Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Tuesday, January 22, 2013

Qasar itu Sunnah dan Sedekah dalam Permusafiran... JOM!!!



Bismillah...

Maksud Musafir (as-Safar) Secara Umum:

As-Safar bererti penempuhan jarak. As-Safar bererti keluar dari kampung halaman menuju satu tempat yang berjarak jauh sehingga kerananya pelakunya diperbolehkan untuk mengqasarkan (memendekkan) solatnya. (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 225)

Pengertian Ringkas Solat Secara Qasar:

Memendekkan/mengurangkan bilangan rakaat solat bagi solat fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Iaitu bagi solat Zuhur, ‘Asar, dan ‘Isya’.

Mengqasarkan Solat Adalah Sedekah Allah:

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat 101 (maksudnya):

“Dan apabila kamu berpergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu.”

Dalam hal ini, terdapat suatu riwayat dari Abu Ya’la bin Umayyah, dia menceritakan:

“Aku pernah berkata kepada ‘Umar bin Khaththab: (Allah berfirman:) “maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir”. (Namun sekarang) masyarakat sekarang sudah berada dalam keadaan aman. ‘Umar berkata: “Aku juga pernah merasa hairan sebagaimana engkau merasa hairan. Maka aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai hal tersebut. Beliau bersabda: “Ia suatu sedekah yang telah disedekahkan oleh allah kepada kamu. Oleh itu, terimalah sedekah Allah.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 686)

Hadis-Hadis Berkenaan Tuntutan Meng-Qasarkan Solat Di Dalam Perjalanan:

1 – Abdullah bin ‘Umar r.a. berkata:

“Aku pernah menemani Rasulullah s.a.w. dalam perjalanannya dan beliau tidak pernah mengerjakan solat lebih dari dua rakaat (bagi setiap solat). Demikian juga dengan Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Usman r.anhum. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 689)

2 – Dari ‘Aisyah r.ha, dia menyatakan: “Ketika solat pertama kali diwajibkan, Allah mewajibkan dua rakaat-dua rakaat, sama ada ketika sedang tidak dalam perjalanan mahupun ketika dalam perjalanan. (Selepas hijrah Nabi s.a.w.) Solat ketika safar ditetapkan/dibiarkan (dua rakaat), dan solat ketika tidak safar (dalam perjalanan) ditambah (jumlah rakaatnya). (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 1570)

Imam Ahmad rahimahullah di dalam al-Musnadnya (6/241) menambahkan:

“Kecuali solat Maghrib dan subuh”. (Rujuk: Nota kaki no. 71, m/s. 550, Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i)

3 – Dari Ibnu ‘Abbas r.a., dia menyatakan:

“Allah telah mewajibkan solat melalui lisan Nabi Kalian s.a.w. ketika tidak dalam perjalanan (musafir) adalah empat rakaat dan ketika dalam perjalanan dua rakaat, serta ketika menghadapi rasa takut adalah satu rakaat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab orang-orang yang musafir, no. 687)

Menurut Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, yang menaqalkan daripada Sheikh Abdul Aziz bin Bazz:

“Dasar solat yang pertamanya adalah dua rakaat, sebagaimana yang diwajbkan oleh Allah Ta’ala, kemudian setelah hijrah, Allah s.w.t. menambahkannya dua rakaat lagi bagi yang tidak dalam perjalanan menjadi empat rakaat, iaitu pada solat ‘Isya’, Zuhur, dan ‘Asar. Adapun solat ketika dalam perjalanan, masih tetap dua rakaat, iaitu bagi solat ‘Isya’, Zuhur, dan ‘Asar (diqasarkan). Dengan demikian, meng-Qasarkan solat (di dalam perjalanan) adalah sunnah mu’akkad kerana tidak ada larangan untuk mengerjakan solat secara lengkap, iaitu empat rakaat. (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 252)

Walau bagaimanapun, perlu difahami dan diketahui bahawa meng-Qasarkan solat (memendekkannya menjadi dua rakaat) di dalam perjalanan (musafir) adalah lebih baik dan utama daripada melaksanakannya secara sempurna (tamam). Ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut:

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. dia menyatakan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah suka jika keringanan yang Dia berikan itu dimanfaatkan sebagaimana Dia tidak suka kemaksiatan kepada-Nya dilakukan.” (Hadis yang dinilai Hasan menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam kitabnya, Irwaa’ul Ghaliil, 3/9, no. 564)

Daripada Ibnu Mas’oud dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma:

“Sesungguhnya Allah sangat menyukai rukhsah (keringanan) dari-Nya dimanfaatkan sebagaimana Dia menyukai pelbagai kewajiban yang dari-Nya dikerjakan.” (Hadis yang dinilah Sahih menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam kitabnya, Irwaa’ul Ghaliil)

Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan (di dalam Majmuu’ al-Fataawaa, 24/9):

“Bahkan terdapat suatu pendapat dari mazhabnya Abu Hanifah dan Imam Malik, bahawa hukum melaksanakan solat secara Qasar di dalam perjalanan (musafir) adalah suatu yang wajib.” (Dirujuk dari nota kaki no. 80, Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 252)

Persoalan Jarak Dalam Musafir:

Dari Abi Sa’id r.a., beliau menyatakan:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila bermusafir sejauh satu farsakh, maka beliau mengqasarkan solatnya.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Mansur)

Dari Anas r.a., bahawasanya beliau menjawab semasa ditanya tentang solat qasar di antara Basrah dan kufah: “Dahulu Rasulullah s.a.w. jika berpergian (musafir) sejauh tiga batu (satu farsakh) beliau s.a.w. solat dua rakaat (qasar). (Diriwayatkan oleh Muslim, ahmad, dan Abu Daud).

