Showing posts with label Universiti Alam. Show all posts
Showing posts with label Universiti Alam. Show all posts

Thursday, June 9, 2011

AIR



Salam ‘Alaikum. Maaf kerna sekian lama tidak mencoret buat sahabat-sahabat, pengunjung mindah sunnah sekaliannya. Doakan saya moga kesibukan yang menutup ruang untuk mencoret itu adalah kesibukan atas iman dan taqwa semata. Coretan yang ingin dikongsikan hari ini telah saya kongsikan sebelum ini bersama dua orang sahabat yang saya kasihi di mana saya cuba untuk memberi kaitan makna  antara fitrah air dalam kehidupan manusia. 

Saya sendiri tidak pasti bagaimana ilham ini mampu saya hadirkan dalam fikiran. Ia hadir saat saya mengelamun panjang memerhatikan gelagat aliran sungai sambil menunggu peserta xplorace bertandang ke checkpoint kami. Cukup panjang lamunan itu untuk saya leka tentang selainnya. Namun yang pasti ALLAH lah pengatur segalanya. Jadi, izinkan saya kongsikan ilham hasil ibrah ‘alam ini yang saya beri tajuk: Air.

Abdullah: Cuba ukhti beritahu ana, kenapa air sungai  dan laut yang bersambung denganya lebih cantik, lebih indah gitu?

Sapa saya memecah sepi kami menunggu peserta xplorace datang ke checkpoint kami…

Hanum: Barangkali kerna sungai tu jernih, sekitarnya pun nyaman gitu…

Abdullah: Itu hanya faktor luaran ukhti, cuba beri dalamannya…

Hanum: Maksud akhi?

Abdullah: Maksud ana, cuba beri asbab yang hadir dari sifat air itu sendiri…

Najihah: Sejuk mungkin…

Abdullah: Hermm, barangkali jawaban ukhti boleh di selitkan untuk sesi ibrah yang lain, tapi buat masa ni ana harapkan yang lain dulu.

Hanum: Kering idealah akhi…

Abdullah: Cuaca hujan, bagaimana boleh kering tu ukhti?

Najihah: Itu faktor luaran akhi, hehe…

Hanum: Setuju!!!

Abdullah: Sebab, air sungai dan laut mengalir, sebab tu lah mereka ni cantik…

Najihah: ooooo…!!

Hanum: cuba akhi perjelaskan asbabnya tu, ana kurang faham kenapa asbab tu yang akhi pilih…

Abdullah: Begini ukhti, ukhti pernah letak berus gigi dalam bekas macam cawan atau mangkuk gitu?

Hanum: pernah..

Abdullah: Jihah pernah?

Najihah: Herrmmm….!!!

Abdullah: Makin lama kita simpan berus gigi dalam bekas tu, maka bertambah air di dalamnya kan?

Hanum: Ya2, teruskan akhi…

Abdullah: Jadi, selepas seminggu mungkin, apa bau yang boleh kita hidu dari air dalam bekas tu?

Hanum: Superb..!!!

Najihah: Akhi macam dah biasa je…

Abdullah: Haha, dululah, tapi sekarang dah tak simpan dalam bekas dah, gantung je, tapi yang pasti busukkan.

Abdullah: Air tu jadi busuk disebabkan ia tidak mengalir, kekal terperap dan terperangkap sehingga datanglah bacteria-bakteria seperti e.coli dan yang seangkatan dengannya berkampung dan akhirnya membina metropolitan di situ.

Najihah: Hissh, ke situ pula akhi ni…

Abdullah: Begitu juga dengan paya dan lubuk yang bertakung airnya tak ke mana, airnya akan berbau hanyir dan orang takkan datang ke situ melainkan untuk pancing ikan keli yang sememangnya hanyir.

Hanum: Ikan keli sedap tapi ibrah untuk soalan akhi ni pasti lebih sedap?

