Wednesday, October 27, 2010

Jalan Pulang Itu Luas...



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Syukur atas limpah Rahmat dan kasih sayangNya kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara tanpa bayaran ini. Sama-samalah kita manfaatkan nikmat Allah taala ini untuk kita jadikan modal ketaatan kita kepadaNya jua, insya'Allah. Alhasil, jadilah kita insan yang bersyukur, insya'Allah amin3 ya Rabb. Sungguh kerdil diri ini untuk membicarakan tajuk yang dibawakan kerana diri sendiri pun masih bertatih-tatih dalam berterusan menyucikan diri, semoga Allah membantu hati-hati yang ikhlas untuk taqarrubillah, amin. Namun saya cuba semampunya agar terjawab persoalan ini. Kepada Allah sajalah saya serahkan segalanya moga ada manfaatnya bersama, kurang lebihnya ayuh sama kita saling melengkapi.

Untuk pengunjung MindaSunnah, saya kehadapankan nota hati yang saya nukilkan di awal minggu ini khas buat anda semua. Saya ucapkan syukran jiddan kepada semua yang telah mengingati dan mendoakan saya. InsyaALLAH, saya juga akan sentiasa mendoakan anda. Apa lagi yang kita harap sesama manusia jika tidak doa dan nasihat?


Saudaraku yang dikasihi Allah, usah bersedih kerana berterusan dalam kesedihan itu bakal membinasakan jiwamu. Dan keputus asaan akan menyinggah dalam kalbumu. Usah dikau berputus asa, kerana putus asa membawa kepada terputusnya rahmat Allah bagimu. Syukur kita  kepadaNya kerana masih diberi ruang dan peluang untuk kita mencari-cari jalan bagi mendekatkan diri kita kepadaNya. Insya'Allah natijahnya, kita benar-benar mencintai keimanan dan meninggalkan serta menjauhi kemaksiatan. Alhamdulillah satu nikmat yang tak ternilaikan daripada Allah buat kita semua.

Saudaraku, ketahuilah bahawa dosa adalah penghijab hati si hamba dengan Rabbnya. Dosalah yang menyebabkan hati terasa sukar melakukan kebaikan dan cenderung kepada kemungkaran. Leburkanlah penghijab hati ini dengan taubat duhai saudaraku, agar hatimu kembali bersinar. Mudahlah cahaya Allah memasuki hatimu setelah itu. Bertaubatlah dengan keazaman dan tekad yang kuat, itulah taubat nasuha. Semoga Allah membantu hamba-hambaNya yang mahu menelusuri jalan taubat. Semoga dirahmati Allah. Dengan taubat, kamu menjadi sangat mulia di sisiNya. Nah usah berlengah dan bertangguh!

"Tanamkanlah kesedaran yang mendalam tentang keagungan dan kebesaran Allah SWT. Jangan takut kepada sesiapa atau mengharapkan sesuatu manfaat daripada sesiapapun melainkan Allah Azza Wa Jal. Serahkan segala kebergantunganmu kepada-NYA dan hendaklah kamu yakin kepada-NYA. Apa jua benda yang kamu perlukan, maka hadapkanlah keperluanmu itu kepada Allah SWT dengan penuh rasa keyakinan bahawa keperluanmu itu akan dipenuhi"
Sedarkan dirimu akan dosa yang dilakukan, takutkanlah dirimu dengan azab Allah yang Maha dahsyat, himpunkan kekesalan yang mendalam dalam hatimu, dan simpulkan azam yang membulat serta tekad yang kuat bahawa kamu benar-benar mahu meninggalkan dosa lalu kerana Allah semata-mata! Lalu lakukanlah solat sunat taubat dengan bersungguh-sungguh dalam kesedaran itu. Lakukanlah dengan rendah hati padaNya, mengenang semua dosamu padaNya, mengenang nikmat kurniaanNya padamu. Berdoalah penuh syahdu setelah itu, mengadulah merataplah menangislah kepadaNya yang Maha mendengar. Ketahuilah olehmu, airmatamu saat itu dapat memadamkan api neraka yang membahang. Menangislah saudaraku hanya kepadaNya. Berdoalah semahu hatimu kepada yang Maha Tahu.

Saudaraku sehati seiman dan seperjalanan, kita dituntut untuk sentiasa berada dalam keadaan taubat, jadi kita semua wajar melakukan hal tersebut di setiap hari yang kita lalui. Manusia itu sifatnya annisyan (lupa) dan lalai. Rasulullah yang ma'sum pun sentiasa dalam keadaan taubat apalagi kita yang tidak maksum ini! Selawat dan salam khas buat baginda. Semoga kita tergolong dikalangan hambaNya yang sentiasa menyucikan diri. Bukankah Allah mencintai hamba-hambaNya yang sentiasa menyucikan diri?

Dr. Yusuf al-Qardawi menyatakan dalam kitabnya Taubat Untuk Allah bahawa dalam surah al-Nur, ayat 31, Allah menyatakan;

"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Menurut beliau dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan semua orang yang beriman supaya bertaubat kepadaNya. Tidak terkecuali seorang pun, tak kira sekukuh mana istiqamah(komitmen) seseorang itu dan setinggi manakah darjat ketaqwaannya. Dia tetap memerlukan taubat.