Menurut para ulama fiqh, satu farsakh ialah tiga batu. Ini diambil mengikut jarak kiraan Parsi. (Dirujuk dari: Kertas Kerja Ust. Rasul bin Dahri, Solat Qasar & Jamak, m/s. 6)

Menurut sebahagian ulama, bahawa yang dinamakan sebagai musafir itu tidaklah dihadkan dengan jarak-jarak yang tertentu. Tetapi, dalam hal ini, adalah merujuk kepada ‘uruf (adat kebiasaan) seseorang itu berada. Jika jarak perjalanan dianggap sebagai musafir (pergi keluar kawasan dari tempat kebiasaan ke tempat yang di luar kebiasaan) oleh sesebuah masyarakat, maka dia boleh meng-Qasarkan solatnya dan berbuka puasa.

Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah menyatakan:

“Dalil yang lebih tepat dan kuat ialah pendapat ulama yang membolehkan qasar solat dan berbuka puasa ketika musafir dan tidak ada jarak perjalanan yang khusus. Inilah pendapat yang paling sahih.” (Rujuk Kitab Majmuu’ al-Fataawaa, 24/106)

Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu Taimiyah. Alasannya, Allah dan Rasul tidak pernah menghadkan jarak tertentu dalam bermusafir yang membolehkan solat diqasarkan dan puasa dibenarkan berbuka.

Imam Abu al-Qasim al-Kharqi rahimahullah telah menyatakan dalam kitab al-Mughni:

“Aku tidak bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh kebanyakan ulama fiqh kerana pendapat mereka itu tidak ada hujjahnya (dalam menghadkan jarak musafir). Ini kerana, terdapat riwayat dari kata-kata para sahabat yang saling bercanggah. Sedangkan, tidak boleh berhujjah menggunakan dalil yang saling berbeza.”

Pendapat yang terpilih adalah, tidak harus meng-Qasarkan solat apabila jarak kurang daripada tiga batu. 1 batu adalah bersamaan 1748 meter. Manakala 3 batu adalah bersamaan 5541 meter (5.541 kilometer). Oleh itu, seseorang boleh meng-Qasarkan solat apabila mencapai had ini.

Menurut riwayat Ibn Abi Syaibah rahimahullah dengan sanad sahih dari Ibnu ‘Umar r.a.. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibnu Hazm, katanya:

“Nabi s.a.w. telah keluar ke perkuburan Baqi’ (dengan jarak kurang dari 3 batu) untuk mengebumikan jenazah dan keluar ke Fadaq untuk membuang hajat. Tetapi Baginda s.a.w. tidak pernah meng-Qasarkan solatnya.” (Disalin dari buku Wudhu’ dan Solat Menurut Sunnah dan Mazhab Syafie, oleh Abu Ruwais asy-Syubrawi, Terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.)

Disimpulkan dari beberapa pendapat, bahawa pendapat yang terpilih adalah tiada had tertentu yang membataskan seseorang untuk dikategorikan sebagai musafir. Ia adalah bergantung kepada ‘uruf/kebiasaan seseorang itu sendiri iaitu dari mana dia berada (kawasan kebiasaan dia berada/menetap) dan ke mana dia keluar (ke tempat yang di luar kebiasaannya) tanpa dihadkan jaraknya. (Disimpulkan dari perbahasan dalam buku Fiqh Dan Musafir Penerbangan, Hafiz Firdaus Abdullah, Di bawah Tajuk Mengqasar Solat Dalam Penerbangan, Terbitan Perniagaan Jahabersa, m/s. 161-204)

Bila Solat Qasar Segera Boleh Dilakukan:

Dalam hal ini, Ibnu Mundzir rahimahullah berkata (Dipetik daripada: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 259):

“Para ulama sepakat bahawa orang yang hendak melakukan perjalanan boleh meng-Qasar solat jika sudah keluar dari seluruh rumah yang ada di kampung yang ditinggalkannya. (Majmuu’ Fataawaa Ibni Bazz, 12/267)

Tempoh (Lamanya) Musafir Yang Dibolehkan Solat Qasar Tetap Dilaksanakan:

Berikut dibawakan fatwa Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah ketika menjawab pertanyaan “tentang seseorang yang mengetahui bahawa dia akan bermukim dua bulan, apakah dia boleh mengqasarkan solat?”