Abdullah: Begini, cuba kita kaitkan fitrah air tadi dengan kehidupan manusia.. Air yang mengalir adalah air yang sentiasa berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Disebabkan setiap tempat aliran itu mempunyai komposisi mineral dan suhu yang berlainan. Maka air itu bukan sahaja hijrah  dari segi warnanya kerna mengalir di atas pasir dan dasar yang berlainan warna tetapi ia juga hijrah dari segi rasa dan suhunya. Air itu akan terus jadi air yang sihat dan berkualiti.



Abdullah: Tapi saat air itu bercampur dengan sesuatu yang menyekat alirannya atau ia tersekat akibat keadaan sekitarnya sendiri, air itu akan bertukar busuk dan kotor.

Najihah: Apa kaitan maknanya dengan kehidupan kita akhi?

Hanum: Ana masih kurang jelas akhi…

Abdullah: Air itu merupakan elemen yang sangat penting bagi setiap hidupan yang ALLAH cipta dan tanpa air pasti buruk akibatnya. Tapi ada yang lebih penting dari itu…

Hanum: Iman…!!!

Abdullah: Na’am ya ukhti…Memandangkan iman itu lebih kurang sama status kepentingannya dengan air, maka boleh kita katakana iman itu ibarat air.

Najihah: Dah Nampak dah ni…

Abdullah: Jika kita ibaratkan iman itu seperti air, perlukah iman itu kepada hijrah?

Hanum: Pasti akhi, jika tidak ia juga akan membusuk sepertimana air yang tersekat tidak mengalir…

Abdullah: Bagus ukhti, namun bila bercakap tentang hijrah iman bukan bermaksud kita perlu hijrah apa yang kita imani, ALLAH kekal sebagai satu-satunya tuhan yang wajib kita imani selamanya. Tapi, yang perlu kita hijrahkan ialah cara kita beriman dan bagaimana kita sampaikan pembuktian iman kita.

Najihah: Maksudnya akhi?

Abdullah: Maksudnya, jika kita mengaku beriman, turutkah kita sepenuhnya pada syari’at ALLAH dan sunnah Rasulullah. Jika alasannya manusia itu lemah dan tidak mampu untuk menuruti sepenuhnya, maka soalan akan jadi: bersungguhkah kita untuk menuruti sepenuhnya walaupun yang dilakukan hanya sebahagian yang termampu.

Hanum: Ana sangat kurang pada tu akhi…

Abdullah: “Kita” kurang ukhti…selama ini kita lebih yakin pada duit atau ALLAH dalam menjamin kehidupan kita?

Hanum: Duit…

Najihah: Hermmm….setuju…

Abdullah: Jadi ukhti, Itulah yang patut kita hijrahkan pada iman kita. Jika kita berkehendak untuk terus di tampuk iman yang lama, iman yang lemah, iman yang kotor dan tersekat aliran nurnya dek maksiat yang mengisi ruang dan kehendak hati, maka ia akan membusuk sepertimana yang air yang tersekat membusuk.

Najihah: Akibatnya akhi?

Abdullah: sepertimana aliran sungai yang membusuk akan merusakkan tumbuhan yang tumbuh berhampirannya, mencemar udara sekitarnya. Iman yang sakit akan meranapkan jasad dan jasmani luarannya.

Hanum: Lagipun,air itu fitrahnya memang mengalirkan…

Abdullah: Ya ukhti. Jadi apa akan berlaku jika fitrah di sanggah…

Najihah: Langit teguh pun akan musnah kerna planet beredar tidak tentu arah…

Abdullah: Jadi,selagi ana nak tanya, kenapa air sungai dan laut itu cantik lebih dari yang lain?

Najihah: Kerna ia mengalir..

Hanum: soalan akhi salah tu dan tiada jawapan bagi soalan yang salah…

Abdullah: Yang betul?

Hanum: Kenapa yang berhijrah itu cantik?

