Showing posts with label Fikir dan Zikir. Show all posts
Showing posts with label Fikir dan Zikir. Show all posts

Friday, July 15, 2011

MAHAR SEBUAH SYURGA


Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Kita mesti belajar ‘mengorbankan’ sesuatu yang berharga untuk mendapat sesuatu yang lain, yang lebih berharga. Begitu ditakdirkan oleh Allah. Oleh hukum sunnatullah. Di persimpangan ini kita mohon hidayah, biarlah suluhan hati kita dan pertimbangan akal ini dipandu oleh Allah. Jangan sampai kita tersalah pilih. “Pilihlah pilihan yang tidak memaksa kita untuk memilih”. Bukankah begitu kata orang bijak pandai? Fikir dan Zikirkan…

Untuk sahabat dan saudara/i pengunjung blog Mindasunnah… marilah sama-sama kita mengambil peringatan daripada tulisan ini:

MAHAR SEBUAH SYURGA.

Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi “sunnatullah”, kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka kita lakukan.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada “zon selesa” menuju “zon mencabar” kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu “awkward”– yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:

“Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan.  Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Untuk melakukan perkara yang “perlu” dibuat walaupun kita tidak “suka” membuatnya, menagih ketabahan, keberanian dan istiqamah (konsisten). Ini semua seolah-olah “menyeksa” diri sendiri. No pain, no gain – tidak ada “kesakitan”, tidak ada ganjaran. Berakit-rakit ke hulu, berenang-berang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Begitu yang dipesan sejak dulu. Justeru, untuk berjaya “mujahadah” itu adalah wajib.

Mujahadah ertinya “berperang” dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan. Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”.

Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit, tak boleh. Hendaknya… banyak rehat. Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.

Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk “menanam”. Di sana (akhirat) nanti barulah kita menuai. Musim bertanam memanglah payah – mencangkul, membaja, menjaga dari serangga dan bermacam-macam-macam lagi kesusahan.  Bila menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.

Dunia diumpamakan  tempat “membayar”. Di akhirat nanti tempat “bermain”. Pay now, play later. Bayar di sini, “berseronoklah” di sana. Apa sahaja di dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu, atau membayar kemudian. Tetapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan di kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.

Orang mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya, terlalu sibuk dengan ibadah. Berpindah dari ibadah khusus kepada ibadah umum, berpindah lagi kepada ibadah sunat. Begitulah sehari semalam, sentiasa berpindah dari satu ibadah ke satu ibadah.

Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk menempah syurga selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala Neraka dipagari oleh keseronokan.”

Sebaliknya, bagi mereka yang lalai berpegang kepada konsep: Play now, pay later. Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga.

Justeru marilah sama-sama kita berpesan agar rela menerima “kepahitan” yang sedikit dan sementara demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Oh, alangkah jahilnya kita sekiranya rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.

Sebaliknya, kita bijak kalau terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehinggalah tiba ketikanya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita suka melakukannya. Di mana? Bila? Jawabnya, InsyaALLAH, di Syurga. Dan Mujahadah Itu Mahar Sebuah Syurga!

Thursday, June 9, 2011

AIR



Salam ‘Alaikum. Maaf kerna sekian lama tidak mencoret buat sahabat-sahabat, pengunjung mindah sunnah sekaliannya. Doakan saya moga kesibukan yang menutup ruang untuk mencoret itu adalah kesibukan atas iman dan taqwa semata. Coretan yang ingin dikongsikan hari ini telah saya kongsikan sebelum ini bersama dua orang sahabat yang saya kasihi di mana saya cuba untuk memberi kaitan makna  antara fitrah air dalam kehidupan manusia. 

Saya sendiri tidak pasti bagaimana ilham ini mampu saya hadirkan dalam fikiran. Ia hadir saat saya mengelamun panjang memerhatikan gelagat aliran sungai sambil menunggu peserta xplorace bertandang ke checkpoint kami. Cukup panjang lamunan itu untuk saya leka tentang selainnya. Namun yang pasti ALLAH lah pengatur segalanya. Jadi, izinkan saya kongsikan ilham hasil ibrah ‘alam ini yang saya beri tajuk: Air.

Abdullah: Cuba ukhti beritahu ana, kenapa air sungai  dan laut yang bersambung denganya lebih cantik, lebih indah gitu?

Sapa saya memecah sepi kami menunggu peserta xplorace datang ke checkpoint kami…

Hanum: Barangkali kerna sungai tu jernih, sekitarnya pun nyaman gitu…

Abdullah: Itu hanya faktor luaran ukhti, cuba beri dalamannya…

Hanum: Maksud akhi?

Abdullah: Maksud ana, cuba beri asbab yang hadir dari sifat air itu sendiri…

Najihah: Sejuk mungkin…

Abdullah: Hermm, barangkali jawaban ukhti boleh di selitkan untuk sesi ibrah yang lain, tapi buat masa ni ana harapkan yang lain dulu.

Hanum: Kering idealah akhi…

Abdullah: Cuaca hujan, bagaimana boleh kering tu ukhti?

Najihah: Itu faktor luaran akhi, hehe…

Hanum: Setuju!!!

Abdullah: Sebab, air sungai dan laut mengalir, sebab tu lah mereka ni cantik…

Najihah: ooooo…!!

Hanum: cuba akhi perjelaskan asbabnya tu, ana kurang faham kenapa asbab tu yang akhi pilih…

Abdullah: Begini ukhti, ukhti pernah letak berus gigi dalam bekas macam cawan atau mangkuk gitu?

Hanum: pernah..

Abdullah: Jihah pernah?

Najihah: Herrmmm….!!!

Abdullah: Makin lama kita simpan berus gigi dalam bekas tu, maka bertambah air di dalamnya kan?

Hanum: Ya2, teruskan akhi…

Abdullah: Jadi, selepas seminggu mungkin, apa bau yang boleh kita hidu dari air dalam bekas tu?

Hanum: Superb..!!!

Najihah: Akhi macam dah biasa je…

Abdullah: Haha, dululah, tapi sekarang dah tak simpan dalam bekas dah, gantung je, tapi yang pasti busukkan.

Abdullah: Air tu jadi busuk disebabkan ia tidak mengalir, kekal terperap dan terperangkap sehingga datanglah bacteria-bakteria seperti e.coli dan yang seangkatan dengannya berkampung dan akhirnya membina metropolitan di situ.

Najihah: Hissh, ke situ pula akhi ni…

Abdullah: Begitu juga dengan paya dan lubuk yang bertakung airnya tak ke mana, airnya akan berbau hanyir dan orang takkan datang ke situ melainkan untuk pancing ikan keli yang sememangnya hanyir.

Hanum: Ikan keli sedap tapi ibrah untuk soalan akhi ni pasti lebih sedap?