Beliau menjawab:

“Di dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama. Di antara mereka ada yang mewajibkan untuk mengerjakan solat secara lengkap, tetapi ada juga di antara mereka yang mewajibkan qasar solat. Yang benar adalah keduanya boleh berlaku. Barangsiapa yang mahu meng-Qasarkan solatnya tidaklah dilarang, dan yang hendak mengerjakannya secara lengkap pun tidak dilarang. Selain itu, mereka juga berbeza pendapat berkenaan mana yang lebih afdhal di antara keduanya. Barangsiapa yang masih menyimpan keraguan, maka mengerjakan solat secara sempurna adalah lebih baik sebagai langkah berhati-hati. Sedangkan orang yang memahami sunnah dan mengetahui Rasulullah s.a.w. tidak mensyariatkan bagi orang yang di dalam perjalanan untuk mengerjakan solat melainkan dengan dua rakaat, dan tidak memberikan batasan perjalanan dengan waktu dan tempat, serta tidak juga memberikan batasan masa tinggal dengan waktu tertentu, tidak tiga, empat, dua belas, atau lima belas hari, maka dia boleh meng-Qasar solatnya, sebagaimana yang dikerjakan oleh kebanyakan ulama salaf. Sehinggakan Masruq pernah bermukim beberapa tahun dengan tetap mengqasarkan solatnya. Kaum muslimin juga pernah bermukim di Nahawanda selama enam bulan dan mereka (tetap) mengqasar solat. Mereka meng-Qasarkan solat dalam keadaan mengetahui bahawa keperluan mereka tidak akan cukup empat hari atau lebih. Sebagaimana Nabi s.a.w. dan para Sahabat beliau setelah pembebasan Kota Makkah (Fathul Makkah) selama di Makkah lebih kurang dua puluh hari beliau meng-Qasarkan solat. Mereka juga pernah bermukim di Makkah selama sepuluh hari dan berbuka puasa di siang hari pada bulan Ramadhan. Setelah membebaskan kota Makkah, Nabi s.a.w. mengetahui bahawa beliau perlu bermukim di sana lebih dari empat hari. Seandainya pembatasan tersebut tidak mempunyai dasar (niat menetap/mastautin – pen.), bererti seorang musafir masih tetap sebagai musafir yang boleh meng-Qasarkan solat walaupun dia bermukim di suatu tempat beberapa bulan. Wallahu a’lam.” (Majmuu’ al-Fataawaa, 14/17-18). (Dinukil dari nota kaki no. 114, Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 262)

Adakah Solat Sunnah Rawatib Ketika Dalam Musafir:

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:

“Kegigihan dan kesungguhan Rasulullah s.a.w. dalam memelihara solat sunnah sebelum Subuh lebih besar daripada solat sunnah yang lainnya sehingga beliau tidak pernah meninggalkannya. Begitu pula solat witr, sama ada ketika dalam perjalanan mahu pun ketika sedang di rumah... Tidak pernah dinukil bahawa Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat sunnah rawatib selain solat sunnah sebelum subuh dan solat witr dalam perjalanannya.” (Rujuk: Zaadul Ma’aad fii Hadyi Khairil ‘Ibaad, 1/315)

Berdasarkan fatwa Imam Ibnul Qayyim, ini menunjukkan bahawa difahami hanya solat sunnah rawatib subuh dan solat witr yang dituntut. Dan tiada sandaran bagi kesunnahan melakukan solat sunnah rawatib bagi solat-solat yang lain melainkan sebelum solat subuh.

Bagaimana Dengan Solat-solat Sunnah Yang Lainnya:

Imam Nawawi rahimahullah berkata:

“Para ulama telah sepakat untuk menetapkan sunnah (adanya) terhadap solat-solat sunnah mutlak (solat-solat sunnah yang memiliki sebab untuk ia dilakukan) dalam perjalanan.” (Syarhun Nawawi ‘alaa Sahih Muslim, 5/205). (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 269)

Solat sunnah mutlak yang dimaksudkan adalah seperti solat sunnah Thawaf, Solat Tahiyatul Masjid, Solat sunnah wudhu’, solat Dhuha, dan seumpamanya.

Solat Di Belakang Imam Yang Bermastautin Ketika Kita Bermusafir:

Ibnu ‘Abbas rahimahullah (ketika bermusafir), dia akan solat empat rakaat jika solat bersama imam (yang bermastautin) dan dua rakaat (Qasar) jika solat sendirian. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 17 (688))

Imam Ibnu Abdil Barr rahimahullah menyebutkan:

“Majoriti mereka menyatakan bahawa jika seorang musafir melakukan takbiratul ihram di belakang orang yang bermukim/bermastautin sebelum salamnya, maka dia harus mengerjakan solat seperti orang mukim, iaitu mengerjakan secara lengkap (empat rakaat)”. (at-Tamhiid, 16/311-312)

“Mereka yang bermusafir ketika menjadi makmum kepada imam yang bermastautin harus mengerjakan solat seperti yang dilakukan imamnya (solat sempurna/empat rakaat). (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 271)

Pendapat ini adalah didasari kepada hadis:

“Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh kerana itu, janganlah kalian menyelisihinya, jika dia bertakbir, bertakbirlah kalian...” (Hadis Riayat Muslim, Kitab ash-Solah, no. 414)

Solat Di Belakang Imam Yang Bermusafir (Imam Yang Meng-Qasarkan Solatnya):

Imam Ibnu Qudamah rahimahullah menyatakan:

“Para ulama telah sepakat bahawa jika orang yang bermukim/bermastautin menjadi makmum kepada imam yang bermusafir lalu musafir itu mengucapkan salam (setelah dua rakaat solatnya secara Qasar – pen.), maka orang yang bermukim harus menyempurnakan solatnya (kepada empat rakaat).” (Rujuk: al-Mughni, 3/146. Lihat: Nailul Authaar, asy-Syaukani, 2/403)

Jika seorang musafir mengimami beberapa orang yang bermukim/bermastautin, lalu dia mengerjakan solat itu secara lengkap/tamam/sempurna, maka solat mereka itu sempurna dan sah, hanya saja bertentangan dengan yang afdhal (sunnahnya). (Majmuu’ Fataawaa Ibni Baaz, 12/260). (Dinukil daripada: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 270-271)

Perbezaan Di Antara Solat Qasar Dengan Solat Jamak:

Qasar (memendekkan solat fardhu yang empat rakaat):

Qasar solat itu tidak memiliki sebab kecuali ketika dalam perjalanan (musafir) sahaja. Maka, rukhsah meng-Qasarkan solat itu adalah khusus ketika musafir sahaja, iaitu bagi solat yang empat rakat menjadi dua rakaat.

Jamak (menghimpunkan dua solat fardhu):

Jamak solat itu lebih luas daripada qasar solat. Oleh kerana itu, jamak memiliki beberapa sebab lain selain perjalanan, sebagai contoh kerana sakit, istihadhah, hujan, jalan berlumpur, angin kencang udara dingin, kesukaran yang dihadapi berkaitan masa bagi salah satu waktu solat, dan seumpamanya. Menjamakkan solat ketika musafir adalah dimakruhkan ketika mana tidak memiliki sebab, malah adalah lebih baik tidak menjamakkan solat ketika dalam bermusafir melainkan benar-benar diperlukan atau memiliki maslahah. (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 275-276)

Pesanan:

Pendapat yang disenaraikan di atas merupakan pendapar-pendapat yang diambil oleh para ulama’ dan fuqaha’ yang alim dalim bidang ini. Namun sebagai insan mereka masih tidak terlepas dari membuat kesilapan yang mana pendapat-pendapat mereka  boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Kita sebagai golongan yang berkehendak sebagai Ulul Albab, pilihlah pendapat dengan dalil yang jelas dan mampu kita yakini (kerna  yakin itu syarat sah) dan tolaklah dengan berhikmah pendapat yang kurang kita yakini. Dalam nas-nas al-Quran dan Sunnah, juga suri teladan yang ditunjukkan oleh golongan salafussaleh, kita semua dididik untuk menghormati para ulama dan golongan yang soleh dalam kalangan umat ini. Mereka yang kita kasihi itu ialah insan-insan yang berjasa dalam mempertahankan Islam dan menyebarkan dakwahnya.

Wallahu Ta'ala 'Alam.

Saturday, September 24, 2011

Muslimah, Solat Jumaat, dan Sekitarnya



"Kita adalah sepertimana solat kita"
Soalan:

Akhi, bolehkah perempuan solat Jumaat?

Farah Hanum, California

Ukhti, semoga ALLAH merahmati kita semua. Jazakallahu Khairan Kastira’ atas soalan yang ukhti kehadapankan ini. Ia bukan saja memberi peluang untuk pembaca lainnya memahami dengan lebih baik berkenaan perkara ini tetapi ia juga memberi ruang kepada saya untuk lebih teliti dalam berdalil untuk beramal. Saya jawab persoalan ukhti ini dengan beberapa perkara berkaitan. Moga kita semua diberi kefahaman dan keyakinan dalam beramal.

Apakah hukum solat Jumaat bagi muslimat?

Solat Jumaat merupakan kewajipan yang telah diputuskan oleh ALLAH dan Rasul-NYA keatas semua Muslim yang mukallaf dan pengabaian terhadapnya dengan sengaja adalah berdosa besar. Namun, terdapat beberapa golongan yang diberi pengecualian terhadapanya berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:

Sabda Nabi SAW;


الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة: عبد مملوك، أو امرأة، أو صبي، أو مريض


Maksudnya;“Jumaat adalah hak yang wajib atas setiap muslim dengan jamaah melainkan empat, iaitu hamba yang dimiliki, atau perempuan, atau kanak-kanak, atau orang sakit”  (Maksud hadith dari Thariq bin Syihab radiallahu-anha, Sunan Abu Daud - no: 1026 dan disahihkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi dan asy-Shaukani,Nail-ul-Authar, 3/527.)