Abdullah: Kenapa pula begitu ukhti?

Hanum: Kerna konteknya lebih besar kali ni, bukan hanya melibatkan air sahaja malah iman…

Najihah: Jadi jawapannya apa ukhti?

Hanum: Dan InsyaALLAH, soalan yang betul tidak memerlukan jawapan bukan…FIKIR – FIKIRKAN…

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang kekal.” (Surat At Taubah: 20-22).





Tuesday, November 30, 2010

"Cicak pun boleh jadi guru?"

Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil dan lain-lain yang mempunyai kepak. Kalau difikirkan secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding dan di syiling itu mampu ‘memburu’ mangsanya yang boleh terbang. Tentulah begitu sukar bukan? Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap yang juga mampu terbang  bagi memburu mangsanya? Barulah adil.
Tapi ALLAH SWT Maha Mengetahui, sungguhpun cicak tidak dikurniakan sayap tetapi ALLAH kurniakannya lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapat rezkinya. Seolah-olah cicak tidak ‘mengeluh’ kerana tidak bersayap, sebaliknya menggunakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezki. Secara mudah, bolehlah dikatakan cicak tidak fokus pada kekurangannya, sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Hasilnya, cicak tetap dijamin rezekinya.
Anda juga perlu belajar daripada kegigihan cicak ini. Sebagai manusia, kita juga ada kelebihan, dan kita juga ada kekurangan. Untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan kita. Mungkin kita pelajar miskin, tapi itu bukan penghalang untuk berjaya. Tumpukan pada kerajinan kita. Mungkin fizikal kita agak lemah, tetapi pertajamkanlah fikiran kita. Mungkin kita anak yatim, tetapi kita masih boleh membina hubungan yang baik dengan ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan teman-teman kita. Tegasnya, jangan jadikan kekurangan sebagai satu alasan… tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!    
Jadi bila anda melihat cicak, jangan pandang begitu sahaja. Jangan hanya melayan imiginasi minta diberi sepasang kaki dan tangan seperti cicak… sedarlah kita lebih mulia daripada cicak. Sebaliknya pandang kelebihan yang ada pada kita manusia. Pandanglah kekuatan kita sebagai seorang individu yang punya pelbagai keistimewaan. ALLAH Maha Kaya, pasti ada kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita. Ingatlah ungkapan yang berbunyi:
“Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.” 
Wallahu Ta'ala 'Alam

Sunday, October 24, 2010

"Antara RON 97 & Dakwah"

Apabila suatu kenderaan di reka, antara aspek penting yang akan di ambil perhatian oleh jurutera adalah sumber tenaga untuk menggerakkan kenderaan berkenaan. Sememangnya kenderaan bermotor dan bahan api tak dapat dipisahkan. Ada kenderaan bermotor menggunakan petrol, ada yang guna benzene, ada yang guna kerosene, ada juga yang guna NGV. Kenderaan hybrid terbaru menggunakan hydrogen sebagai bahan api. Bahkan sekarang telah ada usaha-usaha untuk mencipta kenderaan menggunakan tenaga solar.

Bagi kereta biasa di Malaysia, bahan api yang popular adalah petrol tanpa plumbum RON 97. Walau apa pun bahan api yang digunakan, yang penting, ia diperlukan untuk menghidupkan enjin seterusnya menggerakkan kereta.

Jom kita ambil sedikit ibrah daripada kisah kereta Perodua MyVi dan minyak petrol tanpa plumbum RON 97.

Untuk menghasilkan pembakaran dan menggerakkan piston dalam enjin, petrol perlu masuk ke dalam enjin terlebih dulu. Bekalan petrol yang mencukupi untuk enjin sangat penting. Maka, untuk setiap perjalanan, tangki petrol perlu sentiasa diisi.