Abdullah: Begini, cuba kita kaitkan fitrah air tadi dengan kehidupan manusia.. Air yang mengalir adalah air yang sentiasa berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Disebabkan setiap tempat aliran itu mempunyai komposisi mineral dan suhu yang berlainan. Maka air itu bukan sahaja hijrah  dari segi warnanya kerna mengalir di atas pasir dan dasar yang berlainan warna tetapi ia juga hijrah dari segi rasa dan suhunya. Air itu akan terus jadi air yang sihat dan berkualiti.



Abdullah: Tapi saat air itu bercampur dengan sesuatu yang menyekat alirannya atau ia tersekat akibat keadaan sekitarnya sendiri, air itu akan bertukar busuk dan kotor.

Najihah: Apa kaitan maknanya dengan kehidupan kita akhi?

Hanum: Ana masih kurang jelas akhi…

Abdullah: Air itu merupakan elemen yang sangat penting bagi setiap hidupan yang ALLAH cipta dan tanpa air pasti buruk akibatnya. Tapi ada yang lebih penting dari itu…

Hanum: Iman…!!!

Abdullah: Na’am ya ukhti…Memandangkan iman itu lebih kurang sama status kepentingannya dengan air, maka boleh kita katakana iman itu ibarat air.

Najihah: Dah Nampak dah ni…

Abdullah: Jika kita ibaratkan iman itu seperti air, perlukah iman itu kepada hijrah?

Hanum: Pasti akhi, jika tidak ia juga akan membusuk sepertimana air yang tersekat tidak mengalir…

Abdullah: Bagus ukhti, namun bila bercakap tentang hijrah iman bukan bermaksud kita perlu hijrah apa yang kita imani, ALLAH kekal sebagai satu-satunya tuhan yang wajib kita imani selamanya. Tapi, yang perlu kita hijrahkan ialah cara kita beriman dan bagaimana kita sampaikan pembuktian iman kita.

Najihah: Maksudnya akhi?

Abdullah: Maksudnya, jika kita mengaku beriman, turutkah kita sepenuhnya pada syari’at ALLAH dan sunnah Rasulullah. Jika alasannya manusia itu lemah dan tidak mampu untuk menuruti sepenuhnya, maka soalan akan jadi: bersungguhkah kita untuk menuruti sepenuhnya walaupun yang dilakukan hanya sebahagian yang termampu.

Hanum: Ana sangat kurang pada tu akhi…

Abdullah: “Kita” kurang ukhti…selama ini kita lebih yakin pada duit atau ALLAH dalam menjamin kehidupan kita?

Hanum: Duit…

Najihah: Hermmm….setuju…

Abdullah: Jadi ukhti, Itulah yang patut kita hijrahkan pada iman kita. Jika kita berkehendak untuk terus di tampuk iman yang lama, iman yang lemah, iman yang kotor dan tersekat aliran nurnya dek maksiat yang mengisi ruang dan kehendak hati, maka ia akan membusuk sepertimana yang air yang tersekat membusuk.

Najihah: Akibatnya akhi?

Abdullah: sepertimana aliran sungai yang membusuk akan merusakkan tumbuhan yang tumbuh berhampirannya, mencemar udara sekitarnya. Iman yang sakit akan meranapkan jasad dan jasmani luarannya.

Hanum: Lagipun,air itu fitrahnya memang mengalirkan…

Abdullah: Ya ukhti. Jadi apa akan berlaku jika fitrah di sanggah…

Najihah: Langit teguh pun akan musnah kerna planet beredar tidak tentu arah…

Abdullah: Jadi,selagi ana nak tanya, kenapa air sungai dan laut itu cantik lebih dari yang lain?

Najihah: Kerna ia mengalir..

Hanum: soalan akhi salah tu dan tiada jawapan bagi soalan yang salah…

Abdullah: Yang betul?

Hanum: Kenapa yang berhijrah itu cantik?

Abdullah: Kenapa pula begitu ukhti?

Hanum: Kerna konteknya lebih besar kali ni, bukan hanya melibatkan air sahaja malah iman…

Najihah: Jadi jawapannya apa ukhti?

Hanum: Dan InsyaALLAH, soalan yang betul tidak memerlukan jawapan bukan…FIKIR – FIKIRKAN…

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang kekal.” (Surat At Taubah: 20-22).





Wednesday, May 11, 2011

Generasi Lemah; Imannya Parah...

 Assalamualaikum buat semua pengunjung minda sunnah yang dikasihi. Hampir sebulan tidak mencoret dan mengirim sesuatu buat modal muhasabah diri kita bersama. Terasa kurang setiap kali punya kekuatan untuk menghidupkan laptop dan melayari internet tapi hilang ilham dan kesempatan untuk berkongsi. Alhamdulillah, hari ini, berkat perkongsian daripada Murabbi saya, saya kongsikan dengan anda semua sedikit titipan dan perkongsian ilmu: Generasi Lemah; Imannya Parah

 “Akan datang suatu masa umat lain akan memperebutkan kamu ibarat orang-orang lapar memperebutkan makanan dalam hidangan.”

Sahabat bertanya, “Apakah lantaran pada waktu itu  jumlah kami hanya sedikit Ya Rasulullah?”.

Dijawab oleh baginda, “Bukan, bahkan sesungguhnya jumlah kamu pada waktu itu banyak, tetapi kualiti kamu ibarat buih yang terapung-apung di atas laut, dan dalam jiwamu tertanam ‘Al Wahn’ (kelemahan jiwa).”

Sahabat bertanya, “Apa yang dimaksudkan ‘Al Wahn’ (kelemahan jiwa), Ya Rasulullah?”

Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati!”. (HR Abu Daud)

CINTA DUNIA DAN TAKUT MATI

Inilah ungkapan ringkas yang disampaikan oleh Rasulullah Muhammad saw 14 abad yang lalu untuk menggambarkan betapa lemahnya jiwa dan mental generasi akhir zaman.

Apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw tersebut nampaknya kini telah menjadi kenyataan.

Setiap hari kita menyaksikan peristiwa demi peristiwa dan berbagai ragam tingkah laku manusia di sekeliling kita yang sesungguhnya telah jauh dari nilai-nilai kebenaran yang diajarkan oleh Allah dan rasulNya melalui Al-Qur’an dan As Sunnah.

PENYELEWENGAN ORIENTASI KEHIDUPAN

‘Al-Wahn’ (cinta dunia dan takut mati) memang membuatkan manusia kehilangan arah dan orientasi hidup.

PERTAMA : Mereka tidak lagi mengenal tujuan hidupnya yang hakiki untuk mencari ridha Allah swt sepertimana firman Allah swt :

“Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)." (QS Al Anaam : 163)

KEDUA : Mereka juga tidak sedar akan tugas kehidupannya untuk mengabdikan diri kepadaNya dalam berbagai aspek kehidupan.