Sabda Nabi SAW lagi;



من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فعليه الجمعة إلا امرأة ومسافراً وعبداً ومريضاً 


Maksudnya;“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan solat jumaat melainkan perempuan, orang bermusafir, hamba dan orang yang sakit”  (Riwayat di atas ditakhrij oleh Imam ad-Daruquthni dan al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu, dinyatakan kelemahannya oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 3/527-528 hingga jatuh kepada taraf Dhaif).


Berdasarkan hadith di atas, Al-Imam Ibnu Munzir dalam kitabnya “Al-Ijm’a” menyatakan bahawa tiada khilaf dan telah bersepakat para ulama’  bahawa tidak wajib bagi seorang muslimat.

Bolehkah Muslimat menunaikan solat Jumaat?

Sekalipun lengkap kukuh dalil dan ijm’a yang menyatakan bahawa tidak wajib bagi seorang muslimat itu menunaikan solat Jumaat, namun masih ada ruang kebenaran untuk mereka menunaikannya jika begitu mahunya.

Sabda Nabi SAW;

لاتمنعوا نساءكم المساجد وبيوتهن خير لهن

Maksudnya: Jangan kamu tegah isteri dan anak perempuan kamu untuk solat di masjid; Solat di rumah lebih baik bagi mereka. (HR Abu Daud)

Sabda Nabi SAW lagi;

لا تمنعوا إماء الله المساجد ولكن ليخرجن تفلات

Maksudnya: Janganlah kamu tegah wanita-wanita di bawah tanggunganmu ke masjid; tetapi hendak mereka keluar dengan tidak memakai wangian. (HR Bukhari dan Muslim)

Ibnu Umar berkata, "Istri Umar menghadiri shalat subuh dan isya dengan berjamaah di masjid. Kemudian kepada istri Umar itu ditanyakan, 'Mengapa Anda keluar, sedangkan Anda mengetahui bahwa Umar tidak menyukai hal itu dan suka cemburu.' Istri Umar menjawab, 'Kalau begitu, apakah yang menghalanginya untuk mencegahku?' Orang itu berkata, 'Yang menghalangi Umar ialah sabda Rasulullah, 'Janganlah kamu semua mencegah hamba-hamba wanita Allah untuk mendatangi masjid-masjid Allah."' (HR Bukhari)

Sekalipun begitu, kebenaran ini masih juga terikat dengan khilaf perbincangan para fuqaha’ yang membahaskannya atas beberapa kemashlatan, keadaan, dan keutamaan.

“Dalam membahaskan hadith-hadith diatas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarah Shahih Muslim 4:382-383).”



Menurut Al-Fadhil Dr As-Syaikh ‘Atiyyah Saqqar didalam kitab “Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-Fatawa wa Al-Ahkam”. Beliau menyatakan, ulama membahaskan perkara ini seperti berikut;

  1. Ahnaf  (Mazhab Hanafi): Yang paling afdhal bagi perempuan menunaikan solat zohor di rumahnya, samada perempuan itu tua atau muda.
  2. Malikiyyah (Mazhab Maliki) : Sekiranya perempuan itu bersangatan tua yang tidak menarik perhatian lelaki, maka harus bagi perempuan itu menunaikan solat jumaat. Adapun sekiranya perempuan itu boleh menarik perhatian kaum lelaki yang tidak membawa fitnah, maka hukum menghadiri solat jumaat adalah makruh. Adapun boleh mendatangkan fitnah, maka hukumnya adalah haram.
  3. Hanabilah (Mazhab Hanbali) : Diharuskan perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya tidak berhias. Adapun berhias, maka hukumnya adalah makruh.
  4. Syafiiyyah (Mazhab Syafi’i) : Makruh perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya ianya boleh disyahwati, walaupun ianya dengan memakai pakaian tebal sekalipun. Begitujuga, makruh perempuan menghadiri solat jumaat, sekiranya ianya tidak disyahwati, tetapi dia berwangi-wangian atau berhias.
Pun begitu, ulama-ulama menyatakan haram kehadiran perempuan kepada solat jumaat yang boleh menimbulkan fitnah”. (Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-fatawa wa Al-Ahkam : 1/627-628)

“Dalam hal ini, menurut Prof. Abdul Karim Zaidan, para wanita diperbolehkan dan dianjurkan untuk solat jumaat dengan syarat telah mendapatkan izin suami atau walinya, tidak menimbulkan fitnah, tidak memakai wangian, dan tidak berhias. Kalau mereka mampu memenuhi kelima syarat tersebut, mereka dianjurkan untuk ke masjid karana Solat Jumaat dikerjakan satu kali dalam seminggu di mana di dalamnya ada khutbah yang sangat berguna bagi mereka selain juga menjadi satu wadah untuk berkenalan dengan para wanita muslimah lainnya.”


Dari perbahasan ini, dapat dilihat, perdebatan dikalangan ulama tentang keizinan ulama ini sehabis-habis rendah pun adalah “keharusan” sahaja. Yang mana “keharusan” ini tidak membawa sesuatu amalan itu kepada darjat amalan yang dituntut, samada berbentuk sunat ataupun wajib. 

Perlukah solat Dhuhur selepas menunaikan solat Jumaat?