Sesudah itu, waspadailah diri daripada hal-hal yang membawamu kepada dosa. Kenalpasti setiap perkara tersebut dan hindarilah ia. Semoga dikentalkan iman dalam menelusuri hari-hari yang mendatang, moga semuanya dapat dilalui dengan ketaatan kepadaNya. Ini hanya akan dapat dilakukan dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh disertai doa yang tulus dan tawakal yang padu. Apa yang dimaksudkan dengan mujahadah itu pula?

Menurut Ustz Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam bukunya Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf, mujahadah ialah saluran terpenting untuk mencapai tujuan yang suci. Kekuatan mujahadah menghancurkan runtunan dan pujukan nafsu dan lintasan-lintasan jahat di hati. Sesungguhnya mujahadah melawan nafsu ialah satu-satunya jalan bagi seseorang insan itu untuk menang mengawal hawa nafsunya. Hakikat ini dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud;

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik" (Al-Ankabut : 69)

Saudaraku sehati seiman dan seperjalanan, kita sememangnya insan yang lemah maka kita seharusnya merasa sangat kebergantungan kepada yang Maha Kuat, kerana hanya Dia lah sumber kekuatan kita. Lazimilah diri kita dengan sentiasa mengingatiNya didalam hati kita. Banyakkan berdoa kepadaNya. Banyakkan beristighfar dan bertaawuz. Semoga kita sentiasa dalam petunjuk dan pelindungan Allah. Katakanlah dalam hatimu, "cukuplah hanya Allah bagiku, Dialah sebaik-baik Penolong dan Pelindung". Dengan itu, kita telah bertawakkal kepada Allah SWT. Yakinilah Allah akan membantu kita.

"... ketahuilah bahwa semua kekuatan itu milik Allah" (An-Nisa:139)

Salam mujahadah salam setulus kasih kerana Allah semata-mata, ana hulurkan buat semua  saudara seiman sehati dan seperjalanan, insya'Allah. Semoga Allah menunjuki kita semua jalan ketaatan, jalan kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki, amin ya Rabb3. Segala puji hanya milikNya, tiadalah seinci kelebihan insan melainkan semua adalah kurniaan daripadaNya jua. Pujilah Dia kerana hanya Dia yang berhak dipuji. Semoga Allah menerima taubat kita, hamba yang tidak sunyi daripada khilaf.


Wallahu a'lam..

Cukuplah Hanya Allah bagi mu

Ketika kau sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedih, ALLAH sudah menghitung air matamu

Ingatlah dimanapun kau berada, ALLAH akan mengetahui dan sentiasa berada di sampingmu

Jika kau fikir bahawa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu terasa berlalu begitu bersahaja, Allah sedang menunggu bersama-samamu

Ketika segalanya menjadi sesuatu yg tidak masuk akal dan kau merasa tertekan, ALLAH bersamamu untuk menenangkanmu

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kau merasa ingin mengucap syukur, ALLAH telah pun memberkahimu

Ketika kau merasa sendirian dan teman-temanmu terlalu sibuk untuk melayani dirimu, Allah sentiasa berada d sampingmu

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digenapi, Allah sudah membuka matamu dan memanggilmu dgn namamu

Ketika kau fikir bahwa kau sudah berusaha sesungguhnya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi, Allah mempunyai jawapannya

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan, sebenarnya Allah sedang berbisik kepadamu

Bila engkau letih dan hilang semangat, Allah tahu engkau telah mencuba sedaya upaya

Bila tangismu berpanjangan dan hatimu duka, Allah telah mengira titis air matamu sambil dibelai hatimu dengan cintaNya yang maha Agung

Cukuplah ALLAH bagimu…


Sunday, October 24, 2010

"Antara RON 97 & Dakwah"

Apabila suatu kenderaan di reka, antara aspek penting yang akan di ambil perhatian oleh jurutera adalah sumber tenaga untuk menggerakkan kenderaan berkenaan. Sememangnya kenderaan bermotor dan bahan api tak dapat dipisahkan. Ada kenderaan bermotor menggunakan petrol, ada yang guna benzene, ada yang guna kerosene, ada juga yang guna NGV. Kenderaan hybrid terbaru menggunakan hydrogen sebagai bahan api. Bahkan sekarang telah ada usaha-usaha untuk mencipta kenderaan menggunakan tenaga solar.

Bagi kereta biasa di Malaysia, bahan api yang popular adalah petrol tanpa plumbum RON 97. Walau apa pun bahan api yang digunakan, yang penting, ia diperlukan untuk menghidupkan enjin seterusnya menggerakkan kereta.

Jom kita ambil sedikit ibrah daripada kisah kereta Perodua MyVi dan minyak petrol tanpa plumbum RON 97.

Untuk menghasilkan pembakaran dan menggerakkan piston dalam enjin, petrol perlu masuk ke dalam enjin terlebih dulu. Bekalan petrol yang mencukupi untuk enjin sangat penting. Maka, untuk setiap perjalanan, tangki petrol perlu sentiasa diisi.

Dalam sebuah perjalanan, kereta MyVi akan bergerak selagi mana petrol cukup. Sekiranya petrol kering dan tidak diisi, enjin kereta MyVi tak dapat meneruskan kerja lantas membantutkan perjalanan. Jika pedal minyak ditekan walaupun petrol telah kering, enjin akan terus mati. Setelah enjin mati, ia tak dapat dihidupkan terus setelah mengisi petrol ke dalam tangki. Ia tidak semudah memulas punat kunci. Sedikit isipadu petrol perlu di masukkan ke dalam enjin. Kerja ini agak susah dan leceh untuk dilakukan.