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepadaKu. (QS Az Zaariat : 56)

KETIGA : Mereka lupa akan peranan hidupnya yang agung iaitu menjadi khalifah atau wakil Allah untuk mewujudkan kehendak Ilahi di muka bumi.

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS Al Anaam : 165)

KEEMPAT : Mereka alpa bahwa merekalah sepatutnya sebagai penerus risalah Islam yang menyampaikan ajaran-ajaran Allah kepada seluruh umat manusia dan membelanya.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS Ali Imran : 110)

Mereka jauh dari Al-Qur’an dan As Sunnah sebagai pedoman hidup. Maka jadilah mereka pengkagum dunia.

Padahal Nabi saw telah mengingatkan mereka :

“Sesungguhnya dunia itu manis dan hijau (enak dipandang), dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah di dalamnya. Allah akan melihat apa yang kamu kerjakan. Maka berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hatilah pada wanita. Sesungguhnya pertama kali fitnah yang melanda Bani Israel adalah tentang wanita”. (HR Muslim)

Kini tidak sedikit di antara manusia yang bersaing meraih jawatan. Namun sayang, jawatan itu mereka ambil dengan tidak mengindahkan hak-haknya. Meraih jawatan bukan untuk berkhidmat, tapi untuk memperkayakan diri.

Tentang sikap jiwa atau mental seperti ini, Nabi saw bersabda :

“Sesungguhnya di antara kamu ada yang bercita-cita menjadi penguasa, padahal yang demikian itu akan menjadi penyesalan di hari kiamat. Kerana sebaik-baik seorang ibu adalah yang mahu menyusui anaknya dan sejelek-jelek ibu adalah yang tidak mahu menyusui anaknya” (HR Bukhari)

Kepimpinan bukanlah sesuatu yang kotor dan busuk. Bahkan ia adalah kebaikan di sisi Allah swt, asal sahaja kita mampu memikulnya dengan menunaikan hak-haknya.

Zaid bin Tsabit pernah berkata ketika ia berada di samping Nabi saw :

“Seburuk-buruk perkara adalah kepimpinan.”

Mendengar hal itu Nabi saw menyanggahnya :

“Sebaik-baik perkara adalah kepimpinan, bagi orang yang mengambilnya dengan hak-haknya. Dan seburuk-buruk perkara adalah kepimpinan, bagi orang yang mengambilnya dengan cara yang tidak benar, maka kelak hanya akan mengundang kekecewaan pada hari kiamat.” (HR Thabrani)

IBADAH  BERBENTUK ADAT ISTIADAT FORMAL

Keburukan lain yang seringkali terserlah adalah fenomena ibadah berbentuk adat istiadat  formal yang bercampur kemunafikan.

Ramai manusia yang mengaku beragama Islam, tapi perbuatannya sehari-hari tidak mencerminkan ajaran Islam sama sekali.

Islam hanya dilihat sekadar identiti formal yang tertera di surat-surat penting untuk memudahkan urusan-urusan pentadbiran sementara kehidupannya sehari-hari dipenuhi oleh kedurhakaan pada syariat Islam.

1.      Solat sering ditinggalkan tanpa perasaan berdosa.
2.      Zakat tidak ditunaikan secara sempurna.
3.      Haji dijadikan sebagai wasilah untuk suatu temasya.
4.   Mushaf Al-Qur’an disimpan dengan rapi di almari, tidak dibaca, tidak dipelajari dan tidak diamalkan. Ia hanya menjadi aksesori dan instrumen penghias dalaman rumah sekaligus menjadi alat penjaga imej.
5.      Masjid-masjid banyak dibangunkan, tapi tidak aktif dalam memakmurkannya.
6.   Ramai manusia yang lebih suka berdiskusi dan berbicara tentang Islam tapi malas untuk mengamalkan ajarannya secara sempurna.

Huzaifah pernah ditanya, “Apa itu nifaq?”,

Hudzaifah menjawab, “Kamu berbicara tentang Islam, tapi kamu tidak mengamalkan ajarannya”. (Dikutip dari Musnad Ar-Rabi’)

Ya, ramai orang yang pandai berbicara tentang Islam, tapi sebenarnya ia tidak mengimani dan tidak mengamalkan ajarannya. Apa yang keluar dari mulutnya tidak lebih dari hanya kumpulan kata-kata retorik sekadar untuk membuatkan orang terkagum-kagum pada ‘otot-otot intelektual’nya.

Nabi saw bersabda :

“Akan datang pada manusia satu zaman, di kala itu Islam tidak tinggal melainkan namanya, dan Al-Qur’an tidak tinggal melainkan tulisannya, masjid-masjidnya bagus namun kosong dari petunjuk, ulama-ulamanya termasuk manusia paling jelek yang berada di bawah langit, kerana dari mereka timbul beberapa fitnah dan akan kembali kepada mereka”. (HR Baihaqi)

KEHILANGAN INTEGRITI DIRI

Sudah sepatutnyalah apabila Nabi saw menyifatkan umat akhir zaman dengan kalimah ‘hubbud dunya wa karahiyatul maut’ kerana bersangatan terpikatnya mereka  kepada dunia di mana kebanyakan dari mereka tidak lagi memperhatikan halal dan haram.

Nabi Muhammad saw bersabda :

“Akan datang satu masa kepada manusia, di mana pada masa itu seseorang tidak lagi memperdulikan apa yang diambilnya, apakah dari yang halal atau dari yang haram”. (HR Bukhari dan Nasa’i)

Bukan hanya itu, mereka pun juga tidak lagi menghargai kejujuran. Mereka beranggapan kejujuran itu tidak akan mendatangkan keuntungan sementara kebohongan dan kata-kata palsu dianggapnya lebih mudah disandarkan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya.

“Akan datang satu masa kepada manusia, yang di dalamnya manusia tidak kuasa mencari penghidupan melainkan dengan cara maksiat. Sehingga seorang laki-laki berani berdusta dan bersumpah. Apabila masa itu telah datang, hendaklah kamu berlari.”

Ditanyakan kepada baginda, “Ya Rasulullah, ke mana harus berlari?”

Baginda menjawab, “Kepada Allah dan kepada kitabNya serta kepada sunnah NabiNya.” (HR Ad-Dailami)

KERUNTUHAN MORAL

Akhlak buruk telah bermaharajalela; kegiatan samseng, kekerasan dan pornografi telah menjadi tontonan dan berita seharian. Malah rasa kemanusiaan seolah-olahnya telah hilang ditelan bumi.