Bagi para muslimat yang sudah menunaikan solat Jumaat, ianya telah menjadi satu rukhsah ibadah yang telah menggugurkan kefardhuan Dhuhur keatas mereka.

Imam Ibnul Mundzir dalam kitabnya Al-Ijma' (m/s 44) menyatakan bahwa para ulama telah bersepakat dalam hal ini bahawa wanita yang telah mengerjakan solat jumaat tidak perlu lagi mengerjakan solat dhuhur.

Antara Solat Dhuhur di rumah atau Solat Jumaat berjemaah di masjid, manakah lebih utama dan afdhal?

Solat berjemaah di masjid atau musolla sangat digalakkan dalam Islam. Hadis-hadis Rasulullah SAW juga cukup banyak dalam memberi memberi motivasi bahawa kebaikan orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian.  Juga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah. 

Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid. 


Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik muslimin mahupun muslimat. 


Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.

Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi muslimat. Hal itu sesuai dengan ijm’a ulama. Adapun dibolehkan mereka untuk turut serta dalam solat berjemaah bukan bererti ia merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi msulimat maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama.” (Al Muhalla 4: 196)


Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid.


Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud:

“Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu.” (riwayat Ibn Khuzaimah) 


Sabda Rasulullah SAW lagi:


"Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka." (riwayat Ibnu Khuzaimah) 


Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz: “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka, maksudnya adalah, solat mereka (muslimat) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid.”

“Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya.” (Al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).

Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.


Sahkah Solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang kurang dari 40 orang?

Adakalanya apabila kita menghadiri solat Jumaat di masjid-masjid atau surau-surau di negara-negara di mana umat Islamnya wujud sebagai kaum minoriti, kita akan dapati solat Jumaat mereka dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang. Maka dalam suasana ini bagaimanakah hukum solat Jumaat tersebut mengingatkan kepada pendapat masyhur tempatan yang mengatakan bahawa bilangan minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang ?

Dalam hal ini tidak akan dibicarakan hukum solat Jumaat yang dihadiri kurang daripada 40 orang tetapi sebaliknya akan mengupas dasar rujukan bilangan 40 itu sendiri. Pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum jemaah solat Jumaat adalah 40 orang adalah berdasarkan kepada hadith berikut ini:
“Abdurrahman bin Ka'ab menceritakan bahawa apabila ayahnya mendengar seruan azan hari Jumaat, dia mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku: Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ? Jawab ayahku: Kerana dialah yang pertama kali melakukan solat Jumaat bersama kami di Hazm Annabit, terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi'ul Khadhamat. Aku bertanya: Berapa orang (yang hadir) ketika itu ? Jawab ayahku: 40 orang. “(Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 1028 , dinilai hasan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Nail-ul-Authar, 3/535.)
Hadith di atas dijadikan sumber rujukan oleh pihak yang berpendapat bahawa jumlah minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang. Walaubagaimanapun pengkajian mendalam oleh ahli-ahli hadith serta fiqh mendapati bahawa hadith di atas tidak boleh dijadikan sumber patukan hukum 40 orang sebagai bilangan minimum kerana hadith tersebut hanya menyatakan jumlah jemaah yang hadir dan tidak pula membatasi jumlah tersebut. Justeru itu hadith di atas tidak boleh dijadikan hujah bagi menghadkan bilangan minimum jemaah bagi satu-satu solat Jumaat yang dilaksanakan.

“Imam asy-Shaukani menulis: Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadith di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum.” (Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/536 )


“Selain itu pihak yang menghadkan jumlah minimum 40 orang juga merujuk kepada atsar sahabat berikut ini, di mana Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhu telah diriwayatkan berkata: Kami solat Jumaat bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Ibnu Mas'ud) adalah orang terakhir yang datang sedang jumlah kami adalah 40 orang laki-laki. “(Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Baihaqi dari Nail-ul-Authar, 3/537 , dikemukakan oleh Imam asy-Shaukani tanpa membicarakan status kekuatannya. Sebagai analisa, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili ada mengemukakan sebuah atsar berlainan yang juga berasal dari Abdullah ibnu Mas'ud yang menerangkan bahawa jumlah minima jemaah solat Jumaat adalah 40 orang dan tidak sah jikalau jumlah ini dikurangi. Walaubagaimanapun atsar ini yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi tidak dikemukakan sumber rujukannya dan ia juga tidak dijadikan dalil pegangan oleh Dr. Wahbah Zuhaili sendiri. Lihat kitab beliau - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/295)
  
Atsar ini juga tidak boleh dijadikan rujukan tepat kerana ia hanya menceritakan secara kebetulan bahawa jumlah jemaah adalah 40 orang dan bukannya pula mensyaratkan jumlah minimum 40 orang.


“Apa yang benar dalam hal ini adalah - tidak ada jumlah minimum bilangan jemaah yang disyaratkan oleh syari'at bagi mensahkan sesuatu solat Jumaat itu. Dalam beberapa riwayat-riwayat lain jelas tertera bahawa solat Jumaat pernah didirikan di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dengan jumlah yang kurang dari 40 orang.” (Kajian lanjut terhadap riwayat-riwayat ini, sila lihat buku Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 113-124 oleh A. Chodri Romli, terbitan Al-Hidayah, M'sia, 1994.)

