’. Saya menontonnya di rumah dengan menggunakan computer keluarga, dan saya rasa amat terkesan dengan mesej yang disampaikan.

Tema dakwah yang hendak disampaikan amat berkesan bagi yang hidup dalam lingkungan tersebut. Kisah perjalanan kehidupan pendakwah dan tribulasi yang dilalui oleh Kiyai Rahmat Abdullah, bukanlah sesuatu perkara yang asing dalam kehidupan ramai pendakwah.

Walaupun pada saya dari segi corak penceritaan atau ‘story-design’ gagal untuk menonjolkan kehebatan sumbangan Kiyai Rahmat dalam sejarah hidupnya. Namun saya tetap tersentuh. Menarik. Padahal sudah agak lama filem itu terbit, baru saya dapat menontonnya. Saya memang mencadangkan agar filem itu disaksikan oleh mereka yang aktif dalam dakwah islamiyyah. Namun, saya rasa mesej filem tersebut tidak dapat dikongsi oleh semua. Bak kata sesetengah ahli kerohanian ‘siapa yang tidak pernah merasa, tidak dapat memahaminya’.

laskar_pelangi_the_movie.jpg

Ramadhan  yang lepas saya berkunjung ke Masjid Saidina Hamzah berdekatan Gombak. Berpuasa bersama-sama adik-adik remaja dalam program 3R (Remaja Raikan Ramadhan) anjuran Ikram Malaysia. Diisi salah satu slot program itu dengan sebuah filem berjudul ‘Laskar Pelangi’. Saya menonton bersama-sama mereka. Amat menarik dan menyentuh hati. Ia adalah adaptasi dari sebuah novel. Satu filem yang saya rasa patut ditonton oleh guru, ibubapa dan anak-anak juga agar dapat menghayati sebuah perjuangan memberi dan mendapatkan pendidikan. Watak ‘Lintang’ dalam filem itu amat menyentuh jiwa. Itu filem kedua Indonesia yang saya tonton sehingga habis. InsyaALLAH, akan saya cadangkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan kelak.

Perempuan Berkalung Sorban



Sejak hujung tahun lepas ramai sahabat yang mencadangkan kepada saya agar menonton filem Indonesia yang berjudul ‘Perempuan Berkalung Sorban’. Alhamdulillah, berjaya mendapatkan naskahnya dan diberi kekuatan untuk menonton filemnya.


Hebat! Memang hebat! Dari segi retorika (rhetorical) dan estetika (aesthetical) filem, ia begitu menarik. Story design yang hebat membawa penonton tenggelam dalam plot-plot yang disusun. Tidak hairanlah jika ia mendapat tujuh nominasi Festival Film Bandung 2009. Ya, filem ini mendapat bantahan beberapa kiyai di Indonesia dan menggesa agar ia diboikot. Kata mereka filem ini menghina pasantren dan Islam. Sinopsis filem itu menulis bahawa watak utama Annissa dalam filem tersebut merupakan anak seorang kiyai yang hidup di Pasantren dari aliran salafiah. Kongkongan ke atas kehidupan wanita atas nama agama cuba ditonjolkan dengan segala retorikanya.

Apabila saya menonton filem ini, beberapa kesimpulan boleh saya buat. Pertama, filem ini tidak menghina Islam, tetapi ia merupakan sebuah kritik sosial (social critic) yang tajam. Dialog-diolag dalam filem ini seperti ‘Allah selalu menyebelahi lelaki’, ‘Islam tidak adil terhadap perempuan’ itu terhasil dari salah ajaran atau gambaran Islam yang diperlihat kepada Annisa. Pun begitu filem ini jika ditonton oleh mereka yang tidak dapat membezakan antara ajaran asal Islam dan gambaran salah Islam mengenai wanita yang dihasil oleh sesetengah guru dan kiyai, mungkin mengelirukan mereka.