Fenomena seperti ini mengingatkan kita kepada salah satu hadits Rasulullah saw :

“Dua golongan dari ahli neraka yang belum kami ketahui iaitu segolongan kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia; dan wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, mereka menari-nari sambil menggelengkan kepalanya seperti punuk unta. Mereka itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal syurga itu dapat dicium dari perjalanan sejauh sekian dan sekian.”

Dalam riwayat lain: “Sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan sejauh lima ratus tahun.” (HR Muslim)

Keruntuhan moral merebak begitu cepat sehingga :

a.       Ia mampu menghapuskan rasa tanggung jawab untuk mendidik anak-anak.
b.      Ia merasa tidak perlu lagi menghormati orang tua.
c.       Ia tidak lagi menyayangi mereka yang lebih muda.
d.      Tidak ada yang dipedulikan kecuali semata-mata untuk kenikmatan badan.

“Apabila zaman telah dekat (kiamat), seorang laki-laki mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anaknya. Tidak ada rasa hormat pada yang lebih tua dan tidak ada rasa kasih sayang pada yang lebih muda; dan banyak anak-anak hasil perzinaan, hingga banyaklah laki-laki menyantap perempuan di jalanan, mereka berbulu kambing namun berhati serigala.” (HR Al-Hakim & Thabrani)

Betapa malang dan ruginya mereka.

“Hubbud dunya wa karahiyatul maut” telah menggiringnya begitu jauh dari hidayah Al-Qur’an.

1.      Di manakah para penyeru kebenaran?
2.      Di manakah pejuang amar ma’ruf nahi munkar?
3.      Di manakah pembawa panji-panji Al-Qur’an?

Apakah kemaksiatan sudah begitu memuncak dan menjadi dinding penghalang keberkatan wahyu Al-Qur’an?

Nabi saw bersabda :

“Apabila ummatku mengagungkan dunia, maka dicabutlah kehebatan Islam darinya; dan apabila mereka meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar, maka terdindinglah keberkatan wahyu (Al-Qur’an)” (HR Tirmizi)

Ya Allah, jauhkanlah kami dari dijangkiti penyakit “Al Wahn” iaitu ‘cinta dunia dan takut mati’ kerana kedua-duanya adalah ibu kepada segala penyakit dan kerosakan yang akan membawa manusia kepada segala bentuk penyelewengan dari orientasi kehidupan yang sebenarnya serta akhirnya melemahkan kekuatan umat Islam dalam berhadapan dengan musuh-musuh mereka.

Ameen Ya Rabbal Alameen
Semoga ALLAH merahmati kamu semua ya Sohbi
Wassalam

Wednesday, March 9, 2011

Cukupkah buat ALLAH? Pernahkah Kita Layak? Ayuh Tafakur...


Cctv manusia merakam jenayah manusia, cctv ALLAH merakam jenayah yang terzahir dan tersembunyi jauh di sebalik hati manusia. Firman ALLAH : "Kepunyaan Allah apa yg ada di langit dan bumi, jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, Allah pasti membuat perhitungan denganmu tentang perbuatan (Al-Baqarah : 284)

Janganlah Anda merasa aman dari bahaya dosa-dosa yang Anda lakukan, karena sesungguhnya Anda tidak mengetahui apakah ALLAH mengampuni dosa-dosa Anda tersebut atau tidak. (Hasan Al Bashri)

Jika merasa banyak solatmu, sedarlah ramainya lebih darimu; Jika terasa awal ke peribadatanmu, sedari lewatmu berbanding yang telah memulakan; Jika kamu merasa khusyuk, fahami berjuta insan yang lebih lama khsusyuknya darimu; Jika merasa lewat meninggalkan peribadatanmu, pandanglah mereka yg masih beribadat sedang kamu beransur. Jika kamu merasa sedikit dosamu, itulah tanda hati sedang dijangkiti penyakit NIFAQ.

Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya. Barangsiapa yang banyak salahnya, maka sedikitlah rasa malunya. Barangsiapa yang sedikit malunya, maka sedikit pula sikap wara'nya. Dan barangsiapa sedikit sikap wara'nya, maka matilah hatinya (Umar Al Khatab)

Dosa terkumpul di hati ibarat kotoran degil & karat di belakang kuali, perlu DISENTAL KUAT yang menagih tenaga & sabun yang terbaik. Jika ingin hatimu bersih, SENTALANNYA adalah IBADAHMU, lebih kuat rasa letih & sukarnya, lebih BERSIH hasilnya, khususnya berkat ‘sabun’ terbaik, 10 terakhir Ramadan. Moga berjaya mengilatk...annya sebelum kehabisan sabun.. 

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya ALLAH S.W.T. telah membersihkan agama ini (iaitu agama Islam) untuk diriNya (iaitu ALLAH). Agama itu tidak akan menjadi baik melainkan kalau ada pada kita sifat pemurah dan baik akhlak. Oleh demikian hendaklah kamu hiasi agama kamu itu dengan keduanya (iaitu dengan sifat pemurah dan dengan akhlak yang baik).

Bukanlah yang dikatakan kecantikan pada diri seseorang itu pakaian yang menghiasi diri tetapi yang dikatakan cantik dan indah itu ialah ilmu yang ada padanya dan budi pekerti yang baik.

Lelaki hari ini adalah hasil tangan para wanita, jika kamu inginkan lelaki yang cemerlang lagi amanah, lihatlah wanitamu, didiklah mereka erti cemerlang hakiki & harga diri. Musnah masyarakat bermula dengan hancurnya harga diri & maruah wanita, kerana ia menyeret sebuah negara bersamanya. Lihatlah wanitamu hari ini..membimbangkan bukan? Sebentar...pandang juga tarbiah mu wahai lelaki!!!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat ALLAH, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan ALLAH. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan ALLAH.

Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata,
“mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…

Apabila akhirat ada dalam hati, maka akan datanglah dunia menemaninya. Tapi apabila dunia ada di hati maka akhirat tidaklah akan menemaninya. Itu karena akhirat mulia dan dermawan, sedangkan dunia adalah hina (Abu Sulaiman Ad Daroni)

Sedarlah rezekimu tidak akan dimakan orang lain, maka hatimu tenteram. Sedarlah amalmu tidak akan dikerjakan oleh orang lain, maka sibuklah mengerjakannya. Sedarlah kematian itu datang tiba-tiba, maka bersiap-siaplah menghadapinya. Sedarlah hartamu tiada kekal, maka jgn diizin ia terikat dihati. Sedarlah tiada yg lepas... dari penglihatan Allah, maka Malulah kepadaNya sentiasa.

Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kawin, karena ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.. (HR Muttafaq Alaihi)

Sesuatu yang paling banyak memasukkan orang ke dalam surga adalah taqwa kepada Allah dan akhlaq yang baik (HR Tirmidzi) 
  
Orang yang paling aku (Rasulullah) benci dan yang paling jauh majlisnya dari aku pada hari kiamat adalah orang yang banyak ckp, yang membual dan bicara sesuka semahunya, serta yang menyombongkan diri (angkuh).. (HR Ahmad) 
  
Manusia itu mengikut agama kawannya. Maka hendaklah diperhatikan siapa yang hendak dijadikan sebagai kawannya (HR Tirmidzi) 
  
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih(QS Ibrahim :7) 
  
Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada apa yang diniatkan dan setiap orang itu akan mendapat apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya kepada ALLAH dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang hijrahnya bagi dunia yang akan ia memperolehinya atau perempuan yang ia in...gin kahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia hijrahkan itu. (HR Bukhari & Muslim) 
  
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasannya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran (Al Baqarah: 186) 
  
Dunia adalah kesenangan yang (akan) segera ditinggalkan. Demi ALLAH yang tiada Ilah (sesembahan) yang berhak disembah selain Dia, tak lama lagi (dunia ini) akan hancur bersama penduduknya. Maka ambillah dari kesenangan dunia untuk mentaati ALLAH semampu Anda! Sesungguhnya tiada daya dan upaya kecuali dari ALLAH. (Qatada...h (salah seorang murid Ibnu Mas'ud ))  
  
Kita telah tahu segala peringkat hidup yang bakal dilalui, baik alam persekolahan, alam universiti, alam pekerjaan, perkahwinan mahupun alam kematian. Namun,kita tidak pasti sama ada kita bakal melalui kesemua fasa kehidupan tersebut. Perkara yang kita pasti ialah kematian pasti akan menjenguk setiap daripada kita tid...ak kira fasa mana sedang kita jalani. 
  
Taubat (yang benar) menghimpun empat perkara : 
(1) istighfar dengan lisan, 
(2) meninggalkan perbuatan maksiat,
(3) bertekad dalam hati untuk tidak kembali berbuat dosa dan 
(4) meninggalkan teman-teman yang jahat.
(Muhammad bin Ka'ab) 

Diantara tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah adalah banyak berdzikir (mengingat dan menyebut) nama-Nya, karena tidaklah Anda mencintai sesuatu melainkan Anda akan banyak mengingat dan menyebut-nyebut namanya.
(Ar Rabi' bin Anas)  

Janganlah Anda tertipu dengan banyaknya amal ibadah yang telah Anda lakukan, karena sesungguhnya Anda tidak mengetahui apakah Allah menerima amalan Anda atau tidak (Hasan Al Bashri)  

p/s: Mutiara bermakna tersebut ana himpunkan di sini agar ianya dapat di jadikan renungan bersama, santapan rohani yg bermakna buat kita semua, insya'Allah.. 

ALLAHU Taala A'lam..



