Sunday, September 5, 2010

MADAH HATI DI AIDIL FITRI

Salam Ramadhan Al-Kareem
Syawal menjelang tiba. Namun, untuk merayakannya dengan penuh gembira… hati masih berbelah bagi. Justeru mengenangkan apakah Ramadhan ini sudah terisi dengan penuh bererti. Bila bermuhasabah dengan sejujur-jujurnya, kita pasti terasa pencapaian kita masih jauh daripada insan-insan mulia di awal kurun – khususnya para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin.

Saya pernah membaca dua sajak yang telah menjadi nasyid tentang subjek ini (mengenai betapa jauhnya kita daripada hakikat puasa yang sebenarnya). Sebuah nasyid, MUHASABAH RAMADHAN telahpun dikumandangkan oleh kumpulan INTEAM atau UNIC (saya kurang pasti). Dan sebuah nasyid lagi RAMADHAN DUA ZAMAN (yang telah dibawa oleh Nazery ex-Raihan).

Saya hanya ingin berkongsi dengan anda saudara/i pengunjung blog Minda Sunnah yang serba baru menatih zaman binanya. Doakan moga ada keberkatan. Hakikatnya kita hanya layak “menumpang” gembira insan-insan soleh di akhir zaman ini. Marilah kita sudahi baki Ramadhan yang ada dengan pecutan amal yang paling maksimum.

Bukan sahaja amalan sunat kita pertingkat, tetapi maksiat mata, telinga dan rasa hati juga wajib diperangi. Malah, meninggalkan mengumpat di siang hari itu hakikatnya lebih utama daripada solat malam. Didik, tekan dan sesahlah jiwa agar mampu MEMAAFKAN dan MELUPAKAN.

BERILAH KEMAAFAN . Begitu sukar, tetapi itulah yang menjadi penghalang kita menuju Allah. Sesuatu yang paling sukar itu sebenarnya “marhalah” yang paling sukar dalam jalan mujahadah kita. Ingat saudara/i ku, teliti dengan sedalamnya apa yang paling sukar dan menusuk hatimu saat ini dan kebanyakkan saat-saat mu dalam kehidupan ini. Hingga terasa dalam hatimu, “kalaulah masalah@orang@perkara ini selesai… maka tenanglah hidup ku. Kenapa yang satu ini cukup mengganggu aku?”

Sebenarnya, itulah, dialah, perkara itulah… jika dapat diatasi berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang baik, akan membawa kita jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah. Yang paling sukar itulah MAHAR cinta Allah. Allah letakkan mahar itu mungkin pada… manusia yang paling kau “benci”, mungkin pada perkara yang paling ingin kau lari daripadanya, mungkin kepada “penyakit” yang paling kau sedang hadapi kini atau apa-apa sahaja yang paling menekan, menyusahkan dan membimbangkanmu!

Sahabatku, jangan lari. Tetapi hadapi. Jangan mengelak , tetapi berdepanlah. Terimalah realiti walaupun pahit atau pedih amat. Itulah anak tangga yang kau mesti pijak untuk melonjak ke daerah tinggi. Jika kita lari, pasti anak tangga yang sama akan memburu dan menghantui kita dalam rupa yang berbeza tetapi mesejnya tetap sama. Kita tidak akan naik ke kelas atas, kita selamanya akan berada di kelas itu juga. Begitulah kata mereka yang arif, cara Allah mendidik kita dalam universiti kehidupan ini.

Temanku, dunia ini adalah sebuah sekolah. Kita di sini bukan untuk didera, tetapi untuk ditempa… dididik oleh MURABBI paling agung dengan mehnah (ujian), qada’ serta qadar-Nya. Pelajaran itu kekadang diletakkan Allah pada manusia lain, pada peristiwa, pada kejadian, pada penyakit, pada kegagalan, pada kejayaan… ya selamanya kita akan dididik. Berterus-terusan. Hingga layak kita menerima sekalung ijazah bernama Qalbun Salim (hati yang sejahtera).

Di mana kita dalam “Universiti Kehidupan” ini? Masih bertatih dalam “sekolah rendah” yang tidak pernah meningkat kelas? (masih mengeluh dan berontak bila diuji?) Atau masih di “sekolah menengah” yang masih terkial-kial menduduki peperiksaan yang sama tahun demi tahun? (kekadang tenang kekadang resah bila diuji) Atau paling malang masih diperingkat “tadika” yang masih tidak matang, alpa dan masih terus ingin bermain-main? Tidak teringinkah kita menjadi graduan-graduan  yang lulus pangkat pertama lalu melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan MA dan Ph.d? (Di situlah “bersemanyam”nya para sahabat Rasulullah dan para waliullah yang tersenyum bila diuji)

Aduh, madrasah Ramadhan ini semakin sampai ke hujung. Ketika para Salafussoleh membawa kurnia keampunan dan cinta yang begitu tinggi dan indah apa yang kita bawa untuk diri ini? Ya, Allah… pada kami hanya ada takut dan harap. Takut kemurkaan-Mu. Harap keampunan-Mu. Lalu, hatiku bermadah lagi… MADAH HATI DI AIDIL FITRI

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...