Sebab itu lah, isipadu minyak perlu sentiasa berkadar langsung dengan sejauh mana kilometer perjalanan. Lebih jauh dan laju kereta MyVi memecut, lebih banyak petrol yang diperlukan. Bekalan perlu sentiasa cukup. Andai bekalan petrol hampir kering, kereta MyVi perlu singgah di mana-mana stesen minyak untuk mengisi tangki. Bekalan yang  baru akan menampung perjalanan seterusnya.
Semasa mengisi tangki di stesen minyak, pemilihan jenis bahan api mesti tepat. Jika enjin petrol diisi dengan diesel, rosak lah kereta. Perjalanan terus terhenti. Kena singgah bengkel untuk dibaiki. Kereta MyVi tersadai 2-3 hari. Rugi masa, rugi tenaga, rugi duit dek kesilapan memilih bahan api.

Apakah ibrah di sebalik cerita di atas? Apa relevannya dengan kita sebagai da’ie? Jika kita pehatikan,kehidupan kita di dunia ini merupakan satu perjalanan. Dan jalan dakwah yang kita pilih ini juga satu perjalanan yang mana kita tahu bahawa perjalanan ini bukan satu perjalanan yang mudah.

Dakwah ini perjalanan yang sangat jauh dan panjang. Bekalan yang mencukupi atau lebih sangat diperlukan untuk meneruskan jalan ini. Seorang akh atau ukht akan pendek nafasnya atas jalan ini andai bekalannya tidak mencukupi. Demikian kaitannya dengan petrol RON 97. Tarbiyyah umpama petrol dalam perjalanan dakwah. Usrah, halaqah, daurah, jaulah etc. adalah stesen-stesen minyaknya. Tugas-tugas dakwah tidak dapat diteruskan andai bekalan tarbawi tidak mencukupi. Bagaimana mungkin seorang akh mampu bergerak sedang jiwanya kosong. Atas dasar apakah yang mampu menggerakkannya di atas jalan dakwah yang panjang dan berliku ini?

Andai seorang dae’i itu terus memaksa dirinya atau dipaksa untuk menjalankan tugas-tugas dakwah sedang bekalannya tidak cukup, mungkin berlaku seperti enjin kereta MyVi yang kehabisan petrol. Ia akan terhenti. Untuk menggerakkannya kembali, usaha yang lebih sukar dan leceh diperlukan, sama macam mengisi petrol ke dalam enjin yang letaknya jauh di dalam bonet.

Begitu juga halnya jika seorang akh mendapatkan bekalan tarbawi yang tidak tepat. Instead of petrol iman, diesel jahiliyyah yang diisi ke dalam tangki enjin hatinya. Jika ini berlaku, rosaklah hati si akh tersebut dan memaksa proses pembaikan yang mungkin memakan masa yang lama. Banyak juga tenaga, masa dan wang yang perlu dilebur. Nauzubillaah.

Begitulah halnya jalan ini. Bekalan iman yang mendalam dan berterusan adalah pembakar enjin dakwah ini. Hanya tarbiyyah yang berterusan mampu membekalkannya.
Bagaimana tarbiyyah kita? Cukupkah untuk perjalanan yang panjang, jauh dan payah ini?

"Semua insan bisa berdakwah, namun tidak semua bisa mencintai dakwah."- Kiai Rahmat Abdullah rahimahullah

Tentang hukum dan cara berwudu' tanpa membuka/menanggalkan khuf (kasut)

Soalan: Salam akhi, ada nak tanya sedikit tentang cara berwudhuk menggunakan khuf. Sudah baca daripda pelbagai sumber namun ada yang mengelirukan.

Marsita, California.

Jawapan Minda Sunnah: Saudari Marsita yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam. Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut. Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;


1 – Memakai khuf dalam keadaan suci (berwudhuk)

“aku bermusafir bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan. Lalu aku ingin membuka menanggalkan khuf Baginda. Kemudian baginda bersabda: Biarkan kedua-duanya. Ini kerana, aku memakainya dalam keadaan kedua-duanya suci. Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khufnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, an-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

Kata imam an-Nawwi rahimahullah:

“…bahawa tidak boleh menyapu khuf kecuali memakainya selepas menyempurnakan wudhuk.” (Rujuk syarh sahih Muslim, jil. 3. 170)

2 – Khuf mestilah dalam keadaan suci (dari najis)

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. mengimami solat para sahabatnya maka baginda telah menanggalkan kedua-dua belah seliparnya lalu meletakkan kedua-duanya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat perbuatan itu, mereka juga menanggalkan selipar mereka.
Setelah selesai solat, baginda bertanya: Mengapa kamu semua menanggalkan selipar kamu? Jawab mereka: Kami telah melihat engkau menanggalkannya lalu kami pun menanggalkan selipar kami.
Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku memberitahu bahawa terdapat kotoran (najis). Oleh itu, apabila sesorang datang ke masjid, lihatlah selipar mereka. Jika dia melihat ada kotoran atau najis pada seliparnya, sapukanlah ke tanah dan solatlah menggunakan selipar itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ahmad, ad-Darimi, Ibn Khuzaimah, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zhahabi dan al-Baohaqi. Juga al-Albani di dalam al-Irwa, m/s. 284)

3 – Sapuan hanya boleh dibuat jika berhadas kecil. Jika hadas besar, wajiblah menanggalkannya dan mandi wajib

Sofwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Apabila kami bermusafir, Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami agar tidak menanggalkan khuf selama tiga hari tiga malam dan tidak menanggalkannya jika buang air besar, air kecil, dan tidur kecuali kerana junub.” (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, an-Nasai’e, Ibn Khuzaimah, Abdul Razzaq, Ibn abi Syaibah, dan al-Baihaqi. Disahasankan oleh al-Albani di dalam al-Irwa, m.s. 104)

Kata al-Imam as-Syaukani r.h.: “Hadis ini merupakan dalil bahawa tidak perlu menanggalkan khuf dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan berhadas kecil selagi mana tidak berjunub.” (Nail al-Authar, jil. 1, m.s. 231)

4 – Waktu (sela masa) dibolehkan bagi menyapu khuf

Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sheikh Ibn Uthaimin r.h. menjelaskan hal ini sebagai katanya: “Berdasarkan kaedah ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendapat paling rajih (tepat) adalah permulaan tempoh (hari) sapuan dikira ketika mula menyapu khuf dan bukannya ketika (mula) berhadas.” (Rujuk Syarh al-Mumti’, jil. 1. m.s. 208)

Imam an-Nawawi juga menjelaskan sebagai katanya: “Hadis ini merupakan hujah yang terang dan dalil yang jelas bahawa syarat menyapu khuf telah ditetapkan waktunya, iaitu selama tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad, dan jumhur ulama terdiri daripada para sahabat serta generasi selepas mereka.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, m.s. 176 dan al-Muhalla, jil. 2, m.s. 87-89)

5 – Kaedah sapuan ke atas khuf

Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengklasifikasikan sanadnya sebagai sahih. Dan al-Albani turut mensahihkannya di dalam al-Irwa, m/s. 103)

Al-Sha’nani r.h. menjelaskan: “Bahawa hadis ini menunjukkan sapuan hanya di atas khuf dan tidak ada cara selain itu. Jangan sesekali menyapu di bawah khuf.” (Rujuk Subul al-Salam, jil. 1, m/s. 22)
Ibn Qayyim juga menjelaskan: “Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya. Tidak sahih riwayat mengenai sapuan di bawah khuf kecuali terdapat hadis yang munqati’ (terputus sanadnya). Sedangkan, hadis yang sahih menyatakan sebaliknya.” (Rujuk Zaad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199)

Al-Auza’i r.a. berkata: “Nabi s.a.w. menyapu dengan kedua-dua belah tapak tangannya di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan menarik ke atas hingga ke betis.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 454)

- Sapu dengan sekali sapuan sahaja:

Al-Fadhl bin Bisyrin berkata: “Aku telah melihat Jabir bin Abdullah berwudhuk lalu menyapu di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan, iaitu daripada hujung khuf ke atas. Kemudian, dia telah menunaikan solat lima waktu. Katanya: Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. melakukan begitu. Oleh itu, aku pun turut melakukan seperti apa yang aku lihat Rasulullah s.a.w. lakukan.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 453)

Nafi’ berkata: “Aku telah melihat Ibn Umar r.a. menyapu atas kedua-dua belah khufnya, iaitu sekali sapuan menggunakan kedua-dua belah tangannya. (Rujuk Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 220 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 445)
Berkenaan Selain Khuf (Kasut, stokin, dan seumpamanya…)

6 - Bolehkah Menyapu Kepada Sarung Kaki (al-Jaurab) Menggantikan Khuf?

Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah khuf dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi - sebagai hasan sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa dan Tamam al-Minnah)

Al-Syaukani r.h. berkata: “Hadis telah menunjukkan bahawa boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab.” (Rujuk Nail al-Authar, jil. 1, m/s. 228)
Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah – Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sunan Ibn Majah)

‘Amru bin Huraith r.a. berkata: “aku telah melihat ali bin abu Talib kencing. Kemudian, beliau berwudhuk sambil menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Ibn abi syaibah, jil. 1, m/s. 189 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)
Hammam bin al-Harith r.a. berkata: “Abu Mas’ud telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis Riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi syaibah, jil. 1, m/s. 188 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

Menurut Qatadah r.a., bahawa Anas bin Malik r.a. telah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi Syaibah, jil. 1, m/s. 190 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462-463)
Yahya al-Buka’ r.a. pernah mendengar Ibn Umar r.a. berkata: “Menyapu di bahagian atas al-Jaurab sama seperti menyapu di bahagian atas kedua-dua belah khuf.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn abi Syaibah, jil. 1, m/s. 189, Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 463 dan al-Baihaqi, jil. 1, m/s. 285)

Ibn Taimiyyah r.h. menjelaskan: “Boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab apabila ia digunakan semasa berjalan sama ada diperbuat daripada kulit atau tidak mengikut pendapat ulama adalah yang paling sahih (tepat).” (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, jil. 21, m/s. 214-215)

Ibn Qayyim r.h. berkata: “Mengenai keharusan menyapu di bahagian atas al-Jaurab adalah pendapat kebanyakan para ilmuan. Antara mereka yang kami maksudkan adalah terdiri daripada para sahabat, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan al-Tsauri, ‘Atho’ bin abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Said bin al-Musayyab, dan Abu Yusuf. Kami tidak mengetahui bahawa terdapat sebahagian sahabat mengingkari perbuatan nama-nama yang kami sebutkan.” (Rujuk Tahzib al-Sunan, jil. 1, m/s. 188-189, dan al-syarh al-Mumti’, jil. 1. m/s. 193)

Sheikh ‘Uthaimin r.h. menjelaskan: “Apa sahaja yang dipakai pada kaki sama ada dinamakan khuf, jaurab (stokin), muq, dan seumpamanya, hukum menyapu di bahagian atasnya adalah boleh. Ini kerana, ‘illah (sebab dan tujuan) semua itu adalah sama.” (Rujuk al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 193)

7 – Bolehkah Menyapu Di Atas Khuf dan al-Jaurab Yang koyak?