Dalam sebuah perjalanan, kereta MyVi akan bergerak selagi mana petrol cukup. Sekiranya petrol kering dan tidak diisi, enjin kereta MyVi tak dapat meneruskan kerja lantas membantutkan perjalanan. Jika pedal minyak ditekan walaupun petrol telah kering, enjin akan terus mati. Setelah enjin mati, ia tak dapat dihidupkan terus setelah mengisi petrol ke dalam tangki. Ia tidak semudah memulas punat kunci. Sedikit isipadu petrol perlu di masukkan ke dalam enjin. Kerja ini agak susah dan leceh untuk dilakukan.

Sebab itu lah, isipadu minyak perlu sentiasa berkadar langsung dengan sejauh mana kilometer perjalanan. Lebih jauh dan laju kereta MyVi memecut, lebih banyak petrol yang diperlukan. Bekalan perlu sentiasa cukup. Andai bekalan petrol hampir kering, kereta MyVi perlu singgah di mana-mana stesen minyak untuk mengisi tangki. Bekalan yang  baru akan menampung perjalanan seterusnya.
Semasa mengisi tangki di stesen minyak, pemilihan jenis bahan api mesti tepat. Jika enjin petrol diisi dengan diesel, rosak lah kereta. Perjalanan terus terhenti. Kena singgah bengkel untuk dibaiki. Kereta MyVi tersadai 2-3 hari. Rugi masa, rugi tenaga, rugi duit dek kesilapan memilih bahan api.

Apakah ibrah di sebalik cerita di atas? Apa relevannya dengan kita sebagai da’ie? Jika kita pehatikan,kehidupan kita di dunia ini merupakan satu perjalanan. Dan jalan dakwah yang kita pilih ini juga satu perjalanan yang mana kita tahu bahawa perjalanan ini bukan satu perjalanan yang mudah.

Dakwah ini perjalanan yang sangat jauh dan panjang. Bekalan yang mencukupi atau lebih sangat diperlukan untuk meneruskan jalan ini. Seorang akh atau ukht akan pendek nafasnya atas jalan ini andai bekalannya tidak mencukupi. Demikian kaitannya dengan petrol RON 97. Tarbiyyah umpama petrol dalam perjalanan dakwah. Usrah, halaqah, daurah, jaulah etc. adalah stesen-stesen minyaknya. Tugas-tugas dakwah tidak dapat diteruskan andai bekalan tarbawi tidak mencukupi. Bagaimana mungkin seorang akh mampu bergerak sedang jiwanya kosong. Atas dasar apakah yang mampu menggerakkannya di atas jalan dakwah yang panjang dan berliku ini?

Andai seorang dae’i itu terus memaksa dirinya atau dipaksa untuk menjalankan tugas-tugas dakwah sedang bekalannya tidak cukup, mungkin berlaku seperti enjin kereta MyVi yang kehabisan petrol. Ia akan terhenti. Untuk menggerakkannya kembali, usaha yang lebih sukar dan leceh diperlukan, sama macam mengisi petrol ke dalam enjin yang letaknya jauh di dalam bonet.

Begitu juga halnya jika seorang akh mendapatkan bekalan tarbawi yang tidak tepat. Instead of petrol iman, diesel jahiliyyah yang diisi ke dalam tangki enjin hatinya. Jika ini berlaku, rosaklah hati si akh tersebut dan memaksa proses pembaikan yang mungkin memakan masa yang lama. Banyak juga tenaga, masa dan wang yang perlu dilebur. Nauzubillaah.

Begitulah halnya jalan ini. Bekalan iman yang mendalam dan berterusan adalah pembakar enjin dakwah ini. Hanya tarbiyyah yang berterusan mampu membekalkannya.
Bagaimana tarbiyyah kita? Cukupkah untuk perjalanan yang panjang, jauh dan payah ini?

"Semua insan bisa berdakwah, namun tidak semua bisa mencintai dakwah."- Kiai Rahmat Abdullah rahimahullah

Saturday, September 25, 2010

"Belajarlah Dari Universiti Kehidupan"...