Kedua, walaupun disebutkan latar cerita dalam filem ini sebuah keluarga dan pasantren salafiah, namun dari segi praktik yang ditunjukkan tidak mewakili ajaran salafiah. Ini seperti cuba mengambil berkat dari kasut, air dan segala bekas dari guru. Rantaian biji tasbih yang sentiasa di tangan untuk tontotan orang juga menyanggahi amalan aliran salafiah. Larangan mempersoalkan tindakan guru juga bukan aliran salafiah. Begitu juga hadis-hadis yang tidak sahih yang dibaca, tidak mewakili aliran salafiah yang teliti dalam masalah hadis. Senario itu lebih dekat kepada aliran tarekat dan sesetengah traditionalis di Nusantara ini.

Namun, sesetengah pemikiran yang sempit mengenai wanita dikongsi oleh sebahagian pendokong salafiah sempit dan konservatif traditionalis. Hal ini terus berlaku dalam mereka di beberapa Negara Teluk yang kuat salafiah dan juga negara-negara Indo-Pakistan dan Nusantara yang kuat aliran konservatif traditionalis. Walaupun antara manhaj salafi dan fanatik traditonalis mazhab itu berbeza dalam banyak persoalan, namun mereka kadang-kadang sama-sama menyempitkan fikiran agama mengenai kehidupan dan wanita dalam banyak hal.

Ketiga, adegan-adegan yang ‘agak panas’ dalam filem ini boleh mengeluarkan ia dari ‘islamic genre’ dari segi pembikinannya. Walaupun episod-episod itu penting untuk difahamkan kepada penonton, tetapi ia agak berlebihan. Penonton terpaksa ‘skip’ adegan-adegan tersebut.

pbs1.jpg

Keempat, filem tersebut mampu membangun semangat pembaharuan. Kesungguhan Annisa untuk melakukan pembaharuan di pasantren ayahnya amat mengkagumkan. Keperitan dan cabaran yang dilaluinya mampu memilukan penonton dan memberikan semangat bahawa ‘pembaharuan mesti diteruskan’. Menarik, Annisa masih berada atas paksi amalan islamnya. Tudung, solat, bahasa dan berbagai lagi, tidak melayakkan filem ini untuk dikaitkan dengan agenda ‘liberal totok’ seperti yang didakwa.

Kelima, mesej filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’ ini boleh menjadi mesej pembaharuan atau tajdid islami jika ia berjaya digarap dengan betul. Tafsiran-tafsiran yang salah terhadap Islam, atau tindakan yang salah yang dibabitkan dengan Islam memang patut diubah. Umpamanya, alasan ayah Annisa untuk melarang Annisa menyambung pengajian ke Jogja kerana hadis ‘wanita tidak boleh bermusafir tanpa mahram’ boleh diterima.

Namun, penyelesaiannya dengan memaksa dia berkahwin dengan calon yang dia tidak suka adalah salah dan zalim. Padahal, mungkin boleh diberi pilihan untuk dia memilih calon, atau dipastikan dia mempunyai teman-teman wanita yang lain yang baik dari segi agama mereka untuk bersamanya di tempat pengajian. Unsur-unsur kezaliman, tafsiran yang sempit tentang Islam dan berbagai lagi sebenarnya memang wujud dalam sesetengah realiti masyarakat yang mendakwa mereka berpegang kepada Islam.

Banyak lagi jika hendak disentuh, apa yang penting filem ini sangat wajar untuk ditonton oleh mereka yang bersemangat agama. Jangan tonton dengan emosi atau anggapan ia serangan terhadap Islam, tetapi anggaplah ia sebuah kritik sosial yang diperlukan dalam sesetangah masyarakat. Apabila para pelajar saya seramai lapan orang di peringkat M.A pengajian hadis berkunjung ke rumah, saya suruh mereka tonton dan ulas. Mereka mempunyai pengalaman pengajian Islam yang agak lama, sejak kecil sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Kata sebahagian mereka yang pernah hidup di pondok ‘ia suatu realiti’. Ya, bukan semua demikian. Banyak yang sudah atau mahu berubah, namun kritik sosial tetap diperlukan.