Sufyan at-Tsauri r.a. berkata:

“Sapulah di bahagian atas apa sahaja yang dipakai di kaki. Bukankah engkau dapati khuf golongan muhajirin dan ansar berkenaan koyak, uzur, dan lusuh.” (Hadis riwayat abdul Razzaq dan al-Baihaqi)
Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Pendapat paling rajih (tepat) ialah boleh menyapu bahagian atas al-Jaurab yang koyak atau nipis sehingga menampakkan kulitnya.” (Rujuk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 167 dan Risalah al-Mashu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 84-86)

8 – Adakah Terbatal Wudhuk Sekiranya Berhadas, Dan Kemudiannya Berwudhuk Semula Berserta Khufnya (dengan memakai khuf) Lalu Membuka Khuf (Selepas Wudhuk)

Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa: “Tidak terbatal wudhuk orang yang menyapu khuf dan serban disebabkan dia menanggalkannya (membuka kasut setelah berwudhuk dengannya; juga bagi serban yang menggantikan sapuan ke atas kepada). Begitu juga tidak terbatal tempohnya disebabkan perbuatan itu. Dia juga tidak wajib menyapu kepala atau membasuh kedua-dua kakinya (selagi masih berada di dalam tempoh sapuan).” (Rujuk al-Ikhtiyarat, m/s. 15, Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 86-88 dan majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179)

9 – Terbatalkah Wudhuk Serta-Merta Disebabkan Tempoh Sapuan Telah Tamat?

Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Wudhuk tidak terbatal disebabkan tempoh sapuan telah tamat. Ini kerana, apa yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. hanyalah tempoh (yang membolehkan) sapuan yang berakhir bukannya tempoh wudhuk berakhir. Baginda langsung tidak menetapkan tempoh suci berakhir (terbatal wudhuk) sehingga kita sanggup mengatakan bahawa apabila tempoh sapuan telah tamat maka wudhuk pun terbatal. Bahkan, apa yang ditetapkan ialah mengenai sapuan. Sepatutnya kita katakan: Apabila tempoh telah tamat, tidak boleh menyapu khuf.
Tetapi, jika kamu menyapu khuf dalam tempoh belum berakhir, engkau berada dalam keadaan suci (berwudhuk). Kamu berada dalam keadaan wudhuk yang sempurna berdasarkan dalil syarak. Setiap perkara yang dilakukan dengan sempurna berdasarkan dalil syarak, sudah tentu tidak membatalkan wudhuk kecuali ada dalil syarak yang lain membuktikan ia terbatal. Sedangkan, tidak ada dalil mengenai perkara itu.” (juk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin dan Rasa-il al-Sheikh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179 dan Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 92-93)

Kesimpulan:

Sheikh al-Muhaddith Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata: “Setelah mengetahui perkara itu, seseorang tidak boleh lagi berbelah bahagi untuk menerima rukhsah (keringanan) ini selepas tsabit hadis mengenainya. Lebih-lebih lagi setelah para sahabat melakukannya.” (Rujuk Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 54)

i - Apabila seseorang itu berwudhu’ dengan sempurna lalu kemudian terus memakai kasut dalam keadaan wudhu' (memakai kasut dalam keadaan berwudhuk – suci dari hadas) maka apabila dia hendak mengulangi wudhuknya di kemudian masa dia tidak perlu membasuh kaki dengan air (tidak perlu buka penutup kakinya) tetapi mencukupi dengan menyapu di bahagian atas kasut tersebut.

ii - Syarat kasut yang dipakai adalah sesuatu yang menutupi dari jari-jari kaki sehingga ke buku lali (angkle). Jikalau kasut tersebut tidak mencapai hingga ke buku lali maka memadai dengan memakai sarung kaki yang menutupi buku lalinya itu.

iii - Kebolehan menyapu di atas kasut terhad kepada satu hari penuh bagi orang yang berada di kampung halaman atau tiga hari penuh bagi orang yang berada dalam perjalanan.

Antara Faedah Dan Hikmah Keringanan Daripada Hal Ini:

i – Merupakan contoh keringanan (rukhsah) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. yang wajar diikuti.

ii – Memberi keringanan dan kemudahan ketika dalam perjalanan di tempat-tempat yang menyukarkan kita untuk membuka kasut, seperti di dalam hutan, padang pasir yang panas, dan tempat bersalji yang sejuk.

Sumber: Fiqh & Sunnah-Sayyid Sabiq

Monday, October 18, 2010

Jadilah Kekasih Yang Mendengar..!

 Maafkan aku… justeru hampir seminggu tidak memuatkan entri baru. Minggu lalu adalah minggu yang penuh tarbiah. Aku “dipaksa” mendengar pelbagai rintihan, keluhan malah kemarahan. Bukan milik yang "di sana" tapi punya yang "di sini", rintihan iman dan hati sendiri.
 