Assalamualaikum Wa Barakallah Hu Fih...

Aliran ilmu umpama aliran air.Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang lebih rendah. Lebih rendah suatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang yang bertakung di situ. Justeru lembah, lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitulah ilmu, perlu "ditakung" dengan hati yang ,merendah diri. Semakin tawadhuk seseorang itu, semakin banyaklah ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.

Ya, begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan iini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir daripada semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman al-Hakim ketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya."

Luqman menjadikan si jahil sebagai "guru" yang mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Kita bagaimana? Jangan dilupakan petua dalam pembelajaran; Apabila murid bersedia, guru akan tiba. Maksudnya, apabila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul "guru-guru" yang mahu mengajar kita.

Pada penulisan-penulisan yang saya kirimkan ini , insyaALLAH ada pengajaran yang tersurat dan tersirat. Prinsip yang terkandung di dalamnya mudah sahaja- Halawatul Iman iaitu kemanisan iman. Hayati sebaik mungkin di mana nilai didikan dan tarbiah di dalamnya. Padan segalanya dengan kisah-kisah hidup sahabat-sahabat sendiri. Berguraulah dengan pengalaman hidup sendiri. sesetengah ilmu perlu dirasai baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.

Pesan ringkas saya sebagai seorang sahabat, jangan kesal jika kita tersalah pada masa lampau. Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah bukti yang kita masih manusia. Oleh itu, sebaik mendapat pengajaran dan kesedaran daripadanya, lupakan dan tumpukan ke masa hadapan. He who does not look ahead, remains behind- Sesiapa yang tidak memandang ke hadapan akan sentiasa tertinggal di belakang. Kita tidak boleh "menggergaji habuk kayu". Ertinya, masa lalu akan terus berlalu. Apa yang penting, gunakan pengajaran masa lampau untuk "mengemas kini" masa kini dan merancang masa depan. Yesterday ended last night!

Jangan pula berbangga jika kita dalam kebenaran. Justeru, kita tidak ada jaminan bahwa kita akan terus-menerus benar sepanjang hayat. Sering diperingatkan, kejayaan hari ini boleh menjadi musuh kepada kejayaan hari esok. Jagalah kebenaran yang dikurniakan kepada kita dengan sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada ALLAH. Ingat sentiasa apa yang dipesankan oleh para ulama' yang mempunyai mata hati. Kata mereka, "Dosa yang menyebabkan engkau MENANGIS kerana ALLAH lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa TAKBUR."

Jadilah wira yang tidak didendangkan. Wira yang berbakti tanpa ingin disanjung dan dipuji. Belajarlah menikmati keikhlasan dengan rasa ingin membuat kebaikan tanpa dilihat orang lain sepertimana yang cuba digarap oleh para sahabat rasulullah. Kisah mereka ditulis tanpa mereka sendiri tahu tentang itu. Mereka menulis menerusi amalan. Ya, orang yang mencipta sejarah, jarang-jarang mampu menulis sejarah. Para sahabat Rasulullah yang terkenal paparan cerita tentang mereka hari ini hanya manusia biasa tetapi menjadi luar biasa kerana budi dan nilai akhlak yang tinggi. Mereka punyai hati emas yang tidak boleh direbut oleh sesiapa. Kekadang gelanggangnya hanya sekangkang kera, namun peranannya luas maya pada. Adakalanya pangkat mereka hanya kuli biasa, namun jasanya mengatasi hartawan, bangsawan, dan sarjana.

Jangan dipinggirkan peranan kita dalam menjalani kehidupan berkeluarga. Seorang mukmin yang sejati itu dinilai menerusi peranan sebagai seorang anak, suami/isteri, ayah/ibu, sahabat. Marilah kita sama-sama menyedari bahawa langkah pertama dan utama untuk menyelamatkan diri kita daripada malapetaka yang paling hebat dan dahsyat (neraka) ialah dengan menyelamatkan diri dan keluaraga.