Sekali lagi, saya tahu saya ketinggalan ‘keretapi’ dalam mengulas filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’ ini, namun saya tahu masih ramai yang belum menontonnya. Apapun, saya percaya filem ini di suatu sudut boleh menjadi perangsang kepada usaha-usaha membela kaum wanita muslimah di negara asalnya dan negara ini juga. Demikian juga, yang lebih utama ia boleh merangsang semangat menentang tafsiran yang sempit dan salah tentang Islam. Wassalam

Wallahu Waliyyut Taufiq

3 comments:

  1. salam perjuangan buat penulis minda sunnah...
    alhamdulillah konsep penulisan kali ini mengingatkan ana tentang perbincangan kita dalam membawa usrah di kolej kita.tapi sayang masih tinggal perbincangan itu di atas kertas sahaja..mudah2han usrah akan datang ini ALLAH permudahkan segala urusannya..emm..ana nak bertanya berkenaan amalan aliran salafiah..boleh bercerita ringkas tentangnya..akhir..teruskan penulisan yang roh begini..wassalam..

    ReplyDelete
  2. salam ukhuwah..
    sy xpenah lagi menonton 3 filem y di maksudkan..tp insyaallah..kalau dberi kesempatan, mmg teringin utk menontonnye..cume sy nak mencadangkan kpd akhi (memandangkan akhi pn suke bace novel), crita 'ayat-ayat cinta' dan 'ketika cinta bertasbih' yang famous diperkatakan..mmg bagus utk dibaca novelnye..tp bukan utk ditonton..sy sdr xhabes menonton filem 'ayat2 cinta' sbb xsuke akan cara pembawakan stiap watak dan msg islamik y nak d smpaikan seakan sdh xselari dgn kehandak islam y dsmpaikan dlm novel..mybe bg sstgh org, filem ayat2 cinta sudah sarat dgn msg islamik,tp ade bbrape perkare kecil ttg perwatakan wanita dan lelaki muslim y dsmpaikan d dlm novel, d ambil ringan oleh pengarah filem. mgkin dsebabkan i2,utk filem 'ketika cinta bertasbih' penulis novel beg2 berhati2 dlm membenarkan pengarah mengadaptasikan novelnye.tp bg sy novelnye still lebih baek dr filem, mgkin krana perasaan lebih mudah d olah malaui novel.
    waallhu'alam..

    ReplyDelete
  3. Salam...
    syukran kepada semua sahabat yang sudi mengambil ibrah dan pelajaran daripada blog ini.Menyebut tentang aliran salafiah atau lebih dikenali di Malaysia sebagai salafi, secara generalnya merujuk kepada golongan yang mengikut jejak salafus soleh (golongan awal yang soleh)iaitu para sahabat r.a.,tabi'in, tabit tabi'in.Mereka ini adaalah golongan yang berpegang teguh pada Al-Quran dan As-sunnah dan sangat memlihara diri daripda bid'ah dalam beramal. Sehinggakan segala kebaikan yang mereka mahukan,akan dirujuk dan diambil kaifiyatnya daripada As-Sunnah atau terus daripda Al-Quran. Segala yang baru dalam ibadah akan ditolak sama sekali. Asbabnya: mereka yakin bahwa pemilik Sunnah itu iaitu baginda Nabi s.a.w. adlah manusia terbaik yang mendapat petunjuk yang terbaik melebihi sesiapapun terutamanya dalam beribadah.Namun, jangan disalah sangka,golongan ini tidaklah jumud. Kerana berpegang teguh pada sunnah dan sunnah pula mendidik untuk bersikap terbuka, maka sebenarnya mereka sangat terbuka dalam beragama.Cuma, mungkin bagi sesetengah golongan yang kurang ilmu tentang sunnah ataupun bagi sesetengah golongan yang dengki pada sunnah nabi (ZANDAKAH), mereka menuduh mereka ini jumud dan sesat.Kesimpulannya, kita sebagai golongan yang berkehendah menjadi ulul albab, maka rujuklah kembali pada hadith baginda Nabi s.a.w. Bukankah mereka yang berpegang pada keduanya itu (Al-Quran dan As-Sunnah) tidak aka sesat selamanya...Berkisar tentang 3 filem diatas, ukhti meita tontonlah jika diberi kesempatan oleh ALLAH.Syukran atas informasi berkenanaan..Wallahu Ta'ala 'Alam

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...