“Pernah sekali suatu rombongan perdagangan dari Syam tiba di kala Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sedang memberi khutbah solat Jumaat lalu para jemaah terus keluar dan menuju kepada rombongan tersebut sehingga yang tertinggal di masjid hanya 12 orang sahaja. Solat Jumaat itu diteruskan dengan jemaah yang 12 tersebut tanpa apa-apa halangan atau pembatalan dan tidak pula diulangkan. “(Maksud pengajaran hadith dari Sunan Tirmizi - no: 3365, dikemukakan sebagai hujah oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/294dan A. Chodri Romli - Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 27-28.)

“Yang sahih adalah - apabila sahaja sesuatu solat Jumaat itu menepati syarat-syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum, maka itu adalah mencukupi sebagai syarat sah solat tersebut.  Imam asy-Shaukani menganalisa: Ketahuilah, tidak ada landasan dalil untuk mensyaratkan jumlah 80, 30, 10, 9 mahupun 7 orang, begitu pula sahnya Jumaat hanya dengan satu orang sahaja. Pihak-pihak yang menganggap sahnya Jumaat hanya dengan 2 orang sahaja beralasan bahawa jumlah ini adalah berdasarkan hadith dan ijma'. Mereka berpendapat tidak ada dalil yang mengsyaratkan jumlah tertentu padahal jemaah dalam solat apajua sudah sah hanya dengan 2 orang, tidak ada perbezaan antara solat Jumaat dan solat jemaah. Dan tidak ada nas dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bahawa solat Jumaat tidak sah kecuali dengan jumlah sekian-sekian orang. Pendapat inilah yang paling kuat dan rajih menurut saya.” ( Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/538.)

“Prof. Dr. Wahbah Zuhaili juga telah menulis: Jelas kepada pengarang bahawa sembahyang Jumaat perlu kepada perhimpunan jemaah. Apabila tercapai jemaah yang ramai mengikut kebiasaan maka diwajibkan sembahyang Jumaat dan hukumnya adalah sah. Dan tidak terdapat nas yang jelas yang mensyaratkan bilangan tertentu tetapi jemaah adalah syarat yang disepakati semua ulama' bagi sembahyang Jumaat kerana sudah maklum di dalam syara' bahawa jemaah itu terdapat ketika sembahyang.” (Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/296.)

Kesimpulan dalam perbicaraan ini adalah bahawa tidak ada jumlah minimum jemaah yang perlu untuk dijadikan syarat sah solat Jumaat. Asal sahaja dalam sesuatu perhimpunan itu menepati syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum maka itu adalah memadai. Sudah tentu semakin ramai jemaah semakin afdal solat tersebut tetapi ini adalah sekadar keutamaan dan bukan syarat ketetapan. Oleh itu seseorang yang menyertai solat Jumaat yang dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang, samada di seberang mahupun di tanah air, maka solatnya itu beserta solat para jemaah lainnya adalah tetap sah dan insyaALLAH diterima.


Adakah penganjuran solat sunnah qabliah dan b’adiah Jumaat?

Para ulama sepakat bahwa shalat sunnat yang di lakukan setelah solat jumaat adalah sunnah dan termasuk rawatib ba’diyah Jum’at. seperti yang di riwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari:

Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

 ”Jika salah seorang di antara kalian solat jumaat hendaklah solat empat raka’at setelahnya”. (HR. Bukhari dan Muslim).

Sedangkan shalat sunnah sebelum shalat Jum’at terdapat dua kemungkinan.
  • Pertama, solat sunnah mutlak, hukumnya sunnah. Waktu pelaksanannya berakhir pada saat imam memulai khutbah.
  • Kedua, shalat sunnah qabliyyah Jum’at. Para ulama berbeda pendapat tentang solat sunnah qabliyyah Juma’at. Pertama, solat qabliyyah Jum’ah dianjurkan untuk dilaksanakan (sunnah). Pendapat ini di kemukakan oleh Imam Abu Hanifah, Syafi’iyyah (menurut pendapat yang dalilnya lebih tegas) dan pendapat Hanabilah dalam riwayat yang tidak masyhur. Kedua, solat qabliyyah Jum’at tidak disunnahkan menurut pendapat Imam Malik, sebagian Hanabilah dalam riwayat yang masyhur
Adapun dalil yang menyatakan dianjurkannya solat sunnah qabliyah Jum’at:

Rasulullah SAW bersabda;

“Semua shalat fardlu itu pasti diikuti oleh solat sunnah qabliyah dua rakaat”. (HR.Ibnu Hibban yang telah dianggap shohih dari hadist Abdullah Bin Zubair).

Hadist ini secara umum menerangkan adanya solat sunnah qabliyah tanpa terkecuali shalat Jum’at.