Seperti diri mu, aku juga manusia… yang sentiasa diuji. Bila badai melanda, kita kukuhkan kemudi… dan mungkin terpaksa melabuh sauh kehidupan seketika. Bertenang dan muhasabah tanpa berkata-kata, tanpa tindak dan gerak… cuma fikir dan berdoa. 

Dari insan kita tidak  mampu mengharapkan apa-apa kecuali dua… pertama, nasihat. Kedua, doa. Itulah pesan orang yang belajar daripada pengalaman setelah mengalami pelbagai karenah insan. Lalu di saat-saat cemas itu, lidah menjadi kelu. Mulut menjadi bisu. Biarlah cuma rasa dan doa berbicara… kita lepaskan fikir yang berselirat di dada hati yang bermunajat. Bukan dengan doa, pinta itu dan ini… cuma merintih. Mengaku kita lemah. Mengaku kita hina… di hadapan Allah. 

Lalu kita katakan, “Ya Allah aku cintakan MU… walaupun cintaku sering terganggu!” 

Untukmu saudaraku pengunjung MindaSunnah, maafkan aku kerana lama juga tidak mencoret dan mengirim. Aku sedang merawat luka dan dukaku sendiri. Namun dirimu aku tidak pernah lupa. Amanah ini aku teruskan juga… Justeru di hari berhari yang mulia ini kupesankan… JADILAH KEKASIH YANG MENDENGAR! 

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya.

Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya. Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi: “Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar. Mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum. Dengan mendengar ertinya kita memberi telinga, mata dan hati.

Orang yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi”… Bukankah cinta itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian dan perlindungan. Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.
Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.” 

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa? Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar.

Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri! Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri).

Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata. Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “ sami’“. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu.

Allah bersedia mendengarnya bila-bila masa sahaja. Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak. Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…

Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya.

Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba. Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.

Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!

Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.

Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya. Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita.

Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu… Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan.

Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap ingin mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan. Pesanku untuk ku dan untuk mu… jangan biarkan mulut menjadikan telinga kita menjadi tuli!

Wednesday, October 13, 2010

Perempuan Berkalung Sorban Dan 'Kritik Sosial'

Saya agak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan dunia perfileman. Ya, maksud saya filem-filem yang mempunyai ‘islamic genre’ serta pengaruh kepada kehidupan masyarakat kita. Kebanyakan filem yang menjadi perbincangan atau isu hanya saya sedar kewujudannya apabila saya ditanya oleh orang ramai. Jika ada pun, saya selalu tertarik dengan filem-filem Iran yang saya anggap mereka telah berjaya ke suatu tahap yang patut dibanggakan.

Filem ‘Ayat-Ayat Cinta’ yang kononnya hebat dan dikatakan mempunyai mesej islaminya yang tersendiri juga saya tidak sempat menontonnya. Saya hanya akan sempat menonton jika vcdnya diberikan kepada saya dan saya akan menontonnya di rumah.

Filem Indonesia

vcdsangmurabbi.jpg

Dalam cuti semester kali ini, muallim saya Ustaz Pahrol Muhamad Juoi secara tidak langsung  mencadangkan saya menonton filem Indonesia ‘Sang Murabbi’. Saya menontonnya di rumah dengan menggunakan computer keluarga, dan saya rasa amat terkesan dengan mesej yang disampaikan.

Tema dakwah yang hendak disampaikan amat berkesan bagi yang hidup dalam lingkungan tersebut. Kisah perjalanan kehidupan pendakwah dan tribulasi yang dilalui oleh Kiyai Rahmat Abdullah, bukanlah sesuatu perkara yang asing dalam kehidupan ramai pendakwah.

Walaupun pada saya dari segi corak penceritaan atau ‘story-design’ gagal untuk menonjolkan kehebatan sumbangan Kiyai Rahmat dalam sejarah hidupnya. Namun saya tetap tersentuh. Menarik. Padahal sudah agak lama filem itu terbit, baru saya dapat menontonnya. Saya memang mencadangkan agar filem itu disaksikan oleh mereka yang aktif dalam dakwah islamiyyah. Namun, saya rasa mesej filem tersebut tidak dapat dikongsi oleh semua. Bak kata sesetengah ahli kerohanian ‘siapa yang tidak pernah merasa, tidak dapat memahaminya’.

laskar_pelangi_the_movie.jpg

Ramadhan  yang lepas saya berkunjung ke Masjid Saidina Hamzah berdekatan Gombak. Berpuasa bersama-sama adik-adik remaja dalam program 3R (Remaja Raikan Ramadhan) anjuran Ikram Malaysia. Diisi salah satu slot program itu dengan sebuah filem berjudul ‘Laskar Pelangi’. Saya menonton bersama-sama mereka. Amat menarik dan menyentuh hati. Ia adalah adaptasi dari sebuah novel. Satu filem yang saya rasa patut ditonton oleh guru, ibubapa dan anak-anak juga agar dapat menghayati sebuah perjuangan memberi dan mendapatkan pendidikan. Watak ‘Lintang’ dalam filem itu amat menyentuh jiwa. Itu filem kedua Indonesia yang saya tonton sehingga habis. InsyaALLAH, akan saya cadangkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan kelak.