"Selamatkanlah diri dan keluargamu daripada api neraka." (surah al-Tahrim:6)

Sebagai anak, ingatlah bahawa redha ALLAH terletak pada redha keduanya. Sebagai suami sedarlah, sebaik-baik lelaki ialah mereka yang terbaik dalam pergaulan dengan isterinya dan begitu jualah bagi seorang isteri. Sebagai seorang ayah dan ibu,hubaya-hubaya atas sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Seorang anak dilahirkan putih bersih terpulang kepada ibu ayahnya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani, atau Majusi.. (Riwayat al-Bukhari)

Sekadar mengutip butiran hikmah yang pernah diluahkan oleh Mother Teresa ketika ditanya bagaimana hendak mewujudkan dunia yang lebih aman, beliau berkata, "Pulanglah dan kasihilah keluarga masing-masing. Nescaya dunia ini akan menjadi lebih aman.

Menerusi penulisan ini juga ada sorotan "sisi gelap" yang saya selitkan sedikit daripada pengalaman kehidupan. Bukan untuk mencela, jauh sekali untuk menghina. Namun, apabila ada gelap, barulah terserlah gemerlapan cahaya. Al-Quran sendiri memaparkan kisah-kisah manusia durjana sebagai "gandingan" dan "bandingan" manusia-manusia yang mulia. Begitu Al-Quran mendidik, begitu jua kita cuba mencontohinya. Segala-galanya daripada perspektif seorang Da'i- yakni melihat sesuatu dalam kerangka seruan dan pendidikan agar manusia lebih dekat dengan ALLAH dan agama-NYA. Bertanyalah, dimana ALLAH dalam kehidupan kita sebagai seorang anak, suami/isteri, ayah/ibu, dan sahabat?

Marilah kita belajar di "Universiti Kehidupan" dengan gugusan kisah dan rencah peristiwa dalam hidup kita sebagai teks kuliah yang tidak bernoktah. Kita amati nasihat daripada "guru pengalaman" yang bersyarah tanpa suara dan kata. Penulisan ini adalah suara hati sahabat-sahabat sendiri yang saya cuba ungkapkan semampu mungkin bagi pihak sahabat-sahabat semua. Yakni, suara "hati kecil" yang lebih murni, tulus, dan insaf tetapi sering ditenggelamkan oleh gelombang nafsu dan "hati besar" kita yang ego, bangga, dan alpa.

Hayatilah dengan nama ALLAH. Rendahkan hati dan diri sahabat-sahabat semua. Pedulikan sama ada saya yang menulis ini baik atau jahat, jahil atau ilmuwan kerana jika sahabat-sahabat tawadhuk, sahabat-sahabat bukan sahaja mampu belajar daripada orang yang baik dan berilmu tetapi juga daripada orang yang jahat dan dungu..

Ba'da Tasbih Wa Tahmid..Salam Ukhuwah Fillah buat semua sahabat-sahabat yang tercinta..
Wassalam

"Berjalan, melihat, mentafsir sepanjang permusafiran Kasih Ilahi...Hidup biar bermakna..."

Thursday, September 23, 2010

BUNGA YANG CANTIK JARANG SEKALI HARUM…

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.

Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.
Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.

Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!

Kalaulah Dang Hanum namanya, yang mungkin satu masa dahulu terkorban nyawanya dek apa yang diidamkan hati, biarlah Dang Hanum kini bercahaya hatinya dengan tarbiah Islami, terkorban kerana idamkan cinta Ilahi.