Rasulullah SAW bersabda lagi;

“Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. berkata: Sulayk al Ghathafani datang (ke masjid), sedangkan Rasulullah saw sedang berkhuthbah. Lalu Nabi SAW bertanya: Apakah kamu sudah solat sebelum datang ke sini? Sulayk menjawab: Belum. Nabi SAW bersabda: Solatlah dua raka’at dan ringankan saja (jangan membaca surat panjang-panjang)” (Sunan Ibn Majah: 1104).

Berdasar dalil-dalil tersebut, Imam al Nawawi menegaskan dalam kitab al Majmu’ Syarh al Muhadzdzab:
“Menerangkan tentang sunnah shalat Jum’at sebelumnya dan sesudahnya. Disunnahkan solat sunnah sebelum dan sesudah solat jumaat. Paling sedikit dua raka’at sebelum dan sesudah solat jumaat. Namun yang paling sempurna adalah shalat sunnah empat raka’at sebelum dan sesudah solat jumaat”. (Al Majmu’, Juz 4: 9)

Adapun Dalil yang menerangkan tidak dianjurkannya solat sunnat qabliyah Jum’at adalah:

Dari Saib Bin Yazid: “Pada awalnya, adzan jum’at dilakukan pada saat imam berada di atas mimbar yaitu pada masa Nabi SAW, Abu bakar dan Umar, tetapi setelah zaman Ustman dan manusia semakin banyak maka Sahabat Ustman menambah adzan menjadi tiga kali (memasukkan iqamat), menurut riwayat Imam Bukhori menambah adzan menjadi dua kali (tanpa memasukkan iqamat). (H.R. riwayat Jama’ah kecuali Imam Muslim).

Dengan hadith di atas Ibnu al-Qayyim berpendapat, “Ketika Nabi keluar dari rumahnya langsung naik mimbar kemudian Bilal mengumandangkan adzan. Setelah adzan selesai Nabi SAW langsung berkhutbah tanpa adanya pemisah antara adzan dan khutbah, jadi bila Nabi SAW dan jama’ah itu melaksanakan solat sunnah qabliyah Jumaat?

Dari dua pendapat dan dalilnya diatas jelas bahwa pendapat kedua adalah interpretasi dari tidak solatnya Nabi SAW sebelum naik ke mimbar untuk membaca khutbah. Sedangkan pendapat pertama berlandaskan dalil yang sudah sharih (argumen tegas dan jelas). Maka pendapat pertama yang mensunnahkan shalat qabliyyah jumaat tentu lebih kuat dan lebih unggul (rajih).

Kesimpulan Secara Keseluruhan

  • Solat fardhu Jumaat tidak diwajibkan keatas muslimat namun dibenarkan mereka untuk menunaikannya dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
  • Sekalipun solat fardhu Jumaat secara berjemaah dibenarkan bagi muslimat untuk menunaikannya, kedudukan solat dirumah itu lebih afdhal dan utama bagi mereka.
  • Solat fardhu Jumaat sah untuk ditunaikan sekalipun jumlah jemaah yang menyertainya kurang daripada 40 orang. Cukup sekadar mempunyai imam dan makmum atau lebih tepat lagi sekadar mempunyai jemaah.
  • Solat sunnah qabliah dan b’adiah Jumaah itu adalah satu sunnah yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah SAW.
Kesemua permasalahan di atas adalah khilafiyah furu’iyyah iaini perbedaan dalam cabang hukum agama, maka tidak sepatutnya di sempit penerimaannya di antara dua pendapat di atas. Dalam kaidah fiqh mengatakan “la yunkaru al-mukhtalaf fih wa innama yunkaru al- mujma’ alaih” (Seseorang boleh mengikuti salah satu pendapat yang diperselisihkan ulama dan tidak boleh mencegahnya untuk melakukan hal itu, kecuali permasalahan yang telah disepakati). Setiap di antara mereka yang bertungkus lumus mengusahakan dalil dan pendapat di atas adalah para ulama’, pewaris nabi yang kita cintai. Teladan para salafus soleh menganjurkan kita untuk menghormati pendapat daripada mereka. Jika diterima, maka janganlah dihalang untuk yang selainnya dan jika ditolah, maka tolaklah dengan penuh berhikmah tanpa perlu menimbulkan fitnah yang merosakkan kesucian agama Islam yang mulia ini. Semoga ALLAH merahmati kita semua sebagai pencari cintaNYA. Wallahu Ta’ala ‘Alam.














Saturday, April 16, 2011

"AKU DEKAT...!"



Soalan: Hati saya kecewa kekeadang.  Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak akan terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya rasa macam letih hendak berdoa. Bagaimana nak redakan hati ini akhi?

Annisa’, California.

Jawapan hasil rujukan Abdullah:

Ukhti, semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan ukhti itu, saya nyatakan seperti berikut:
1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa yang merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:
(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).
FirmanNya juga: (maksudnya)
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :
« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :
« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :
“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.
Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

9. Marilah kita teruskan doa, perbaiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

Semoga ALLAH merahmati kamu semuanya, ya Mujahid wa Mujahidah...

Wallahu Ta'ala 'Alam...Wallahu Waliyyut Taufiq

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...