Perempuan Berkalung Sorban



Sejak hujung tahun lepas ramai sahabat yang mencadangkan kepada saya agar menonton filem Indonesia yang berjudul ‘Perempuan Berkalung Sorban’. Alhamdulillah, berjaya mendapatkan naskahnya dan diberi kekuatan untuk menonton filemnya.


Hebat! Memang hebat! Dari segi retorika (rhetorical) dan estetika (aesthetical) filem, ia begitu menarik. Story design yang hebat membawa penonton tenggelam dalam plot-plot yang disusun. Tidak hairanlah jika ia mendapat tujuh nominasi Festival Film Bandung 2009. Ya, filem ini mendapat bantahan beberapa kiyai di Indonesia dan menggesa agar ia diboikot. Kata mereka filem ini menghina pasantren dan Islam. Sinopsis filem itu menulis bahawa watak utama Annissa dalam filem tersebut merupakan anak seorang kiyai yang hidup di Pasantren dari aliran salafiah. Kongkongan ke atas kehidupan wanita atas nama agama cuba ditonjolkan dengan segala retorikanya.

Apabila saya menonton filem ini, beberapa kesimpulan boleh saya buat. Pertama, filem ini tidak menghina Islam, tetapi ia merupakan sebuah kritik sosial (social critic) yang tajam. Dialog-diolag dalam filem ini seperti ‘Allah selalu menyebelahi lelaki’, ‘Islam tidak adil terhadap perempuan’ itu terhasil dari salah ajaran atau gambaran Islam yang diperlihat kepada Annisa. Pun begitu filem ini jika ditonton oleh mereka yang tidak dapat membezakan antara ajaran asal Islam dan gambaran salah Islam mengenai wanita yang dihasil oleh sesetengah guru dan kiyai, mungkin mengelirukan mereka.

Kedua, walaupun disebutkan latar cerita dalam filem ini sebuah keluarga dan pasantren salafiah, namun dari segi praktik yang ditunjukkan tidak mewakili ajaran salafiah. Ini seperti cuba mengambil berkat dari kasut, air dan segala bekas dari guru. Rantaian biji tasbih yang sentiasa di tangan untuk tontotan orang juga menyanggahi amalan aliran salafiah. Larangan mempersoalkan tindakan guru juga bukan aliran salafiah. Begitu juga hadis-hadis yang tidak sahih yang dibaca, tidak mewakili aliran salafiah yang teliti dalam masalah hadis. Senario itu lebih dekat kepada aliran tarekat dan sesetengah traditionalis di Nusantara ini.

Namun, sesetengah pemikiran yang sempit mengenai wanita dikongsi oleh sebahagian pendokong salafiah sempit dan konservatif traditionalis. Hal ini terus berlaku dalam mereka di beberapa Negara Teluk yang kuat salafiah dan juga negara-negara Indo-Pakistan dan Nusantara yang kuat aliran konservatif traditionalis. Walaupun antara manhaj salafi dan fanatik traditonalis mazhab itu berbeza dalam banyak persoalan, namun mereka kadang-kadang sama-sama menyempitkan fikiran agama mengenai kehidupan dan wanita dalam banyak hal.

Ketiga, adegan-adegan yang ‘agak panas’ dalam filem ini boleh mengeluarkan ia dari ‘islamic genre’ dari segi pembikinannya. Walaupun episod-episod itu penting untuk difahamkan kepada penonton, tetapi ia agak berlebihan. Penonton terpaksa ‘skip’ adegan-adegan tersebut.

pbs1.jpg

Keempat, filem tersebut mampu membangun semangat pembaharuan. Kesungguhan Annisa untuk melakukan pembaharuan di pasantren ayahnya amat mengkagumkan. Keperitan dan cabaran yang dilaluinya mampu memilukan penonton dan memberikan semangat bahawa ‘pembaharuan mesti diteruskan’. Menarik, Annisa masih berada atas paksi amalan islamnya. Tudung, solat, bahasa dan berbagai lagi, tidak melayakkan filem ini untuk dikaitkan dengan agenda ‘liberal totok’ seperti yang didakwa.

Kelima, mesej filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’ ini boleh menjadi mesej pembaharuan atau tajdid islami jika ia berjaya digarap dengan betul. Tafsiran-tafsiran yang salah terhadap Islam, atau tindakan yang salah yang dibabitkan dengan Islam memang patut diubah. Umpamanya, alasan ayah Annisa untuk melarang Annisa menyambung pengajian ke Jogja kerana hadis ‘wanita tidak boleh bermusafir tanpa mahram’ boleh diterima.

Namun, penyelesaiannya dengan memaksa dia berkahwin dengan calon yang dia tidak suka adalah salah dan zalim. Padahal, mungkin boleh diberi pilihan untuk dia memilih calon, atau dipastikan dia mempunyai teman-teman wanita yang lain yang baik dari segi agama mereka untuk bersamanya di tempat pengajian. Unsur-unsur kezaliman, tafsiran yang sempit tentang Islam dan berbagai lagi sebenarnya memang wujud dalam sesetengah realiti masyarakat yang mendakwa mereka berpegang kepada Islam.

Banyak lagi jika hendak disentuh, apa yang penting filem ini sangat wajar untuk ditonton oleh mereka yang bersemangat agama. Jangan tonton dengan emosi atau anggapan ia serangan terhadap Islam, tetapi anggaplah ia sebuah kritik sosial yang diperlukan dalam sesetangah masyarakat. Apabila para pelajar saya seramai lapan orang di peringkat M.A pengajian hadis berkunjung ke rumah, saya suruh mereka tonton dan ulas. Mereka mempunyai pengalaman pengajian Islam yang agak lama, sejak kecil sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Kata sebahagian mereka yang pernah hidup di pondok ‘ia suatu realiti’. Ya, bukan semua demikian. Banyak yang sudah atau mahu berubah, namun kritik sosial tetap diperlukan.