Monday, February 7, 2011

Nilai Ibadah Yang Shahih

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, diizinkan juga oleh-NYA untuk saya menggerakkan pena setelah agak lama terdiam tanpa rasa. Rasa yang hilang dek pergolakan yang berlaku dan berlalu. Namun, masih diberi peluang oleh ALLAH untuk memperbaiki diri. Syukur…
Pertama sekali, izinkan saya yang cukup kerdil ini untuk memohon kemaafan dari anda semua, pengunjung mindasunnah yang dikasihi, atas kekurangan saya dalam bermuamalat dengan anda semua melalui penulisan-penulisan di blog ini. Doakan saya agar terus istiqomah dan lurus di atas jalan yang lurus ini.
Buat anda semua, saya kongsikan sedikit ilmu dari Murabbi saya, yang barangkali biasa pada pendengaran tetapi kurang dalam penghayatan. Mungkin juga terlalu kecil untuk dibanggakan di kalangan sarjana namun, cukup besar untuk hati kembali pada Rabbnya. Terimalah; Nilai Ibadah Yang Shahih…
Santapan hati hanya sempurna dengan adanya hubungan yang terus menerus dengan ALLAH swt, ingat dan bersyukur kepadaNya serta melaksanakan ibadah dengan sebaik-baiknya.
Di antara nilai-nilai asas yang dilaksanakan oleh Tarbiyah Ketuhanan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ibadah kepada Allah swt.
Itulah tujuan pertama dari penciptaan manusia.
 ALLAH swt berfirman :
 "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku." (QS Az-Zariyaat : 56)
Ibadah dengan pengertian yang umum ialah suatu nama yang mencakupi segala apa yang disukai dan diredhai oleh Allah berupa perkataan dan perbuatan.
Namun, maksud yang ingin diceritakan di sini ialah ibadah dalam pengertian khusus, iaitu beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah swt dengan melaksanakan syiar-syiarNya, berzikir dan bersyukur kepadaNya.
Di antara unsur-unsur asas yang ditekankan oleh Jamaah Ikhwanul Muslimin dalam ibadah adalah :
PERTAMA : Tetap Mengikuti Sunnah Dan Menjauhi Bid'ah.
Setiap bid'ah adalah sesat. Dalam hal ini, Syaikh Sayyid Sabiq telah menyusun kitabnya yang diberi nama “Fiqhus Sunnah” di mana Imam Hasan Al-Banna telah memberikan pengantarnya.
Kitab itu bertumpu pada dalil-dalil syari'at dan merupakan fiqh Ikhwanul Muslimin.
KEDUA : Mengutamakan Ibadah-Ibadah Fardhu.
ALLAH swt tidak menerima ibadah sunat sebelum ditunaikan yang fardu.
Dalam sebuah Hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari tersebut :
"Tidak ada satu pun taqarrub hambaKu kepadaKu yang lebih Kusukai daripada menunaikan apa yang Aku fardukan kepadanya."
Oleh kerana itu, dalam keadaan bagaimana sekalipun, meninggalkan yang fardu tidak boleh dibenarkan.
KETIGA : Menggemarkan Solat Jamaah.
Meskipun mazhab-mazhab berbeza pendapat mengenai hukumnya, ada yang mengatakan :
    1. Fardu 'ain.
    2. Fardu kifayah.
    3. Sunat muakkad.
Ketika Ikhwanul Muslimin berangkat ke Kem Tursina, mereka segera membangun sebuah masjid di setiap bahagiannya. Mereka berkumpul padanya mengerjakan setiap solat seperti mengerjakan solat Jumaat.
Dalam hal ini, Syaikh Muhammad Al-Ghazali pernah mengatakan bahawa Imam Hasan Al-Banna telah mengimami kami pada setiap solat dan membaca qunut pada rakaat akhir dengan berdoa :
"Ya Tuhan Kami, dengan kekuatan-Mu bebaskanlah kami dari keadaan tertawan ini, dengan rahmat-Mu tutuplah kekurangan kami, dengan pengawasan-Mu kendalikanlah urusan kami. Ya Tuhan kami, tutupilah kekurangan kami dan tenteramkanlah hati kami..."
KEEMPAT : Menggemarkan Amalan Sunat.
Di antara isi kandungan dalam Hadith Qudsi di atas tersebut :
"Sentiasa hambaKu bertaqarrub kepadaKu dengan amal-amal sunat sehingga Aku mencintainya. "
Berapa ramai yang lahir dari pangkuan dakwah ini, orang-orang yang banyak berpuasa dan beribadah malam hari (qiyamullail) sepertimana yang tersebut dalam firman Allah :
"Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap." (QS As-Sajdah : 16)
Orang-orang menyifatkan mereka seperti menyifatkan para sahabat dan tabi'in, bahawa mereka adalah :
 "Ahli ibadah ketika malam tiba dan penunggang kuda di waktu siang."
Penyair-penyair Ikhwanul Muslimin sentiasa mengungkapkan dalam syair-syair mereka yang berjudul "Huwa al-Haq" atau yang berjudul "Al-Kataa’ib" yang dihafal oleh seluruh anggota mereka sebagai berikut :
"Kami adalah lemah lembut bila malam tiba, Kami kerumuni mihrab kami dengan rasa sedih, Kami adalah perajurit-perajurit perkasa di medan laga, Musuh memandang kami tidak terkalahkan bagaikan singa. "
Dalam hal ini juga Imam Hasan Al-Banna menyusun sebuah risalah yang bertajuk "Al-
Munajat."
Di dalamnya diterangkan keutamaan solat tahajjud dan solat di waktu sahur, kedudukan doa dan istighfar dengan mengemukakan ayat-ayat dan hadith-hadith serta amalan para sahabat.
Beliau sentiasa mengungkapkan kenikmatan :
    1. Beribadah di tengah malam dan berdiri menghadap Allah ketika manusia lelap dalam tidurnya.
    2. Berjaga untuk perbuatan taat ketika manusia tenggelam dalam hiburan.
    3. Menangis takut kepada Allah yang menjadi tertawaan mereka yang melampaui batas.
Perkara ini diungkapkan sesuai dengan kata-kata penyair dalam munajat kepada Tuhannya :
"Berjaga malam bukan untuk mengingat Tuhan adalah batal. Menangis bukan kerana kehilangan keridhaanMu adalah sia-sia."
Seorang penyair lain pula berkata :
"Hati yang selalu mengingatiMu, tidak memerlukan obor dan lampu, wajahMu yang sentiasa menjadi idaman itulah alasan kami, pada hari ketika manusia mengemukakan alasan (pada hari kiamat)"
Makna-makna ini mempunyai pengaruh yang kuat dan mendalam dalam jiwa dan hati anggota Ikhwanul Muslimin.
Maka lahirlah generasi Ketuhanan yang berjaga malam untuk beribadah kepada ALLAH dan menahan haus dengan berpuasa di waktu siang kerana ALLAH.
Dinginnya musim sejuk tidak menghalangi mereka untuk beribadah di malam hari dan teriknya musim panas tidak menghalangi mereka untuk berpuasa kerana :
  1. Dalam beribadah kepada Tuhan, mereka menemui kesenangan.
  2. Dalam taat kepadaNya, mereka merasakan kelazatan.
  3. Dalam berdiri di hadapanNya, mereka memperolehi kebahagiaan.
Begitulah perumpamaan yang pernah diungkapkan oleh seorang soleh masa silam dengan kata-katanya :
"Sekiranya raja-raja mengetahui semua ini tentulah mereka memerangi kami dengan pedang untuk memperolehi kebahagiaan itu.”
Semasa Ikhwanul Muslimin berada di Kem Tursina, mereka sentiasa berada dalam saf-saf untuk solat tahajud dan apabila mereka telah melewati akhir malam, sebahagian anggota Ikhwanul Muslimin berseru dengan suara yang cukup menggugah :
"Wahai anda yang lelap tenggelam di peraduannya, Bangunlah, ingatlah Yang Hidup, Yang Tidak Pernah Tidur, Tuhanmu memanggilmu untuk ingat kepadanya. Sedang anda terlena oleh kenyenyakan tidur. "
