IA, Percayalah, kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan
penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan
dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak
perlu melakukan apa-apa, cuma dengar…
Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi
pakar motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan
masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin
didengar.
Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk
menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang
dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk
diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi
hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.
Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan
mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang
akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar,
pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang
pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.
Dari saya, hanya seraut catatan.
HANYA DENGAN MENDENGAR…
Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan
makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan
tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak
didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak.
Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang
begini, akan gagal dalam hidupnya.
Peri pentingnya didengar dalam
hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui
kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.”
Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan,
keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan
lebih subur dan harum.
Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang
yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan
dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu
mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.
Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar
cakap orang lain.
Lidah selalu menyebabkan telinga
menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya
dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang
yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea
dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak
pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil
manfaatnya.”
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita
banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh
dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita
seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan.
Mengapa?
Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan
seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap
kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku
berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang
kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!
Apakah dengan mendengar kita
menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita
sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah
diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih
banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.
Semakin banyak kita belajar
semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita
miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah
dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan
oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?
Justeru, Allah yang Maha
Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang
baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan,
kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan
ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan
hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang
sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah
bersedia mendengarnya bila-bila masa
sahaja.
Jika ada jutaan manusia mengadu
dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan
terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik
sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza
pada suatu masa dalam keadaan serentak.
Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar
bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!
Allah mulia dan agung kerana
kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu
juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain…
dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua
manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar
permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah
Maha Adil…
Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar.
Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu
hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap
mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang
sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang
pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat
seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah
itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!
Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk
dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka
dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka
dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang
bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua
menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang
berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.
Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda
seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan
pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara,
tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di
satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat
sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada
pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat
itu!
Itulah Rasulullah saw yang
paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah,
malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi
langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis
kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan.
Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan
keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.
Anda tidak perlu banyak cakap
untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang
yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan
empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang
tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan
sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu
rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan
dengar luahan katanya.
Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak
akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang
akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami
menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin
berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin
serba tahu…
Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya,
bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja
lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar
yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.
Nukilan Asal oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi; Dikongsikan oleh Abdullah
Ibnu Ismail
Wallahu Waliyyut Taufiq