Sekali lagi, saya tahu saya ketinggalan ‘keretapi’ dalam mengulas filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’ ini, namun saya tahu masih ramai yang belum menontonnya. Apapun, saya percaya filem ini di suatu sudut boleh menjadi perangsang kepada usaha-usaha membela kaum wanita muslimah di negara asalnya dan negara ini juga. Demikian juga, yang lebih utama ia boleh merangsang semangat menentang tafsiran yang sempit dan salah tentang Islam. Wassalam

Wallahu Waliyyut Taufiq

Thursday, October 7, 2010

"Jangan Marah...!"

Bagaimana rasa kita bila mulut yang pernah kita suap tiba-tiba menggigit kita? Atau bila seorang yang lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita  tetapi punya seribu satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji memuja bvila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan celaan ketika di belakang kita? Atau kita  berdepan dengan “pelakon” handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi dan dendam untuk menghancurkan keperibadian atau karier kita? Jawabnya… JANGAN MARAH!

Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik – bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan ’musuh-musuh’ kita.

Menurut ajaran Islam kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang – sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Malah, ada kesan biologi yang negatif apabila kita marah – degupan jantung, aliran darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap… Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu marah ” pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!”

Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat tabi’e manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahankan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai pada tempat, sebab dan keadaannya.

Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji, kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila.

Bagaimana kita boleh menteladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu membezakan ’jenis’ marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal.

Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji… telitilah, muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai ’teguran’ daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera. Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca!

Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi sipengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.

Jadikanlah kemarahan itu sebagai ’pekerja’ dan diri kita sebagai ’majikan’nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya…

Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakan mu kelihatan ’mentah’. Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!

Wallahu Waliyyut Taufiq

Mencari Ketenangan Hati

Alhamdulillah, ALLAH beri kemudahan pada diri untuk untuk melalui sedikit ujian dunia pada hari ini dengan jayanya.Namun, terasa kurang tenang tatkala menunggu giliran, menunggu bila namakan disebut untuk diuji. Terlintas di alam fikir saya, bagaimana dahsyatnya "ketidaktenangan" yang sama untuk ujian yang lebih besar di mashsyar kelak. Ah...terlalu kurang persediaan diri , terlalu kurang fikir tentang Ilahi, terlalu kurang zikir dihati. Tolong kami ya Rabbi...

Rasa gugup, rasa tidak tenang yang silih berganti menguasai diri, terus mendesak "si tumpuan" pergi. Saat inilah terasa berharaga amat untuk diamalkan pesan ayahanda tercinta. "Jangan tinggal zikir", begitulah ayah, sentiasa sederhana ruang pesannya, namun maksud dan peranannya luas maya pada. Alhamdulillah, ALLAH beri keberkatan pada fikir ayah dan zikir saya. Sebagai penutup bicara bagi entry yang lepas, terimalah perkongsian amal dan rasa yang seadanya dari saya ini.


Mencari Ketenangan Hati

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

• Dimensi kata, rasa dan tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8

Firman Allah lagi:

“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
• Rasa kehambaan.
• Rasa bertuhan.
• Memahami maksud takdir.
• Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

• Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:

“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:

“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

• Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:

“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

• Memahami maksud takdir Allah.

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”(Surah Al Baqarah : 216)

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:

“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

• Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

ALLAHUMMA YASSIR LAKUM BIT TAUFIQ WAN NAJAH

Saturday, October 2, 2010

Inilah... "Bahagia"

Alhamdulillah..berlalu sudah semester ke-4 yang sangat mendesak kekuatan dalaman untuk di keluarkan sehabis mungkin. Berkat kasih-sayang ALLAH yang tidak pernah berbelah bagi pada hambanya sekalian, saya diberi upaya untuk mengulangi subjek yang diuji dengan kegagalan pada semester yang pertama. Dalam masa pengajian berlangsung, saya diberi tugas untuk menyelesaikan “Research Paper: Single Word Definition” (1500 patah perkataan). Tajuknya terserah.

Disebabkan agak banyak juga pilihan tajuk yang menerjah masuk ke alam fikir, saya memilih untuk menjelaskan yang paling dekat dengan alam zikir…”Bahagia”..Sudilah mengikuti jawapan seadanya dari saya tentang hakikat ungkapan itu.

Ia bermula begini…

Bahagia itu adalah fitrah insani. Semua manusia inginkan bahagia. Tidak ada seorangpun manusia yang tidak inginkannya. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman… dan layak dihantar ke Hospital Bahagia. Justeru, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia hakikatnya adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

• Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

• Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang (lihat sebahagian fakta yang dipaparkan).

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

• Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

• Metafora air limau dan luka di tangan

Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

• Inilah erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

Kaedah mencari bahagia mengikut Al Quran dan Sunnah:

1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

Zikrullah bawa bahagia:
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi hati tidak tenang. Kenapa? (Jawapannya akan saya isi dalam entri yang akan datang).

Bahagia itu letaknya di hati. Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita. Agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Oleh itu berhati-hatilah menjaga hati!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...