Maka bangunlah semua orang yang tidur, yang merasa berat menjadi ringan dan yang merasa malas menjadi rajin dan cekal untuk mengharapkan kurnia Allah swt pada bahagian malam yang berkat itu.
Tarbiyah di waktu malam dengan adanya solat, doa dan membaca Al Qur’an disertai keteguhan jiwa dan kekuatan hati, itulah yang menghasilkan seorang muslim yang mampu memikul bebanan risalah yang menyambut warisan kenabian dengan kekuatan dan amanah sepertimana yang telah dipikul oleh Nabi saw yang semenjak di Makkah lagi.
Allah swt telah memerintahkannya dengan apa yang tersebut dalam firmanNya :
"Wahai orang yang berselimut: Bangunlah (untuk solat di malam hari, kecuali sedikit (dari padanya). (Iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua  itu sedikit. Atau lebihi dari seperdua itu; dan bacalah AI Qur’an dengan bacaan yang perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (AlQur’an)." (QS Al-Muzzammil : 1-5)
Tarbiyah waktu malam dan Tarbiyah Al Qur’an mampu mencipta pemuda-pemuda pencinta Tuhan, yang menghidupkan kembali perjalanan hidup para Salaf.
Di antara mereka ada orang-orang yang istiqamah melakukan puasa Isnin dan Khamis sepanjang hidupnya dan mereka tetap berada di atas Sunnah ini di waktu mereka berada di medan jihad.
Nabi saw bersabda :
"Barangsiapa berpuasa satu hari fi sabilillah, maka Allah akan menjauhkan wajahya dari api neraka pada hari itu sejauh tujuh puluh kharif (jarak antara musim sejuk dan musim panas)." (HR Bukhari)
Seorang anggota Ikhwanul Muslimin yang ikut berperang di Palestin terkena tembakan pada hari ia sedang berpuasa. Pada saat ia sedang sakarat, dibawakan kepadanya segelas air, lalu ia berkata:
"Biarkanlah saya, saya ingin menemui Tuhan dalam keadaan berpuasa."
KELIMA : Menggemarkan Berzikir Kepada Allah.
"Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang. " (QS Al-Ahzab : 41-42)
Sebaik-baik zikir adalah membaca Al Qur’an, Kalam Ilahi untuk setiap huruf, pembacanya akan memperolehi sepuluh kebaikan.
Di antara pesanan-pesanan Imam Hasan Al-Banna kepada anggota Ikhwanul Muslimin ialah setiap anggota mesti melakukan wirid harian iaitu membaca ayat-ayat dari Al Qur’an, membacanya dengan baik berdasarkan hukum tajwid dan dengan memahami maknanya.
Terdapat bermacam-macam zikir dan bacaannya adalah banyak di antaranya :
  1. Tasbih.
  2. Tahmid.
  3. Takbir.
  4. Doa.
  5. Istighfar.
  6. Solawat kepada Nabi saw.
Tarbiyah Ikhwanul Muslimin sangat menekankan supaya membaca zikir-zikir yang diterima dari Nabi saw (yang ma'tsur) kerana beberapa sebab :
  1. Lafaz-lafaz yang ma'tsur tidak dapat ditandingi oleh lafaz-lafaz lain dari segi kandungan isinya dan uslubnya (susunan kata-katanya) . la merupakan ayat daripada ayat-ayat Allah; disebabkan lengkapnya, fasihnya, jelasnya, kuat pengaruhnya dan ini merupakan berkat kenabian.
  2. Ucapan sesorang yang tidak ma'tsur, kadang-kadang mengandungi unsur berlebih-lebihan atau kekurangan. Maka dengan itu ianya tidak terlepas dari komentar manusia. Padahal Nabi saw memperingatkan :
"Tinggalkanlah apa yang meragukan dan ambillah apa yang tidak meragukan kamu."
  1. Dalam membaca zikir yang ma'tsur, ada dua pahala iaitu pahala zikir dan pahala mengikuti Nabi. Tidaklah patut kita menyia-yiakan pahala mengikuti Nabi ini tanpa alasan.
Oleh kerana itu, Imam Hasan Al-Banna menyusun satu risalah dari kumpulan zikir dan doa yang berasal dari Sunnah Nabi. Risalah itu dinamakannya “Al-Ma'tsuraat” mengikut bentuk seperti kitab “Al-Adzkar” susunan Imam An-Nawawi dan “Al Kalimut Thayyibah” susunan Imam Ibnu Taimiyah.
Hampir tidak ada anggota Ikhwanul Muslimin yang tidak memiliki risalah ini dan sedikit sekali di antara mereka yang tidak menghafalnya dan mengulang-ulangkan zikirnya pagi dan petang.
Di antara anggota Ikhwanul Muslimin, ada yang membuat cara tersendiri untuk mengingati akan doa itu dalam setiap kesempatan. Di bilik tidur digantungkan papan tulis yang berisi doa waktu tidur dan waktu bangun. Di bilik makan digantungkan doa makan dan minum, dekat pintu ditampal doa masuk dan keluar rumah dalam kenderaan ditampalkan doa perjalanan dan demikianlah seterusnya.
Di antara metod yang diciptakan oleh Ikhwanul Muslimin untuk membangkitkan perasaan keagamaan, menumbuhkan sikap menjaga diri dan mengalahkan nafsu lawwamah ke atas nafsu ammarah adalah apa yang dinamakan “Jadual al Muhasabah” iaitu suatu jadual yang dicetak, berisi pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan oleh seseorang kepada dirinya dan ia mesti menjawabnya dengan ‘ya’ atau ‘tidak’ supaya mengetahui sejauh mana ia melaksanakan atau mengabaikan kewajibannya pada ketika ia hendak tidur, supaya diketahuinya hasil pekerjaannya hari itu.
Introspeksi ini hanya dilakukan sendiri dan tidak memerlukan pengawas selain ALLAH swt.
Di antara pertanyaan-pertanyaan itu adalah :
  1. Apakah engkau telah menunaikan solat pada waktunya?
  2. Apakah engkau telah menunaikannya secara berjamaah?
  3. Apakah engakau telah membaca wirid-wirid harianmu dari Al Qur’an?
  4. Apakah engkau telah membaca doa-doa yang ma’tsur?
  5. Apakah engkau telah menjenguk saudaramu kerana Allah?
Di antara hasil Tarbiyah Ketuhanan ini, Ikhwanul Muslimin telah memberi sumbangan bagi tanah airnya dan usaha dakwahnya tanpa menyebut-nyebut jasanya, bahkan Allah memberi kepada mereka kenikmatan iman, sehingga meskipun mereka mendapat siksaan dan ujian yang terus menerus pada masa kekuasaan Faruq dan pada masa pemerintahan Jamal Abdul Nasser (1948, 1954, 1965) namun tidaklah mereka menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh.
Di antara mereka ada yang :
  1. Dijadikan sasaran gigitan anjing.
  2. Diseterika punggungnya dengan besi panas.
  3. Robek-robek badannya kerana dirotan.
  4. Menjalani hukuman penjara dua puluh tahun pada masa revolusi.
  5. Ditembak mati secara terang-terangan seperti yang berlaku pada penyembelihan di penjara Liman Thurah.
  6. Dibunuh secara sembunyi dengan pukulan dan siksaan.
Semua ini mesti disingkapkan tabirnya agar mereka dikenali dalam sejarah.
Di antara mereka ada yang dihukum gantung sampai mati tanpa hak :
  1. Bukan kerana ia kafir sesudah Islam.
  2. Bukan kerana ia berzina sesudah berkahwin secara sah.
  3. Bukan pula kerana ia membunuh orang.
Dosanya hanya kerana ia mengatakan :
"Tuhanku adalah Allah dan pedomanku adalah Al Qur’an."
Tidaklah aneh kalau suatu waktu manusia berbuat dosa tetapi yang aneh kalau ia terus menerus berbuat dosa dan tidak bertaubat.
Nabi Adam telah berbuat dosa lalu Allah menerima taubatnya dan mengampuninya.
ALLAH swt berfirman :
"Adam durhaka kepada Tuhannya, maka sesatlah ia. Kemudian Tuhannya memilihnya maka Dia menerima taubatnya dan mengampuninya. "(QS Thaha : 121 - 122)