Kullu ‘Am Wa Antum Bil Khair

Tuesday, September 21, 2010

Alam Itu Satu Madrasah

Assalamualaikum Wa Barakallah Hu Fikum

Lebih seminggu aku tidak menulis melainkan cakaran-cakaran rasa di buku catatan peribadi dan hati. Namun, keupayaan menulis “membeku” seketika bukan kerana ketandusan rasa, tetapi kerana kebanjiran “peristiwa”. Terlalu banyak pergolakan. Di luar mahupun di dalam lingkungan. Pejuang politik yang terus-terusan bertarung tidak mengenal medan dan batasan. Pejuang bahasa yang bangun melontar kata dan nuansa kecewa di jalan raya. Mahupun pejuang sufi yang menelusuri soal hati dalam sepi liku-liku rasa yang maknawi.

Ya, perkara yang paling mudah ditulis ialah apa yang kita yakini, alami dan rasakan. Biarlah segala pergolakan itu “transit” dulu di dermaga rasa sebelum dituangkan nanti dalam wadah yang lebih selesa. Tidak mengapa, kerana rasa-rasa itu hakikatnya telah ditambat dengan catatan-catatan ringkas yang mampu mengusik getarannya semula bila tiba saatnya nanti.

Kali ini biarkan aku santai berkisah tentang sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Walaupun ia hanya biasa-biasa sahaja, jika betul sudut pandangnya ia boleh menjadi luas dan mendalam untuk diselami pengajaran dan ibrahnya. Berapa banyak kisah “aku’ yang mampu menggugat “kamu” dan “kita”? Ya, izinkan aku berkongsi, kerana dalam perkongsian sering terserlah keberkatan. Diharap kau sudi mengikutinya…

Mari kita lihat alam ini. Seluruh dan sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia. Haiwan dan tumbuhan seolah-olah diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon dioksida) daripada manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita bernafas.

Kulit, daun, akar, pucuk dan segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan perlindungan untuk manusia. Begitu juga haiwan, daging, bulu dan kulitnya semuanya dimanfaatkan untuk manusia.

Ketika segala-galanya diciptakan untuk kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar itulah segala-galanya dipermudahkan buat manusia.

Persis bekalan dan alat kelengkapan pada seorang tentera yang dihantar untuk satu operasi ketenteraan, maka begitulah manusia yang telah diberi berbagai-bagai-bagai kemudahan dan bekalan.

Untuk menjadi hamba Allah dan khalifah yang memakmurkan, mengurus dan mentadbir muka bumi ini – itulah dwifungsi utama manusia di dunia ini. Seluruh kelengkapan yang diberikan kepadanya harus menjurus dan fokus ke arah pelaksanaan misi itu.
Jangan disalah gunakan, kerana segala-galanya akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Akan datang detiknya, manusia akan dipanggil bersemuka dengan Allah untuk menjawab setiap titis nikmat yang telah diamanahkan-Nya itu.

Alam ini bukan hanya membekalkan makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan pakaian, tetapi alam ini juga membekalkan suatu yang sangat bermanfaat dalam menjayakan misi kedatangan manusia. Alam sebenarnya membekalkan ilmu untuk manusia yang menghuninya. Alam adalah sekolah yang mana manusia harus belajar pada setiap masa, keadaan dan suasana.

Alam adalah layar yang memancarkan kebesaran Allah untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya. Bulan, matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda (‘sign’) yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada Allah. Dan dekat kepada Allah itulah sumber kekuatan, ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah.
Dua misi besar itu sangat berat dan sukar. Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit, gunung-ganang dan bumi tetapi mereka menolaknya. Firman Allah:
“Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.” Al Ahzab 33:72

Gunung, langit dan bumi tidak sanggup menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi ‘pembantu’ manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai daripada mengusai manusia. Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala manusia menjadi pelajar-pelajarnya. Allah yang menjadi ‘Guru’ dalam sekolah besar (jagat raya) ini sentiasa mendidik manusia agar layak menjadi graduan yang layak mendapat ijazah keredhaan-Nya dan syurga. Sedarkah kita?

Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah dari alam!

Kullu ‘Am Wa Antum Bil Khair

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...