Namun iblis sangat besar dosanya, maka ALLAH tidak mengampuninya kerana ia tidak bertaubat dari dosanya dan tidak merendahkan diri kepada Tuhannya, bahkan enggan dan angkuh untuk tunduk kepada perintahNya (supaya sujud kepada Adam), dengan mengatakan :
"Saya lebih baik daripadanya (Adam), Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah." (QS Al-A 'raf : 12)
Padahal Nabi Adam dan isterinya berkata :
"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, tentulah kami termasuk orang-orang yang merugi." (QS Al-A 'raf : 23)
Dosa Nabi Adam dan isterinya adalah akibat kealpaan yang tidak disengajakan dan nafsu yang menggoda tetapi diiringi dengan taubat yang sebenar-benarnya, lalu ALLAH menerima taubatnya sedangkan dosa iblis adalah akibat dari sikap membangkang terhadap ALLAH, menolak perintah-perintahNya dan merasa angkuh untuk taat kepada-Nya, lalu ALLAH menjadikannya sebagai makhluk yang terhina dan terusir dan kena laknat sampai hari kiamat.
Anggota-anggota Ikhwanul Muslimin adalah manusia keturunan Adam juga. Oleh sebab itu tidak aneh kalau ada di antara mereka yang melakukan kesalahan, yang menyalahi apa yang diperintahkan kepada mereka atau mengerjakan apa yang dilarang oleh ALLAH swt.
Namun, sebaik-baik orang yang bersalah adalah yang bertaubat lagi beristighfar. Inilah ubat yang diperlukankan oleh hati supaya ia kembali sihat.
Tidak ada jalan kepada taubat dan istighfar yang benar kecuali dengan :
  1. Merasa diri berdosa.
  2. Takut kepada siksaan Tuhan.
  3. Tunduk kepadaNya dengan ketundukan yang benar dan pengakuan yang tulus.
Dengan kefahaman yang benar itulah, anggota Ikhwanul Muslimin memasrahkan semua bencana yang menimpa mereka dan segala pengorbanan yang diberikan oleh mereka kepada ALLAH swt.
Mereka telah menjual diri dan harta mereka kepada ALLAH dan ALLAH telah membeli yang demikian itu dari mereka dengan syurga. Mereka, insyaAllah, tidak akan menolak jual beli ini dan tidak akan menerima selain syurga sebagai balasannya.
Oleh kerana itulah, anggota Ikhwanul Muslimin tidak memikirkan untuk balas dendam terhadap:
  1. Orang yang memenjarakannya.
  2. Orang yang menyiksanya.
  3. Orang yang menyita hartanya.
  4. Orang yang melaparkan keluarganya.
  5. Orang yang membunuh mereka secara diam-diam atau terang-terangan.
Tidak pernah ada seorang dari mereka yang terdengar menculik orang yang menganiaya mereka dan menembak matanya yang kiri atau yang kanan.
Padahal jika mereka mahu, mereka sanggup berbuat demikian, kerana di kalangan mereka ada perajurit-perajurit berpengalaman yang menggentarkan pasukan Yahudi dan menjadikan pasukan Inggeris tidak enak tidur kerana Tarbiyah mereka tidak membenarkan mereka berbuat demikian, bahkan musuh-musuh  mereka diserahkan kepada ALLAH dan Dialah yang akan menghukum mereka seorang demi seorang di dunia ini sebelum di akhirat.
Hukuman yang ada di sisi ALLAH lebih berat dan lebih menghinakan, sedang tujuan mereka adalah lebih agung dan lebih mendalam daripada pembalasan dendam terhadap peribadi-peribadi samada kecil atau besar.
Ikhwanul Muslimin sudah ditakdirkan dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri nasib kebanyakan musuh mereka yang begitu kejam terhadap mereka. Di antaranya ada yang menjadi hina dan tersia-sia, menjadi gila, mendapat penyakit ganjil dan terbunuh sehingga Ustaz Hasan Al-Hudhaibi yang sudah tua itu sempat melihat mereka yang pernah memenjarakannya masuk penjara bersamanya dan kawan-kawannya. Bezanya mereka masuk penjara dengan menangis seperti anak-anak, sementara anggota Ikhwanul Muslimin menerima kenyataan itu dengan senyuman kepahlawanan.
Ini tidaklah bererti semua anggota Ikhwanul Muslimin berada pada tingkat keimanan yang murni seperti ini. Tetapi boleh dikatakan dengan benar bahawa Tarbiyah Ketuhanan yang bersinar itulah yang menonjol pada mereka dan menguasai mereka. Ketaatan adalah kaedah mereka sedangkan maksiat hampir tidak berlaku.
Mereka disibukkan oleh :
  1. Cita-cita besar berbanding keinginan-keinginan kecil.
  2. Harapan untuk hari akhirat berbanding keinginan-keinginan duniawi.
  3. Kepentingan umum berbanding keuntungan peribadi.
Barangsiapa di antara mereka pada suatu saat tergoda oleh syaitan, maka ia segera insaf dan sedar lalu kembali ke jalan Tuhannya dengan penuh sesal lalu bertaubat.
Ada sebuah kisah di mana seorang pemuda yang masih remaja dikuasai oleh keinginannya pada saat ia lemah dan hatinya lengah, lalu terjerumuslah ke dalam perbuatan maksiat.
Kemudian ia sedar bahawa dirinya :
  1. Telah menjadi kotor setelah sebelumnya suci.
  2. Menyeleweng setelah sebelumnya menempuh jalan yang lurus.
  3. Sesat setelah sebelumnya benar.
  4. Merasakan betapa pahitnya maksiat setelah ia merasa manisnya taat.
Maka ia pun mengurung dirinya sehari suntuk di rumahnya menangisi nasibnya dan berbalik ke kiri dan ke kanan di atas katilnya yang dirasakannya sebagai bara yang menyala.
Dia merasa sedih sekali sehingga bumi yang luas dirasanya sempit. Oleh kerana itu, ia tidak berani menatap wajah orang lain dan tidak keluar dari biliknya, kerana malu kepada Tuhan dan kepada dirinya sendiri, menjauhkan diri dari kawan-kawannya, padahal tidak ada seorang pun selain kawan rapatnya yang mengetahui apa yang berlaku  ke atas dirinya.
Hal itu tentunya akan berlangsung lama, sekiranya kawan rapatnya tidak mengutus surat kepadanya memberikan kepadanya harapan dengan bertaubat dan memohon ampunan Allah swt.
Kawan rapatnya menyebutkan kepadanya Hadith Rasulullah saw :
"Barangsiapa yang gembira kerana kebaikan dan sedih kerana kejahatan yang diperbuatnya, maka ia adalah seorang mukmin."
Saiyyidina Ali bin Abu Talib berkata :
“Kejahatan yang membuat engkau sedih lebih baik dari kebaikan yang membuat engkau takabur.”
Akhir sekali mari kita teliti ucapan Ibnu Atha’illah As Sakandari :
"Kadang-kadang dibuka bagimu pintu taat dan tidak dibuka bagimu pintu penerimaan. Kadang-kadang ditakdirkan bagi engkau perbuatan maksiat, tetapi hal itu merupakan jalan bagimu untuk sampai (kepada kebaikan). Perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah dan menyesal lebih baik daripada perbuatan taat yang menimbulkan perasaan takabur dan angkuh."
Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sentiasa melaksanakan ibadah kepadaMu dalam rangka mentaati dan menyerah diri sepenuhnya kepada ketentuanMu. Jadikanlah ibadah-ibadah tersebut sebagai penguat keimanan dan kedekatan diri kami kepadaMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Semoga ALLAH merahmati kamu semua, sahabat-sahabat syurgaku. Wasaalam 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...